Myanmar Minta Diberi ‘Masa Dan Ruang’ Untuk Huraikan Krisis Rohingya

Timbalan ketua pertahanan Myanmar pada Isnin (23 Jan) menggesa dunia supaya memberi “masa dan ruang” kepada pemerintah negara itu untuk menghuraikan krisis yang melibatkan Muslim Rohingya di tengah-tengah kebimbangan bahawa kumpulan militan mungkin akan mengeksploitasi keadaan yang bergolak itu.

Laksamana Muda Myint Nwe memberitahu satu forum keselamatan di Singapura bahawa pemerintah Myanmar “cukup sedar akan keprihatinan yang kian meningkat mengenai laporan-laporan tentang keadaan di wilayah Rakhine”, yang didiami orang Rohingya dan komited untuk menangani isu tersebut dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Sejak Oktober tentera Myanmar sudah melancarkan “operasi pembersihan” di utara wilayah itu untuk menghapuskan para pemberontak yang dituduh menyerang pondok-pondok polis sempadan.

Sekurang-kurangnya 66,000 orang Rohingya yang sudah melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh, mendakwa bahawa pasukan keselamatan Myanmar merogol, membunuh dan mendera kaum itu.

Myanmar sejak sekian lama berdepan dengan kritikan masyarakat antarabangsa berhubung layanannya terhadap kaum Rohingya. Kebanyakan rakyat Myanmar yang beragama Buddha menyifatkan orang Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Laksmana tersebut berkata demikian sebagai respons kepada ucap tama yang disampaikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein di Forum Fullerton yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik.

Hishammuddin memberi amaran bahawa keadaan di Rakhine – jika tidak ditangani dengan betul boleh dieksploitasikan oleh kumpulan ISIS untuk mengukuhkan pangkalannya di Asia Tenggara.

Myint Nwe berkata bahawa Yangon dan masyarakat antarabangsa harus menumpukan perhatian kepada usaha untuk mencari “huraian yang berkekalan” bagi masalah tersebut.

Hishammuddin berkata bahawa ASEAN – sebuah perkumpulan serantau yang dianggotai Malaysia dan Myanmar – harus memainkan peranan penting dalam mencari huraian bersama para pemimpin Myanmar.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *