Mufti Malaysia: Pemandu, Penumpang Uber/Grab Bukan Muhrim Boleh, Jika Syarat-Syarat Dipatuhi

PETALING JAYA: Berkongsi kereta melalui khidmat Grab dan Uber melibatkan bukan muhrim masih boleh dikategorikan khalwat, kata Mufti Wilayah Persekutuan, tetapi berkata ia dibolehkan dengan syarat penumpang duduk diam di bahagian belakang kenderaan sekiranya mendapati pemandu berlainan jantina.

Menjawab soalan mengenai hukum lelaki dan wanita menggunakan perkhidmatan kongsi kenderaan itu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata syarat lain yang perlu dipatuhi ialah laluan yang digunakan “tidak sunyi”.

“Pemandu melalui jalan yang tidak sunyi agar terlindung dari sebarang fitnah,” katanya dalam penulisan di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau memberikan beberapa dalil mengenai definisi khalwat, istilah Arab yang membawa maksud bersendirian atau berasingan.

“Maka berdasarkan beberapa dalil yang kami kongsikan di atas, dapatlah kita fahami bahawa berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah suatu perbuatan yang haram lagi ditegah.

“Ini sama ada khalwat itu berlaku di taman-taman bunga, taman tasik, di dalam bilik atau hotel, dan begitulah juga di dalam kenderaan seperti teksi, Uber, atau GrabCar,” katanya.

Beliau mengesyorkan pengguna khidmat Uber dan Grab berusaha mengelak daripada berkongsi kenderaan dengan bukan muhrim, dengan membatalkan tempahan selepas memeriksa butiran diri pemandu atau penumpang yang dipaparkan aplikasi berkenaan.

Bagaimanapun, Zulkifli mengakui perbuatan kerap membatalkan tempahan akan menyebabkan penggantungan akaun dan memberi kesan buruk terhadap pendapatan.

Menurutnya, kebenaran bukan muhrim untuk berada dalam kenderaan sama adalah atas dasar “darurat”, iaitu disebabkan keperluan yang tidak dapat dielakkan.

“Dengan syarat penumpang itu duduk di bahagian belakang kenderaan, tidak berbual melainkan sekadar yang perlu sahaja.”

 

Source: www.freemalaysiatoday.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *