Norfasarie Jadi Tauke Niaga Kasut Melalui ‘TuMeet’

Apabila tiba musim perayaan ramai yang memilih untuk berpakaian sedondon semasa keluar berkunjung ke rumah sanak-saudara.

Bagi para ibu yang mempunyai anak perempuan, tahun ini mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk sedondon bukan sahaja dari segi pakaian malah juga kasut.

Baru-baru ini, sebuah syarikat baru, TuMeet, yang menjual kasut wanita dan kanak-kanak perempuan dilancarkan.

Pengasas TuMeet, Norfasarie Mohd Yahya, yang juga seorang selebriti tempatan memberitahu BERITAMediacorp bahawa syarikat terbaru itu merupakan gabungan cetusan idea daripada tiga orang wanita termasuk dirinya sendiri. Dua lagi adalah adiknya, Norazian Binte Mohd Yahya, 30 tahun, seorang guru, dan adik iparnya, Sabrina Khaizan, 26 tahun, seorang pengurus bank.

Norfasarie yang juga pengarah SpabyNorfasarie mengorak langkah untuk membuka syarikat menjual kasut-kasut khas buat wanita dan kanak-kanak perempuan apabila idea itu tercetus pada bulan Ramadan tahun lalu semasa beliau, adik serta adik iparnya sedang membeli-belah bagi persiapan Hari Raya.

Walaupun sudah membeli baju dan beg raya sepasang, mereka mendapati sukar untuk mendapatkan kasut yang juga sepasang dengan anak perempuan masing-masing.

“Kami tahu bahawa jenama kasut Melissa menjual kasut sepasang untuk ibu dan anak. Namun, bahannya diperbuat daripada plastik dan terlalu kasual untuk musim perayaan. Sempena Hari Raya, ramai yang memerlukan kasut bertumit tinggi untuk dipadankan dengan baju kebaya atau baju kurung,” kongsi Norfasarie kepada BERITAMediacorp.

Bagi jenama kasut Pazzion pula, mereka memerhatikan bahawa saiz kasut yang ditawarkan tidak mengikut saiz yang mereka perlukan. Dari situlah, adiknya menyarankan idea kepada Norfasarie supaya menubuhkan sebuah syarikat kasut untuk wanita dan kanak-kanak.

KASUT BUATAN TANGAN

Koleksi edisi Raya TuMeet terdiri daripada kasut-kasut tumit tinggi yang diberi nama Moza, Elora, Falisha, Moana, Alyka, Ivana, dan Emma. Harga kasut wanita bermula daripada $119 manakala harga kasut kanak-kanak perempuan bermula daripada $89.

Kesemuanya mempunyai kasut mini untuk kanak-kanak perempuan dalam warna dan rekaan yang sama untuk digayakan ibu dan anak.

Perbezaan antara TuMeet dengan jenama-jenama kasut yang lain adalah kesemua kasut-kasut mereka merupakan hasil buatan tangan.

Ini kerana Norfasarie dan rakan-rakan kongsinya mengutamakan mutu berbanding kuantiti. Tiada sepasang kasut pun yang diperbuat menggunakan mesin.

Walaupun TuMeet baru setahun jagung di pasaran, Norfasarie menegaskan bahawa TuMeet amat menitikberatkan keselesaan pemakai kasut terutama kanak-kanak.

Beliau menekankan bahawa kasut kanak-kanak harus mempunyai span yang lebih tebal pada bahagian tapak kasut supaya lebih selesa bagi kanak-kanak memakainya.

TuMeet turut prihatin tentang kemelecetan yang dialami kanak-kanak. Keprihatinan ini membantu mereka memastikan setiap kasut yang dihasilkan bukan sahaja cantik malah selesa dipakai untuk menghadiri pelbagai acara.

BAGAIMANA SAMBUTAN TERHADAP TUMEET?

Secara keseluruhannya, proses menubuhkan TuMeet mengambil masa kira-kira 10 bulan hingga setahun sebelum ia dilancarkan pada Ahad (21 Mei).

Sebelum dilancarkan di Singapura, TuMeet dilancarkan terlebih dahulu di Brunei pada 29 April lalu.

Sejak dilancarkan, sambutan pelanggan di kedua-dua negara begitu memberangsangkan.

Respons di luar jangkaan itu, menurut Norfasarie, mungkin kerana ini juga merupakan kali pertama syarikat anak Melayu/Islam menghasilkan kasut khas untuk ibu dan anak di Singapura.

RANCANGAN MASA HADAPAN

Setakat ini, TuMeet sudahpun mengumpulkan maklum balas daripada para pelanggannya tentang keinginan mereka untuk memiliki kasut yang lebih kasual.

Justeru, TuMeet juga merancang untuk menawarkan kasut kasual bertumit rendah pada masa akan datang.

Dengan kian ramai pelanggan memilih untuk membeli-belah online, TuMeet tidak ketinggalan merebut peluang memanfaatkan wadah online untuk menjual kasut-kasutnya. Kasut-kasut TuMeet boleh dibeli melalui lamannya www.tumeetbynorfasarie.com.

Sungguhpun demikian, Norfasarie tetap berazam untuk membuka sebuah kedai bagi TuMeet kerana menurut beliau “jika Charles and Keith boleh melakukannya, TuMeet juga tidak terkecuali”.

Sepanjang bulan Ramadan ini, kasut-kasut TuMeet akan dijual di gerai ‘Celeb Raya’ di bahagian luar City Plaza

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *