Pelakon Osman Zailani Terlantar Di Hospital Selama 18 Hari

Bulan Ramadan dan Syawal ini mungkin bulan yang perit bagi pelakon mapan Osman Zailani. Beliau dimasukkan ke hospital, bukan sehari dua, tetapi kini sudah 18 hari beliau berada di rumah sakit akibat jangkitan paru-paru. Sumber yang dekat dengan Osman Zailani berkata pelakon itu yang nama sebenarnya ialah Mohammad Bin Kechot, dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat dua hari sebelum Hari Raya. Sumber itu memberitahu bahawa sejauh ini keadaan Osman Zailani masih tiada perubahan. Menyifatkan Osman Zailani sebagai seorang yang “bersemangat kental”, beliau menambah, meskipun kurang sihat ingatan beliau masih kuat.

Osman Zailani mewarnai industri seni Singapura dan Malaysia menerusi drama-drama dan filem, antaranya Banting (2014), Suratan Kasih (1995) dan Sesejuk Airmata Ibu (1981). Osman Zailani juga antara segelintir pelakon berbakat besar yang berjaya mendapat perhatian penerbit dan pengarah filem antarabangsa, dan pernah berlakon dalam siri drama dan filem Hollywood. Pada tahun 1979, beliau pernah menjayakan watak Ong Lee dalam siri televisyen popular Hawaii Five-O dan juga watak Bob dalam filem Saint Jack.

Sumber itu memberitahu: “Kami tak kisah jika orang tahu Osman Zailani (tidak sihat), kami mohon doa daripada orang ramai. Daripada mereka yang kenal beliau, baik yang sudah lama mengenali beliau, mahupun yang baru. Cuma kalau boleh jangan dimuat naik gambar-gambar beliau dalam keadaan tidak sihat (ke media sosial). Osman Zailani sendiri mungkin tidak mahu gambar beliau dimuat naik ke media sosial. Kita harus hormati permintaan itu. Kami hanya mengharapkan doa orang ramai.”

Sumber: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *