Malaysia Haramkan Mainan Video Jesus Lawan Buddha

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta penyedia platform permainan video Fight of Gods untuk menyekat pautannya kepada pengguna Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam satu kenyataan media di sini hari ini menegaskan bahawa arahan tersebut perlu dilaksanakan pihak penyedia muat turun itu dalam tempoh 24 jam.

“Tindakan susulan akan diambil jika tidak dipatuhi,” katanya sebagai mengulas berhubung permainan video Fight of Gods menampilkan watak Jesus Christ atau Nabi Isa bagi umat Islam konon bertarung dengan Gautama Buddha itu.

Beliau menyifatkan permainan video yang dibangunkan oleh sebuah studio teknologi maklumat berpusat di Taiwan itu sebagai mengaibkan agama tertentu serta boleh mengancam keharmonian antara kaum majmuk di Malaysia.

“Langkah serta-merta perlu diambil demi melindungi kemaslahatan masyarakat,” kata Salleh sambil menegaskan bahawa tindakan mencipta dan menyebarkan kandungan berbaur jelik sedemikian merupakan satu kesalahan.

Pihak terbabit malah boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 namun pada masa sama, MCMC akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk mengekang jenayah berkenaan.

Media global semalam melaporkan penyedia permainan atas talian terkenal, Digital Crafter melancarkan Fight of Gods menerusi aplikasi Steam Early Access awal bulan ini dengan diskaun harga 40 peratus hingga 11 September.

“Rakyat Malaysia amat menghormati sensitiviti budaya dan agama, bahkan aktiviti penjualan serta pengedaran permainan video komputer yang tidak sensitif ini hendaklah dihentikan dengan serta-merta,” tegas Salleh lagi.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan kepada pengguna supaya membuat pilihan yang bijak apabila memilih kandungan bahan untuk diakses terutama melibatkan pautan dari luar negara.

 

Source: http://www.mynewshub.cc

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *