Anggota Parlimen Rahayu Mahzam Selamat Bersalin Anak Lelaki Bernama Muhamad Ayden

Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam sudah selamat melahirkan, dan beliau mendapat seorang bayi lelaki.

BERITAMediacorp difahamkan, beliau memilih nama Muhamad Ayden bagi bayi tersebut.

Ini merupakan anak sulung bagi Cik Rahayu dan suaminya Muhamad Imaduddien Abdul Karim, seorang peguam. Cik Rahayu, juga seorang peguam, bertugas di firma guaman Heng, Leong & Srinivasan.

Yang pasti, Cik Rahayu yang berusia 36 tahun, kini sah mencatat sejarah menjadi Anggota Parlimen (AP) Melayu tempatan yang pertama, melahirkan anak sulung semasa memegang jawatan AP.

Muhamad Ayden dilahirkan di Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-kanak pada 10.35 pagi, 7 April, dan BERITAMediacorp diberitahu, bayi comel itu seberat 3.39 kilogram semasa dilahirkan.

Cik Rahayu kini masih lagi berehat pasca kelahiran dan pihak kami belum lagi mendapat peluang untuk mewawancara beliau.

BEREHAT 2 BULAN

Dalam wawancara dengan BERITAMediacorp bulan lalu, Cik Rahayu pernah berkata, beliau mungkin mengambil dua bulan cuti sahaja, walaupun ibu bersalin di Singapura layak mendapat cuti penuh empat bulan. Beliau sempat berseloroh bahawa “mungkin untuk bulan pertama itu ‘radio silence’, betul-betul perlu berehat”.

“Tugas dan harapan orang sebagai AP itu berat sedikit. Saya rasa mungkin sukar untuk saya mengambil masa sepenuhnya empat bulan,” ujar beliau ketika itu, sambil menambah, ini juga akan bergantung kepada keadaan kesihatan beliau dan bayi sulungnya itu.

“Rancangannya adalah untuk mengambil dua bulan. Mungkin satu bulan penuh untuk berehat dan bulan kemudiannya kalau sekiranya saya sihat, alhamdulillah, saya akan cuba mungkin lakukan tugasan yang tidak begitu berat,” kongsi Cik Rahayu ketika itu.

 

Rilek1Corner

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *