Rahayu Buang Dilantik CEO Baru MENDAKI, Berkuatkuasa 1 Jan 2017

Yayasan MENDAKI akan mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru, Cik Rahayu Buang, mulai 1 Januari depan.

Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Cik Tuminah Sapawi, 56 tahun, yang sudah menerajui badan bantu diri itu selama tiga tahun.

Cik Rahayu , 45 tahun adalah Pengarah Bahagian Sokongan dan Pendidikan Keluarga serta Pejabat Pembangunan Wanita di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Beliau menyertai MSF 20 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, terlibat dalam pelbagai program pembangunan termasuk isu-isu pemulihan, perlindungan, hilang upaya, keluarga dan wanita.

Di bawah kepimpinannya juga, program-program pendidikan keluarga diperkenalkan dan keluarga yang bercerai disokong melalui program berasaskan kanak-kanak dengan penubuhan Agensi Pakar Sokongan Perceraian.

Cik Rahayu adalah penerima Pingat Emas daripada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, dan menerima Pingat Pentadbiran Awam (gangsa) pada 2014.

Cik Tuminah pula akan menyertai Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 1 Januari depan.

Menurut MENDAKI, Cik Tuminah sudah banyak menyumbang kepada masyarakat Melayu/Islam, dan menyerahkan MENDAKI dalam keadaan yang lebih kuat kepada penggantinya.

Beliau menerajui Semakan Pendidikan MENDAKI yang meletakkan asas bagi usaha meningkatkan program pembangunan guru-guru pembimbing dan memperbaiki program pendidikan ibu bapa.

Di bawah pentadbiran beliau, MENDAKI juga meningkatkan usaha memupuk minda masyarakat Melayu Islam untuk siap menghadapi masa depan. Ini termasuk kempen #RaikanIlmu, yang menggalak masyarakat menghayati semangat mencari ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

YAACOB UCAP TERIMA KASIH KEPADA CIK TUMINAH ATAS PELBAGAI SUMBANGANNYA

Sementara itu, menulis di laman Facebook beliau, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob mengucapkan terima kasih kepada Cik Tuminah Sapawi bagi pelbagai sumbangannya sejak tiga tahun lalu.

Di bawah kepimpinan Cik Tuminah kata beliau, MENDAKI selesai melakukan semakan pendidikan menyeluruh untuk memperkuat sokongan pendidikan dalam masyarakat Melayu.

Dengan fokus kepada usaha membangunkan generasi yang dinamik dan bersedia untuk masa depan tambah Dr Yaacob, MENDAKI di bawah Cik Tuminah menubuhkan sebuah unit Future Ready.

Unit tersebut melengkapkan masyarakat dengan kemahiran-kemahiran dalam menghadapi ekonomi yang sentiasa berubah-ubah.

Mengulas pelantikan Cik Rahayu pula, Dr Yaacob yang juga merupakan Pengerusi MENDAKI, yakin bahawa CEO baru itu mampu memimpin MENDAKI untuk meningkatkan khidmatnya kepada masyarakat dan negara.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *