253 Individu Disyaki Terlibat ISIS Ditahan Di Malaysia Sejak 2013

KUALA LUMPUR: Seramai 34 wanita yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan ISIS ditahan di Malaysia sejak 2013 hingga 7 Oktober lalu.

Keseluruhannya, 255 individu termasuk 221 lelaki ditahan dalam tempoh itu.

Kementerian Dalam Negeri menyatakan demikian dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini (17 Nov).

Sebanyak 140 daripada individu yang ditahan itu berumur kurang 30 tahun dan selebihnya berumur 30 tahun dan ke atas, menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) berhubung jumlah individu yang ditangkap kerana terlibat gerakan militan ISIS.

Kementerian itu menjelaskan, 121 individu sudah dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala 36 individu diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan 13 lagi mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015.

“Sebanyak 21 warga asing sudah diusir dari Malaysia manakala 64 individu telah dibebaskan,” menurutnya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *