Pasar Online 7.Mall Hantar Barangan Basah Dari Pasar Geylang Serai

Ingin membeli daging atau ayam dari Pasar Geylang Serai tetapi tiada masa untuk berbuat demikian? Kini anda boleh berbuat demikian menerusi sebuah pasar online baru.

Sebuah wadah online baru bernama 7Mall.Shop itu akan dilancarkan Sabtu ini (15 April).

Ia sebenarnya adalah wadah pesanan dalam talian, yang diasaskan tiga anak Melayu tempatan, iaitu Encik Kamal Kassim 46 tahun, Encik Damar Osman 42 tahun dan Encik Irmanizam Mohd, 35 tahun.

Secara keseluruhan, 7Mall menyediakan khidmat penghantaran ke rumah bagi barangan pasar dan asas keperluan rumah yang tersenarai di lelamannya.

Buat masa ini ia menyenaraikan sekitar 350 barangan keperluan rumah. Ini termasuklah daging, ayam dan makanan beku yang datang dari dua kedai di pasar Geylang Serai serta dari kedai runcit ataupun diimport langsung oleh 7Mall.

KEMUDAHAN BAGI PEMBELI MELAYU/ISLAM

“Kami mengambil kira keperluan halal masyarakat Melayu Islam setempat. Dan jika anda mencari keperluan lain seperti ubat suplemen yang lazimnya terdapat di Pasar Geylang ataupun Johor, kami turut memenuhi keperluan itu juga,” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif 7Mall, Encik Damar Osman, melalui suatu kenyataan media.

Ini terutamanya bagi menyenangkan golongan tua ataupun yang tidak berkenderaan tetapi masih ingin membeli barangan tertentu yang terdapat di Pasar Geylang Serai.

Golongan warga emas juga diberi bantuan tambahan dalam bentuk penghantaran rumah secara percuma, dan dibolehkan membuat pesanan melalui telefon.

MENOLONG PENIAGA KECIL DAN SURI RUMAH

Pihak 7Mall akur sudah ada khidmat penghantaran ke rumah oleh pasar raya tempatan dan beberapa syarikat pemula.

Namun, ini tidak dijadikan hambatan. Sebaliknya ia dijadikan pendorong buat pengasas 7Mall untuk menyediakan wadah teknologi bagi peniaga kecil-kecilan meningkatkan daya saing mereka.

“Kami dapat lihat sekarang dari segi ekonomi yang makin pesat dalam alam siber, kebanyakan peruncit-peruncit di sini terkesan dengan adanya e-niaga di alam siber. Jadi tujuan kami juga adalah untuk membawa mereka ke alam siber supaya mereka dapat meningkatkan lagi penjualan mereka,” kongsi Encik Kamal Kassim, yang memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Teknologi 7Mall.

Selain membantu para pegerai, 7Mall juga menggunakan strategi menggajikan pekerja sambilan daripada golongan suri rumah.

Menurut ketua pegawai operasi, Encik Irman Mohd, tanggungjawab berat di rumah kadang kala menghambat sesetengah suri rumah daripada bekerja untuk mencari pendapatan tambahan.

Atas dasar ini, suri rumah yang bekerja di 7Mall hanya perlu bertugas sekitar tiga jam setiap masa, membolehkan mereka imbangi kerja dan tanggungjawab di rumah.

Memandang ke hadapan, selain menambah bilangan produk dalam senarainya, 7Mall mengalu-alukan penyertaan pekedai lain yang ingin memanfaatkan wadah yang mereka sediakan.

7Mall juga berharap mengembangkan lelaman mereka (www.7mall.shop) untuk menempatkan khidmat lain yang relevan bagi masyarakat Melayu Islam setempat.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *