Kad PAssion Baru Bagi Warga Emas Dilancar

Satu kad PAssion baru khusus untuk warga emas akan diberikan secara percuma kepada semua rakyat Singapura berusia 60 tahun ke atas mulai esok (5 Dis).

Sekarang ini, kad ez-link PAssion tidak mengenakan sebarang usia minimum bagi kriteria kelayakan penggunaannya, dan ini bermakna, semua orang, termasuk warga tua, perlu membayar sehingga S$12 untuk menikmati manfaat-manfaatnya.

Namun dengan Kad Konsesi Perak PAssion yang baru itu, rakyat Singapura berusia 60 tahun dan ke atas boleh menikmati manfaat-manfaat kad itu serta mendapat faedah tambahan yang eksklusif secara percuma.

Kad itu menawarkan tambang konsesi warga emas untuk pengangkutan awam, pelbagai manfaat dan faedah membeli-belah, serta akses kepada pelbagai kursus dan kegiatan yang ditawarkan Persatuan Rakyat (PA).

Kad itu menggabungkan kad konsesi warga emas yang sedia ada dengan kad PAssion agar lebih mudah bagi warga tua terus bergiat aktif dan didampingi masyarakat, menurut kenyataan bersama oleh Kementerian Kesihatan, PA dan Kementerian Pengangkutan.

Warga Singapura yang layak, yang sekarang ini tidak mempunyai Kad Konsesi Warga Emas, akan menerima surat menjelang 31 Januari 2017 yang mempelawa mereka untuk menghantar gambar mereka supaya mereka dapat menerima kad tersebut.

Mulai esok, Kad Konsesi Perak PAssion akan dihantar secara berkumpulan kepada alamat-alamat rumah rakyat Singapura yang sekarang ini memegang kad konsesi warga emas.

Kad PAssion yang baru itu dilancarkan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing, serta Cik Josephine Teo, Menteri Negara Kanan Pejabat Perdana Menteri merangkap Ehwal Luar dan Pengangkutan, hari ini.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *