Walaupun sibuk membuat persiapan untuk mewakili Singapura di Sukan SEA pada Ogos ini, atlit Melayu warganegara Singapura, Junaidi Hashim, tetap meluangkan masa untuk mendidik atit-atlit muda lain, Riyadh Hakim dan Arfan Faisal dalam sukan lumba basikal. Menurut Junaidi, kedua-dua remaja ini berpotensi melangkah jauh dan dengan dorongan yang betul, mereka berupaya mencipta sejarah sebagai anak Melayu pertama di Singapura yang akan meraih pingat emas untuk negara di Sukan SEA dan menjadi atlit yang disegani pada satu hari nanti. Junaidi juga menerangkan, walaupun mereka berdua masih bersekolah, namun tuntutan pelajaran dan komitmen untuk berlatih tidak pernah diabaikan. Walaupun mereka perlu berlatih selama 5 hari atau lebih 25 jam seminggu, ini tidak termasuk latihan dalam gimnasium.
Junaidi Hashim
Namun begitu, Junaidi juga akur bahawa untuk menjadi atlit yang terbaik, bukanlah mudah. Selain kerja keras dan disiplin diri yang tinggi, pembiayaan dana yang mencukupi juga amat penting. Oleh demikian, Junaidi serta pengasas bersama, Encik Danial Hakim, menubuhkan syarikat pengurusan atlit prestasi tinggi J/D Development Project, untuk membantu atlit muda merealisasikan impian mereka dalam sukan lumba basikal dan bekerjasama dengan penaja-penaja yang lain. Sejauh ini, J/D Development Project berjaya mendapatkan tajaan yang lumayan dari syarikat antarabangsa seperti penaja terbesar setakat ini Awano Food Group, Oakley Sunglasses dan Triplefit Sports Consortium. Bukan itu sahaja, J/D Development Project juga giat melakar dan menganjurkan pelbagai aktiviti, latihan serta perlumbaan yang menarik untuk anak didiknya agar mereka berpeluang untuk merasakan persekitaran yang berlainan seperti menyertai perlumbaan di Jepun, China dan Eropah.
Riyadh Hakim
Bagi pendapat peribadi Junaidi, hambatan terbesar bagi para atlit lelaki untuk meraih kejayaan besar dalam sukan ini ialah apabila mereka perlu menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Itu baginya, kehilangan terbesar untuk pasukan dan atlit negara. Kerana pertandingan lumba basikal memerlukan latihan yang terterusan dan untuk mengekalkan stamina yang jitu, pelatih harus terus menjalani latihan walau di mana jua, dan dalam keadaan apa sekali pun.
Arfan Faisal
“Saya berharap NS boleh ditunda bagi atlit yang berpotensi dan mereka terus mendapat sokongan yang betul dari segi kewangan dan pendedahan, khusus di luar negara. Di Singapura, kita tidak mempunyai kejohanan lumba basikal yang mencukupi atau bakat yang ramai untuk bersaing, tetapi saya percaya bahawa dalam setiap sukan akan ada peluang yang menunggu jika kita mempunyai niat yang bersungguh-sungguh. Bagi saya, Sukan Olimpik mungkin menjadi mimpi atau ‘angan-angan’yang indah untuk seorang atlit di Singapura, dan menjadi jaguh Olimpik pasti menjadi impian mereka! Saya berharap Singapura dapat menghantar pasukan lumba basikal ke kejohanan terbesar di dunia seperti Piala Dunia Siri UCI dan perlumbaan seperti Giro Italia dan Tour De France untuk para atlit kita. Saya percaya semuanya tidak mustahil,” jelas Junaidi dengan penuh semangat.
Source: Berita Mediacorp