Lebih Baik Pegawai Agama Periksa Kebersihan Tandas Masjid, Daripada Tangkap Khalwat

Masyarakat Islam di Malaysia perlu mencabar undang-undang yang membenarkan pegawai agama melakukan serbuan terhadap pasangan berkhalwat, kata mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Datuk Zaid berkata demikian dalam tulisan blognya ketika mengulas kejadian Selasa lalu (6 Dis) di mana seorang anggota polis maut selepas terjun dari sebuah pangsapuri di Cheras ketika cuba mengelak tangkapan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menurut Free Malaysia Today (FMT), pada hari yang sama di Puchong, seorang lagi anggota polis cedera ketika cuba mengelak serbuan Jais.

“Walaupun hubungan seks haram tidak digalakkan, terjun dari tingkap sehingga mengakibatkan kecederaan tubuh badan bukan respon yang rasional,” kata Datuk Zaid seperti ditukil FMT.

Beliau juga berkata daripada menangkap dan menghukum orang Islam yang berkhalwat, adalah lebih baik jika pegawai pengkuatkuasa agama di negara itu membuat kerja yang lebih memanfaatkan, seperti menangani masalah kebersihan tandas di masjid.

“Pegawai agama lebih baik guna kakitangan dan wang mereka memeriksa tandas di masjid. Pastikan tandas bersih, dan graduan sekolah agama boleh cari kerja lain.

“Daripada menangkap pasangan ghairah dan mengakibatkan kehilangan nyawa, lakukanlah sesuatu yang baik dan berguna untuk masyarakat,” kata Datuk Zaid.

Akur bahawa tindakan ekstrim untuk mengelak ditangkap khalwat itu akibat rasa malu atas kesalahan itu, Datuk Zaid berkata “orang Melayu perlu sedar bila mereka patut berasa malu”.

“Melayu perlu malu bila mereka mengangkat kepimpinan korup,” katanya seperti ditukil FMT.

Datuk Zaid menambah: “Mereka juga manusia biasa seperti orang lain, dan melakukan dosa kecil di sana sini. Tetapi perlukah semua dosa dianggap jenayah di negara ini?”

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *