8 Cedera Dalam Kemalangan Dahsyat Di Jalan Sultan

Lapan orang cedera dalam satu kemalangan dahsyat yang berlaku di Jalan Sultan, pagi tadi (11 Dis).

Rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook menunjukkan dua kenderaan yang remuk, salah satu daripadanya merempuh sebatang tiang di tengah-tengah jalan raya, di luar Hotel Boss.

Seorang lelaki dilihat terbaring di atas jalan bersebelahan kereta itu sementara seorang penunggang motosikal dilihat cuba berkomunikasi dengan mangsa.

Sebuah kereta bomba dan ambulans kemudian tiba di tempat kejadian bagi memberikan bantuan.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan, pihaknya dimaklumkan tentang insiden tersebut pada pukul 8.15 pagi tadi.

SCDF mengerahkan sebuah kereta bomba, sebuah Red Rhino, lima buah ambulans dan dua kenderaan sokongan.

Pasukan Polis Singapura (SPF) juga mengesahkan kepada BERITAMediacorp bahawa kemalangan berlaku melibatkan dua buah kereta dan seorang pejalan kaki di persimpangan antara Victoria Street dengan Jalan Sultan.

Menurut polis, lapan orang dalam lingkungan usia antara 20 dengan 71 tahun dikejarkan ke hospital.

Tujuh mangsa dikejarkan ke Hopsital Tan Tock Seng (TTSH), manakala seorang lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH), tambah SCDF lagi.

Polis juga menyatakan siasatan sedang dijalankan.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *