Wanita Biasa Beri Sumbangan Luar Biasa

Dalam mengimbangi peranan mereka yang pelbagai, kaum wanita hari ini masih mampu membuat sumbangan bukan sahaja kepada keluarga, bahkan kepada masyarakat.

Sebagai menghargai usaha wanita yang tidak pernah lelah berbakti meskipun ada kalanya dihimpit masalah peribadi sendiri, Speaker Parlimen Halimah Yaacob telah menyampaikan empat Anugerah Wanita Paling Cemerlang, di Kelab Masyarakat Marsiling semalam.

Anugerah yang diperkenalkan buat kali pertama atas saranan Cik Halimah sendiri itu bertujuan mengiktiraf wanita biasa yang memberi sumbangan luar biasa kepada masyarakat di kawasan Marsiling.

Cik Halimah, yang juga Anggota Parlimen (AP) Marsiling-Yew Tee, menyampaikan anugerah itu dalam satu majlis bagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Kumpulan Wanita Marsiling.

Menurutnya, anugerah tersebut amat bertepatan kerana penerima boleh dijadikan contoh baik kepada masyarakat agar sama-sama terdorong untuk berbakti.

“Melihat keikhlasan, kesungguhan dan komitmen penerima, saya harap ia akan menjadi pembakar semangat kepada yang lain untuk menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Menyentuh tentang usia penerimanya yang rata-ratanya melebihi usia 60 tahun, Cik Halimah berharap ia dapat memberi motivasi kepada golongan muda untuk berbakti.

Antara penerima termasuk ibu tunggal Cik Jainah Awang, 67 tahun, yang sering memasak untuk penduduk yang tinggal di Blok 3 dan 4 Marsiling Road.

Setiap Jumaat, beliau dan beberapa sukarelawan lain akan menyediakan makanan seperti lontong dan nasi lemak di kolong Blok 4 Marsiling sebelum mengagihkannya kepada penduduk memerlukan, termasuk warga senja yang tinggal bersendirian.

“Saya terharu dipilih bagi anugerah ini. Saya bersyukur kerana selepas melibatkan diri dalam kerja sukarela ini, hidup saya lebih tenang.

“Saya tidak lagi merenung mengenang nasib, sebaliknya berasa gembira dapat membantu warga senja pelbagai bangsa dan latar belakang,” ujarnya yang turut menjaga anak bongsunya, 37 tahun seorang anak istimewa.

Selain Cik Jainah, pemenang lain termasuk Cik Hajira Bee Idroos; 62 tahun, Cik Tng Noi Kee; 76 tahun dan Cik Chong Kiaw; 79 tahun.

Sementara itu, Cik Halimah juga mengongsi bahawa pihaknya sedang meninjau cara untuk membantu golongan ibu tunggal di kawasan Marsiling.

Ini termasuk memadankan mereka dengan kursus yang sesuai selain meletakkan anak mereka dalam program tuisyen percuma.

“Cabaran sebagai ibu tunggal memang pelbagai. Selain masalah kewangan dan membesarkan anak seorang diri, golongan ini juga memerlukan rangkaian sokongan yang kukuh,” ujarnya lagi.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *