[Malaysia] Sepandai-Pandai Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh Ke Tanah Jua – Sebuah Kilang Mercun Haram Di Malaysia Terbakar

Stor sebuah kilang yang dipercayai menyimpan mercun terbakar sehingga percikan bunga api dan bunyi letupan dapat dilihat dan kedengaran di kawasan Perindustrian Saleng, Senai, kelmarin (2 Jul). Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai Penolong Ketua Bomba Solleh Nasir berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.19 petang semalam dan usaha memadam kebakaran masih lagi dijalankan.

Kawasan yang terbakar berukuran 100×40 kaki persegi (371.6 meter persegi) dipercayai digunakan sebagai stor menyimpan mercun. Tiga buah jentera pemadam api serta 17 orang anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan. Sementara itu, pihak polis akan melakukan siasatan berhubung kebakaran berkenaan mengikut Seksyen 10 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menyimpan dan menguruskan bahan-bahan letupan tanpa izin.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Razak Md Said berkata pihaknya juga akan menyiasat mengikut laporan kebakaran. Menurut Encik Razak lagi, pihak polis juga akan menunggu maklumat lanjut daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk mengetahui status tanah lokasi kilang itu sama ada berstatus pertanian atau perindustrian dan menunggu maklumat lanjut daripada Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi mengenal pasti status bangunan kilang terbabit. Katanya, kawasan sekitar lokasi kejadian itu juga telah ditutup bagi memudahkan kerja-kerja siasatan lanjut dijalankan.

Source: Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *