MOH Pantau Kes Salmonella Yang Meningkat, Lebih 1,000 Kes Dilapor

Apabila Cik Chia mula mengalami sakit perut, beliau menyangka ia tidak serius. Beliau memakan ubat penghilang kesakitan, dan berfikir rasa sakitnya itu akan hilang.

Bagaimanapun, beliau muntah sebanyak dua kali dan mengalami cirit birit sehingga 10 kali sehari.

“Saya tidak tahu apa yang saya makan, kerana Singapura amat bersih dan saya hanya makan makanan biasa seperti di pusat penjaja, dan saya langsung tidak ke luar negara,” katanya.

Cik Chia dimasukkan ke hospital keesokan harinya dan disahkan dijangkiti gastroenteritis salmonella atau radang perut dan usus salmonella pada 8 Mei.

Keadaan beliau itu disebabkan oleh patogen yang dibawa oleh makanan yang boleh menyebabkan cirit birit, muntah-muntah, sakit perut dan demam.

Cik Chia antara 1,042 orang yang dijangkiti salmonella sejauh ini pada 2016. Menurut maklumat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) di lamannya, bilangan orang yang dijangkiti meningkat saban tahun.

Sejak 2012, jumlah kes meningkat sekitar 30 peratus kepada sekitar 2,000 pada 2015. Trend ini nampaknya akan berterusan, dengan jumlah kes yang dilaporkan pada 2016 melebihi 779 sejauh ini berbanding jumlah kes yang dilaporkan antara Januari hingga 20 Jun tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada Mediacorp, jurucakap MOH berkata salmonellosis yang dijangkiti manusia biasanya ada kaitan dengan makan daging ayam itik, daging dan telur yang tercemar.

Jurucakap itu menambah bahawa MOH sedang bekerja rapat dengan Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan (AVA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk memantau situasi dan memahami lebih baik sebab mengapa kes itu meningkat.

BAGAIMANA SALMONELLA DIRAWAT?

Dr Desmond Wai, pakar gastroenterologi di Hospital Mount Elizabeth Novena, berkata bakteria itu tidak dibawa oleh udara namun menarik perhatian ia boleh menular menerusi najis dan oral.

“Pesakit yang dijangkiti salmonella akan mempunyai bakteria pada najis mereka. Jadi jika mereka tidak membasuh tangan betul-betul, menyentuh objek lain, menyiapkan makanan untuk orang lain, mereka boleh menyebabkan jangkitan menular kepada orang lain,” kata Dr Wai.

Beliau menambah bahawa salmonella boleh terdapat pada daging mentah ayam itik dan telur, dan boleh menular menerusi perhubungan sesama manusia.

“Salmonella terutamanya boleh masuk ke ovari ayam. Jadi dalam kuning telur itu, mungkin ada bakterianya. Mereka yang makan telur separuh masak atau telur mentah boleh dijangkiti,” kata Dr Wai.

“Jika anda membasuh ayam yang mengandungi salmonella, tangan kita atau air yang disimbah pada sink mungkin mengandungi bakteria,” jelasnya.

Di Singapura, AVA menjalankan pemeriksaan secara kerap untuk memastikan makanan yang diimport bebas daripada jangkitan. Produk-produk juga mesti mematuhi piawai dan peraturan keselamatan makanan tempatan, kata jurucakap AVA kepada Mediacorp.

“Ujian-ujian sampel kami meliputi pelbagai bahan cemar dan bahan mikrobiologi yang mendatangkan bahaya seperti antibiotik dan hormon serta bahan mikrob yang berbahaya seperti Salmonella,” kata jurucakap itu, sambil menambah produk-produk yang tercemar tidak dibenarkan dijual dan akan dimusnahkan.

Meskipun Pemerintah mengambil langkah berhati-hati untuk mengelak makanan tercemar dari diimport ke Singapura, orang ramai juga harus memainkan peranan seperti menerapkan amalan kebersihan yang baik, seperti membasuh tangan dengan air dan sabun sebelum makan, kata Dr Wai.

Bagi Cik Chia, yang masih beransur pulih dari jangkitan salmonella, beliau kini menumpukan lebih banyak perhatian kepada amalan kebersihan.

“Selain membasuh tangan dengan sabun dengan lebih kerap, saya juga menggunakan bahan cuci tangan untuk pakar bedah sebelum makan,” ujarnya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *