Shamma Al Mazrui – Menteri Termuda Di Dunia

Biarpun usianya masih muda, pencapaian wanita cantik ini sudah boleh dikira besar. Shamma Bint Suhail bin Faris Al Mazrui menyandang jawatan sebagai Menteri Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi Ehwal Belia.

Cik Shamma, 22 tahun, ialah menteri paling muda bukan setakat di negaranya, malah di dunia setelah dilantik secara rasmi pada bulan Februari 2016, menurut laman Kabinet UAE.

Di rantau di mana berpuluh-puluh juta penduduk dibawah usia 25 tahun menganggur, wujudnya ketidakadilan antara jantina, kekurangan akses kepada pendidikan, maka tidak hairanlah jika pelantikan Cik Shamma disambut baik, lapor laman Newsweek Timur Tengah.

Dua tahun selepas tamat pengajian dari Universiti New York (NYU) – Abu Dhabi dengan ijazah dalam jurusan ekonomi dan setelah beliau memperolehi ijazah Sarjana dari Universiti Oxford sebagai penerima Biasiswa Rhodes, Cik Shamma dilantik memimpin generasi muda di negara beliau dan menjadi jambatan antara generasi muda dengan entiti-entiti awam UAE.

(Gambar: Sky New Arabiah/YouTube)

SESIAPA PUN BOLEH TERIMA BIASISWA BERPRESTIJ RHODES

Meskipun beliau seorang penerima Biasiswa Rhodes, yang dianggap sebagai salah satu biasiswa berprestij di dunia, Cik Shamma meyakini bahawa “sesiapa pun boleh menerima biasiswa Rhodes jika mereka mendapat latihan dan bimbingan bagaimana mempersiapkan diri supaya disenarai pendek”, menurut Iman Ben Chaibah, seorang penulis di laman Sail Magazine, yang merupakan kenalan Cik Shamma.

Berkongsi tentang pengalaman yang dilaluinya sebelum beliau dilantik, Cik Shamma berkata beliau ternampak catatan Twitter Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid, yang sedang mencari Menteri Belia UAE yang seterusnya lantas beliau menghantar permohonannya.

“Selepas saya buat permohonan, saya tidak terlalu memikirkannya, maka saya terkejut melihat nama saya disenarai pendek. Saya ditemu bual dan mereka bertanya soalan-soalan yang mencabar. Saya ditanya tentang kemahiran-kemahiran saya dan apa kekuatan saya,” kata Cik Shamma dalam wawancara bersama Newsweek.

Mengulas tentang pelantikan Cik Shamma sebagai Menteri Belia, Sheikh Mohammed berkata: “Kami akan memberi majlis (belia) sepenuh tanggungjawab dan kami menjangkakan pencapaian yang terbaik daripada beliau dan majlisnya.

“Para belia mewakili sekitar separuh daripada masyarakat Arab, maka logik untuk memberikan mereka suara dan peranan mentadbir negara,” tambah Sheikh Mohammed seperti yang ditukil oleh laman Televisyen Bebas Afrika.

(Gambar: NYU Abu Dhabi/YouTube)

MUDA, CANTIK, PETAH, BIJAK – TAPI TETAP RENDAH DIRI

Pencapaian dan kejayaan Cik Shamma sejauh ini boleh dijadikan inspirasi ramai belia, khususnya di Timur Tengah. Beliau cantik, muda, petah, bijak serta memecahkan siling kaca – suatu gabungan ciri yang diidamkan ramai orang. Namun beliau dengan rendah diri pernah menekankan bahawa kisah kejayaannya tidak relevan.

Ternyata harapan beliau besar terhadap golongan muda UAE dan beliau mahu setiap anak muda UAE mencatat kisah kejayaan mereka sendiri.

Cik Shamma menambah, beliau mahu membantu anak-anak musa mencapai lebih daripada apa yang sudah beliau kecapi, lapor laman The National.

“Kisah di sebalik kejayaan saya biasa-biasa saja, dan saya berharap agar anda semua (golongan muda) mencapai lebih daripada apa yang saya kecapi.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai kisah saya kerana ia kisah biasa sahaja. Tugas asas saya adalah untuk mendengar terlebih dahulu. Saya tidak akan mewakili belia dengan hanya suara dan pandangan saya, saya tidak mahu menjadi (pemimpin) sedemikian,” tegas Cik Shamma.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *