Kereta Sorong Bayi Dibenarkan Dalam Bas Awam Mulai 2 April

Keluarga-keluarga yang membawa kereta sorong bayi akan dibenarkan menaiki bas awam bermula 2 April ini sebagai sebahagian daripada pelan untuk menjadikan perjalanan dengan anak-anak kecil lebih mudah dan selesa.

Menteri Kedua Pengangkutan Ng Chee Meng berkata demikian semasa Parlimen membahaskan peruntukan bagi kementeriannya pada Rabu (8 Mac).

Beliau menarik perhatian bahawa ia adalah sesuatu yang mencabar untuk melipat kereta sorong itu sebelum menaiki bas awam, tetapi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan para pengendali bas benar-benar prihatin terhadap keselamatan kanak-kanak kecil, misalnya, jika pemandu bas menekan brek atau membelok secara tiba-tiba.

Ibu bapa harus memberi tumpuan sepenuhnya dan memikul tanggungjawab atas keselamatan anak-anak mereka, dan memegang kereta-kereta sorong setiap masa,” katanya.

“Sedang kami berusaha ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif, saya menggesa para penumpang lain supaya bersabar jika ia mengambil masa yang lebih lama untuk keluarga-keluarga dengan kereta sorong menaiki bas.”

Perubahan itu adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah untuk membangunkan sistem pengangkutan masa hadapan yang lebih inklusif.

Encik Ng berkata ia mesti direka dengan baik untuk memenuhi keperluan golongan-golongan yang memerlukan, seperti golongan kurang upaya, keluarga dengan anak-anak kecil dan bilangan penduduk yang menua.

BANTU GOLONGAN KURANG UPAYA

Encik Ng turut menarik perhatian bahawa semua stesen MRT dan pusat pertukaran bas kini bebas hadangan, dan 92 peratus bas awam juga mesra kerusi roda.

Jumlah ini akan meningkat kepada 98 peratus menjelang hujung tahun depan, dan 100 peratus sebelum 2020.

Sungguhpun demikian, masih ada ruang untuk ia dipertingkatkan.

Beliau berkata LTA akan memulakan percubaan pengumuman audio dalam bas, untuk membantu para penumpang kurang daya penglihatan.

Ini juga akan diuji sebagai peningkatan kepada sistem paparan maklumat penumpang baru, yang sedang diuji bagi bas nombor 106.

LTA juga mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan SG Enable, iaitu sebuah agensi pengupayaan bagi golongan kurang upaya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, SG Enable akan memanfaatkan Stesen MRT Redhill, yang digunakan oleh kebanyakan golongan kurang upaya untuk ke Enabling Village di Lengkok Bahru.

Beliau juga menarik perhatian bahawa ia cukup mencabar bagi golongan kurang upaya untuk melakukan perjalanan antara Stesen Redhill dan Enabling Village, disebabkan kawasannya yang berbukit dan jarak sejauh 400 meter.

Beliau turut menggesa LTA dan SG Enable supaya mencari huraian bagi isu ini.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *