Amrin Amin Turun Padang Sertai Operasi Serbuan Banteras Salah Guna Dadah

Ini jarang-jarang kita saksikan – iaitu Anggota Parlimen sama-sama menyertai operasi anti-dadah di lapangan. AP yang dimaksudkan ialah Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, yang turun padang menyertai para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) pada awal pagi Rabu (12 Jul) untuk melancarkan serbuan ke atas pesalah-pesalah dadah.

Serbuan tersebut dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan malam di kawasan Orchard, dan dilakukan dari waktu tengah malam hingga 4.00 pagi dinihari tadi (12 Jul).

Seramai lima orang yang disyaki pesalah dadah dicekup semasa serbuan itu, dedah Encik Amrin, menerusi laman Facebook beliau.

Encik Amrin menyatakan: “Penguatkuasaan adalah teras utama bagi strategi anti-dadah kami. Para pegawai CNB kami bekerja keras, melancarkan serbuan kerap bagi memastikan kelab-kelab dan jalanan kami bebas dadah, di samping selalu mengutamakan negara sebelum diri mereka.”

CNB: BUKAN LUMRAH, AP SERTAI SERBUAN ANTI DADAH

BERITAMediacorp difahamkan bahawa bukan menjadi suatu kebiasaan bagi seseorang Anggota Parlimen untuk menyertai operasi serbuan seumpama itu.

“Encik Amrin menyertai serbuan tersebut untuk lebih memahami dengan lebih lanjut apa yang berlaku di sebalik suatu serbuan itu. Ini bukanlah suatu yang lumrah,” dedah seorang jurucakap CNB kepada BERITAMediacorp.

Dalam serbuan tersebut, Encik Amrin turut berkongsi beliau menyaksikan sendiri “dedikasi penuh” para pegawai CNB.

Ini termasuk merancang serbuan itu dengan “teliti”, menguji mereka yang disyaki menyalahgunakan dadah dan menguruskan individu-individu yang ditangkap.

“Saya berasa penuh yakin dan bangga dengan adanya para pegawai cekap seperti itu yang berkhidmat untuk Singapura. Terima kasih!” tulisnya lagi.

(Gambar-gambar: Amrin Amin/Facebook)

KEMPEN ANTI DADAH MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Antara usaha memerangi dadah di kalangan masyarakat Melayu/Islam, yang sudah dijalankan Encik Amrin selaku Setiausaha Parlimen MHA, ialah memperhebat kempen menangkis najis dadah.

Pada 30 April lalu, Encik Amrin turut melancarkan kempen “Dadah Itu Haram” demi meningkatkan kesedaran tentang gejala negatif dadah.

Satu pakatan masyarakat Melayu/Islam untuk memerangi masalah dadah turut didedahkan semasa pelancaran kempen itu.

Kempen itu dipimpin oleh golongan asatizah, iaitu Persatuan Ulama dan guru-guru Agama Islam (PERGAS) dan mesej kempen itu disebarkan oleh sekurang-kurangnya enam badan Melayu/Islam tempatan.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *