5 Soalan Bersama Pengasas RoseValley, SMFW, Celebfest, Dian Rasid

Jenama RoseValley memang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu di Singapura. Kini ia mahu mengembangkan sayap sejauh Australia pula. Diasaskan tiga tahun lalu oleh Dian Rasid dan suaminya, Md Noor Hadi, RoseValley hanya bermula dengan penjualan produk-produk selebriti daripada Neelofa dan Emma Maembong.

Sekarang, mereka bukan sahaja sudah bertambah maju, malah berjaya mengadakan acara besar-besaran di peringkat kebangsaan, termasuk Hujung Minggu Fesyen Gaya Sopan Singapura (SMFW) dan Celebfest yang turut diadakan di dewan-dewan gah Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Marina Bay Sands dan Pusat Konvensyen Suntec.

Berani mengorak langkah yang wajar dicontohi para peniaga tempatan, Cik Dian Rasid kini juga dipaparkan sebagai salah seorang daripada ‘wajah-wajah kejayaan’ dalam Kempen Ekonomi Masa Depan yang dilancarkan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Minggu ini, wartawan Ira Musfirah mencungkil pemikiran Cik Dian Rasid, seorang mantan pensyarah Politeknik Temasek dan ibu kepada dua orang cahaya mata.

SOALAN 1

Ira: Apa antara cabaran yang anda hadapi sebagai pengasas bersama RoseValley?

Dian: Terdapat pelbagai cabaran sebagai seorang usahawan. Ramai di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan kami yang tertanya-tanya mengapa kami meninggalkan kerjaya kami yang cukup baik itu. Kami terpaksa meyakinkan mereka bahawa kami tahu apa yang kami lakukan dan ini mendorong kami untuk terus membuktikan kepada mereka.

Cabaran lain termasuk meyakinkan pembeli untuk membeli pakaian gaya sopan dan produk selebriti secara online melalui laman kami. Selain itu, kebanyakan daripada mereka biasanya menempah melalui Instagram dan belum pernah menggunakan sistem bayaran online seperti PayPal sebelum ini. Oleh itu kami juga harus membantu mereka untuk menggunakannya.

SOALAN 2

Ira: Anda sedang mengambil PhD dalam jurusan psikologi di Australia. Anda masih merancang untuk meneruskan pelajaran?

Dian: Ya, saya masih ada rancangan. Malah, saya berhenti buat seketika kerana mahu mengukuhkan perniagaan saya dahulu. Pengalaman saya dalam bidang perniagaan sedikit sebanyak didorong oleh kajian PhD saya.

Oleh itu, saya mungkin akan menyepadukan aspek-aspek tingkah laku pengguna dan bisnes ke dalam kajian saya. Insya-Allah saya akan cuba menyepadukan minat mendalam saya dalam psikologi dan perniagaan.

SOALAN 3

Ira: Apa yang mendorong anda untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan?

Dian: Pendorong utama saya adalah anak-anak saya, Ryan dan Alya. Mereka mendorong saya setiap hari untuk melakukan apa yang saya yakini. Dan saya anggap diri saya bertuah kerana mempunyai seorang suami yang sering memberikan sokongan, yang yakin pada impian saya dan yang saling melengkapi kemahiran saya.

Sokongan yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapa serta ayah dan ibu mertua terhadap perniagaan serta impian kami juga lebih memberikan saya dorongan. Sokongan keluarga memang banyak membantu.

(Gambar-gambar: Dian Rasid/ Instagram)

SOALAN 4

Ira: Ada rancangan untuk memperluaskan perniagaan RoseValley?

Dian: Kami bercadang untuk mengembangkan RoseValley ke luar negara terutama sekali di Australia dan di rantau ini.

Kami berharap RoseValley dan usaha-usaha perniagaan tempatan lain akan sama-sama berkembang dan saling menyokong antara satu sama lain. Kita harus menyokong satu sama lain dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang sihat.

SOALAN 5

Ira: Apa kata-kata nasihat yang dapat anda berikan kepada para usahawan yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan?

Dian: Sebenarnya, saya juga masih hijau dalam dunia bisnes, hanya tiga tahun sahaja. Tetapi saya bersyukur atas sokongan dan peluang yang dihulurkan kepada saya dari pelbagai pertubuhan dan golongan masyarakat. Akan sentiasa ada individu yang negatif yang akan cuba menjatuhkan anda dan memberitahu anda bahawa anda tidak boleh mencapai impian anda. Mereka akan mengkritik idea anda dan cuba untuk membuat diri anda berasa kerdil.

Bagi para usahawan baru, jadilah orang yang berani dan bijak. Jadilah orang yang berani untuk mempunyai impian, walaupun ia mungkin kelihatan mustahil. Jadilah orang yang berani untuk mengambil tindakan dan teruskan dengan apa yang anda yakini.

Dan jadilah orang yang bijak – dengan mendengar pandangan pengkritik tetapi usah berasa mudah tawar hati. Ambil sahaja apa yang membina. Selain itu, usah merujuk kepada hanya satu sumber inspirasi dan carilah bahan-bahan rujukan yang lain juga.

 

Source: http://origin-berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *