Kemeja-T Skirt Labuh Neelofa Dikritik

Dengan mengenakan kemeja-T yang dipadankan baju lengan panjang berwarna kulit dengan hiasan lace serta skirt labuh hitam, penampilan personaliti terkenal Neelofa ternyata mengundang pelbagai reaksi dari orang ramai selepas majlis besar-besaran Anugerah Meletop Era (AME2017) kelmarin.

Bagaimanapun, pereka fesyen Fiziwoo menjelaskan pakaian pengacara Neelofa pada malam Ahad lalu merupakan trend yang digayakan selebriti antarabangsa.

Dalam petikan laporan mStar, Fizi berkata, gaya baju tee bermesej itu kini popular di luar negara dan turut menjadi pilihan ikon fesyen luar negara.

“Statements Tee sekarang menjadi trend di luar negara, ramai artis antarabangsa seperti Rihanna dan Kendall Jenner menggayakannya pada majlis-majlis hiburan mereka.

“Neelofa selebriti pertama di negara yang berani mencubanya dan kami percaya ia akan menjadi ikutan oleh masyarakat dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” ujarnya, seperti ditukil mStar.

Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizi Radzi Woo mengulas tentang baju yang digayakan oleh Neelofa pada majlis AME2017 yang berlangsung kelmarin di Stadium Malawati, Shah Alam.

Pakaian baju tee dengan skirt labuh Neelofa ketika mengacarakan program itu malah dikritik dan dianggap tidak bersesuaian dengan majlis berkenaan oleh ramai netizen.

Jenama fesyen Fiziwoo merupakan gabungan anak muda berbakat Fizi dan Khai.

Dalam pada itu, Khai atau nama sebenarnya Izree Kai Haffiz pula berkata, konsep baju berkenaan dilihat bersesuaian dengan majlis anugerah tersebut yang berbeza dengan majlis-majlis anugerah lain.

“Baju itu bersesuaian dengan AME2017 yang berkonsepkan lebih ceria, ia lebih seperti MTV Award dan bukannya seperti anugerah Oskar.

“Ketika kami cadangkan idea tersebut, Neelofa gembira dan teruja untuk menggayakannya. Kami juga ada sediakan baju lain yang lebih anggun pada malam itu tapi dia buat keputusan untuk tidak menukar baju itu,” katanya, dalam laporan mStar.

Sementara itu, Fiziwoo yang sudah empat tahun bertanggungjawab menyediakan pakaian untuk bintang popular itu mengakui gementar menerima persepsi masyarakat.

Pihaknya juga sudah menjangka sebarang komen yang bakal diterima, tidak kira yang baik mahupun yang buruk.

“Setiap tahun kami akan gementar untuk baca komen-komen netizen sebab kami tahu ada yang suka dan ada yang tidak boleh terima,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Neelofa turut diumumkan sebagai pemenang bagi Hos MeleTOP dan Program MeleTOP serta memenangi kategori utama iaitu Top Top MeleTOP (Wanita).

 

Rilek1Corner

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *