Tag: derma

  • Jawatankuasa Fatwa Muis Benarkan Bayi Muslim Terima Susu & Ibu Muslim Derma Susu

    Jawatankuasa Fatwa Muis Benarkan Bayi Muslim Terima Susu & Ibu Muslim Derma Susu

    Jawatankuasa Fatwa MUIS memutuskan bahawa pendermaan susu ibu dan pengambilan susu dari bank susu ibu dibenarkan dalam Islam.

    Demikian menurut Pembantu Pengarah Di Pejabat Mufti dan Pembangunan Asatizah Ustaz Irwan Hadi di pelancaran bank derma susu ibu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) .

    Bank yang buat pertama kali ditubuhkan di Singapura itu dilancarkan hari ini (17 Ogos) oleh mantan Speaker Parlimen Halimah Yacob.

    Projek perintis selama tiga tahun itu dikendalikan dengan kerjasama Yayasan Temasek Cares dan diwujudkan bagi ibu-ibu yang tidak berupaya mengeluarkan susu badan yang mencukupi untuk bayi-bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan yang sakit.

    Atas dasar memberi manfaat besar kepada bayi yang memerlukan, Ustaz Irwan berkata Jawatankuasa Fatwa Muis memutuskan bahawa pendermaan susu ibu dan pengambilan susu dari bank susu ibu dibenarkan dalam Islam.

    Dalam soal kaitan persaudaraan atau mahramiyah antara bayi dengan ibu susuan, Jawatankuasa Fatwa menjelaskan bahawa isu tersebut tidak timbul sama sekali dalam hal ini.

    Ini kerana wujud masyaqqah atau satu situasi yang menyukarkan dan membawa kepada satu keperluan untuk bayi-bayi pramatang yang sakit mendapatkan susu ibu.

    Tambahan lagi, bayi tersebut akan menerima susu ibu dari sehingga 20 ibu yang menderma dan bukan dari seorang ibu sahaja, tanpa mengetahui jumlah susu yang diambil dari setiap ibu.

    Dalam hal ini juga, bayi tidak diberikan susu tersebut atas tujuan untuk mengenyangkan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam untuk satu ikatan itu dijalinkan antara bayi dengan ibu susuan, tetapi lebih kepada memenuhi keperluan kesihatan si bayi.

    Sebanyak S$1.37 juta diperuntukkan bagi menubuhkan bank derma susu berkenaan yang akan mengumpul, memeriksa, memproses dan menyimpan bekalan susu daripada ibu-ibu yang menderma.

    KKH dan Yayasan Temasek Cares berharap dapat menarik lebih 370 ibu untuk mendermakan susu badan yang berlebihan.

    Program itu dijangka memanfaatkan sekitar 900 bayi yang menerima jagaan rapi di KKH, Hospital Besar Singapura dan Hospital Universiti Nasional, sepanjang tempoh tiga tahun.

    Menurut KKH sehingga 80% bayi sakit di unit jagaan rapi neonatal dan wad jagaan khas kanak-kanak perlu meminum susu tepung bagi bayi pramatang kerana ibu mereka tidak dapat menghasilkan susu badan yang mencukupi.

    Dengan pelancaran bank itu, Singapura tergolong dalam senarai 40 buah negara di dunia, yang mempunyai kemudahan sedemikian.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan para ibu menyusukan bayi mereka bagi enam bulan pertama kerana ia adalah sumber penting pemakanan dan antibodi yang meningkatkan sistem daya tahan.

    Menurut para pakar, susu badan penting bagi bayi pramatang, yang berisiko dijangkiti penyakit dikenali sebagai necrotising enterocolitis.

     

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Abang Rentas 14 Negara, Dari Singapura Ke Norway, Demi Bantu Orang Susah

    Abang Rentas 14 Negara, Dari Singapura Ke Norway, Demi Bantu Orang Susah

    Perjalanan amal yang jauh lagi mencabar yang merentasi 14 negara dari Singapura hingga ke hujung utara dunia di Nordkapp, Norway – hanya dengan menunggang motosikal.

    Itulah yang bakal dilakukan Encik Rahim Resad, 47 tahun, bermula lewat bulan ini, demi mengumpul dana S$200,000 bagi inisiatif makanan percuma untuk warga memerlukan, Free Food For All.

    BERITAMediacorp diberitahu, kembara solo bagi tujuan murni beliau itu dijangka mengambil masa lebih 5 bulan, iaitu dari 21 Februari hingga ke pertengahan Julai atau awal Ogos 2017.

    Encik Rahim bakal merentasi perjalanan sejauh 20,000 kilometer dari Singapura ke Nordkapp dengan motosikalnya dan berikut ini laluan perjalanan yang dirancangnya:

    Singapura-Malaysia-Thailand-Myanmar-India-Nepal-India-Pakistan-China-Kyrgyzstan-Kazakhstan-Rusia-Mongolia-Rusia-Finland- Sweden- Norway (Nordkapp)

    (Gambar: Petikan dari video Free Food For All di YouTube)

    Menjelaskan lanjut, Encik Rahim, seorang jurugambar dan penulis sambilan, berkata beliau sebenarnya sudah lama teringin untuk menjelajahi dunia dengan menaiki motosikal.

    “Ia impian hidup saya untuk menjelajahi dunia dengan cara yang paling murah, bertemu dengan orang-orang yang tidak dikenali, mengalami sendiri budaya mereka dan meraih pengalaman-pengalaman baru.

    “Bagi saya, menunggang motosikal dari selatan ke utara dunia benar-benar satu cabaran, kedua-duanya dari segi mental dan fizikal. Saya berharap saya dapat menyahut cabaran ini. Dan pengalaman cuba mencapainya, ia satu bonus,” kata Encik Rahim kepada BERITAMediacorp.

    Namun setelah beberapa kali mengambil gambar secara sukarela untuk Free Food For All dan melihat sendiri bagaimana inisiatif itu membantu golongan susah dengan menyediakan makanan halal kepada semua penduduk memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama, hatinya terdetik untuk beramal sambil merealisasikan impiannya itu.

    Setelah berbincang dengan pengasas Free Food For All, Nizar Mohd Shariff, sahabatnya sejak 2008 sejak mereka menyertai kelab 4×4, mereka memutuskan untuk mengadakan kempen mengumpul dana hasil kembara motosikal beliau itu.

    PENGALAMAN DIBERI BANTUAN KETIKA BERKEMBARA

    Bahkan, Encik Rahim juga ingin menyumbang kembali kepada masyarakat kerana pengalaman-pengalaman beliau dibantu orang-orang yang tidak dikenali ketika berkembara, masih segar dalam ingatannya.

    “Semasa kembara-kembara saya yang lalu, orang-orang yang saya tidak kenali membelikan saya makanan, menjemput saya ke rumah mereka.

    “Malah pada 2015, ketika saya tiba di Lijiang, China, pada malam hari ketika saya kesejukan dan basah kuyup terkena hujan dan dalam keadaan letih, seorang lelaki yang saya temui di hadapan sebuah restoran Cina halal yang mewah, belanja saya makan malam – jamuan malam paling hebat dalam seumur hidup saya.

    “Saya kemudian mendapat tahu, beliaulah pemilik restoran itu. Jadi boleh dikatakan, saya menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata Encik Rahim, yang pernah berkembara menaiki basikal di serata Borneo (Sabah, Brunei, Sarawak dan kembali ke Sabah) dan merupakan penulis buku ‘The Man Who Rode Around Borneo.’

    PERNAH GAGAL KAYUH BASIKAL DARI S’PURA KE NORWAY DEK KECEDERAAN

    Bahkan kata Encik Rahim, semangatnya untuk menjelajah dari Singapura ke Norway lebih berkobar-kobar lagi memandangkan beliau pernah gagal dalam rancangannya untuk melakukan demikian sebelum ini akibat lututnya cedera.

    Encik Rahim menceritakan, beliau pernah menyertai misi kembara solo mengayuh basikal dari Singapura ke Nordkapp pada 2015, namun semasa di Pakse, Laos, ketika mengayuh basikal mendaki gunung, ligamen di lutut kirinya koyak. Beliau lalu terpaksa pulang ke Singapura dengan menaiki pesawat.

    “Ia kecederaan lama. Saya berjumpa dengan doktor di sini dan diberitahu lutut kiri saya sudah tidak dapat tahan perjalanan mengayuh basikal bagi jarak yang jauh di kawasan bergunung,” ujar Encik Rahim.

    Encik Rahim berkata beliau akan menunggang motosikal Honda Transalp 1994 dengan 400cc untuk kembaranya ke Norway.

    Beliau akan menempuhi sebahagian besar perjalanannya itu secara solo, kecuali perjalanan dari Myanmar ke India.

    “Ada syarat wajib mengambil khidmat pemandu perjalanan di sana. Untuk mengurangkan kos, saya akan merentasi kawasan itu bersama penunggang-penunggang dari negara lain. Sama juga di China, di mana saya akan menyertai pengembara Eropah lain dengan kenderaan 4×4 mereka untuk merentasi ke China dan tiba di Kyrgyzstan,” katanya kepada BERITAMediacorp.

    MAHU SAMBUT HARI KEBANGSAAN DI NORWAY

    Encik Rahim merancang untuk tiba di Nordkapp pada pertengahan Julai hingga awal Ogos untuk mengelak cuaca sejuk di Garisan Artik.

    “Ini juga untuk menyambut Hari Kebangsaan Singapura ke-52 dan mendedikasikan kembara saya ini kepada rakyat Singapura, tidak kira bangsa atau agama. Ia juga untuk dijadikan perangsang kepada mereka, lebih-lebih lagi keadaan ekonomi sekarang ini, bahawa tiada apa yang mustahil jika anda tidak berputus asa,” ujarnya.

    Encik Rahim berkata beliau mula berkembara dengan mengayuh basikal sejak 2008, setelah doktor memberitahu beliau mengalami hipertensi ringan dan menasihatinya supaya kembali bersenam.

    Sejak itu, beliau mengayuh basikal secara kerap di serata Singapura serta ke Indonesia, Malaysia, Thailand, Borneo dan ke China.

    (Gambar-gambar: Rahim Resad)

    APA KEBIMBANGAN UTAMANYA?

    Ditanya tentang apakah kebimbangan utama beliau bagi kembara solonya ke Norway itu, Encik Rahim berkata ia adalah hakikat bahawa beliau akan menempuhi perjalanan begitu jauh itu seorang diri.

    “Sebahagian besarnya adalah hakikat bahawa saya akan seorang diri di perjalanan begitu sunyi dan jauh. Apa akan terjadi jika motosikal saya rosak? Atau saya cedera? Jika saya kehabisan minyak, makanan dan air? Apa yang harus saya lakukan?

    “Jadi saya mengambil kira semua itu dalam penilaian risiko saya dan saya berusaha mencari jalan bagaimana saya boleh mengurangkan risiko itu. Ia proses yang rumit tetapi saya yakin saya boleh mengendalikannya,” ujar Encik Rahim.

    Malah, beliau mengakui berasa teruja untuk mengunjungi kampung-kampung, mengalami cara kehidupan mereka dan memetik gambar pemandangan-pemandangan indah.

    “Saya selalu teruja menunggang motosikal ke kampung-kampung, bertemu dengan penduduk di sana dan mengalami sendiri kehidupan mereka yang ringkas. Saya juga gemar memetik gambar jalanan, jadi saya memilih laluan kampung, dan bukan lebuh raya-lebuh raya besar.

    “Setakat ini, saya hanya merancang untuk menikmati perjalanan saya sebaik mungkin, sedang saya berkembara ke tempat-tempat yang tidak biasa dilalui pelancong,” katanya.

    Bagaimana pula beliau merancang untuk pulang ke Singapura? Encik Rahim berkata setakat ini, ada rancangan untuk beliau menunggang motosikal pulang ke negara ini sekiranya beliau berkemampuan secara fizikal dan kewangan, dan menggunakan laluan yang berbeza dan mungkin lebih mencabar.

    Ditanya apakah persiapan yang sedang dilakukan beliau secara fizikal dan mental bagi kembaranya itu, Encik Rahim berkata beliau sudah menyertai aktiviti berjalan jauh atau trekking, serta memanjat tembok.

    “Secara mental pula, saya kerap membayangkan laluan perjalanan saya dan mempersiapkan diri saya bagi cabaran-cabaran yang akan saya hadapi,” ujarnya, yang menambah keluarganya menyokong inisiatifnya itu.

    SASAR KUMPUL S$10 BAGI SETIAP 1 KM

    Sementara itu, menjelaskan lanjut tentang kempen mengumpul dana, pengasas Free Food For All, Nizar Mohd Shariff berkata pihaknya berharap dapat mengumpul S$200,000 hasil kembara motosikal Encik Rahim itu.

    Dana S$200,000 itu adalah kos yang diperlukan untuk membiayai program harian penghantaran makanan malam kepada rumah-rumah warga tua yang kurang upaya dan tidak mampu berjalan, ditinggalkan anak-anak atau hidup susah di kawasan Marsiling, Chai Chee dan Boon Lay.

    Kata Encik Nizar, beliau menyasarkan untuk mengumpul S$10 bagi setiap 1 kilometer yang ditempuhi Encik Rahim – atau keseluruhannya S$200,000 bagi perjalanan 20,000 kilometer itu.

    Program penghantaran makanan malam itu sudah dijalankan sejak Mac tahun lalu.

    “Kami ingin meluaskan program ini kepada lebih banyak kawasan di Singapura, tetapi buat masa ini kami tidak ada sumber kewangan yang mencukupi untuk melakukannya, jadi kami hanya fokus kepada tiga kawasan ini. Program ini akan memanfaatkan sekitar 300 penduduk,” kata Encik Nizar ketika dihubungi BERITAMediacorp.

    BOLEH SUMBANG DERMA SECARA ONLINE NANTI

    Beliau menambah, apabila kempen itu dilancarkan nanti pada akhir bulan ini, orang ramai dapat menyumbangkan derma di laman kendalian Pemerintah, www.giving.sg.

    Encik Nizar berkata pihaknya ingin memberi lebih banyak jaminan kepada para penderma, justeru kempen itu akan menggunakan wadah www.giving.sg.

    Sesiapa sahaja dari seluruh dunia boleh menyumbang derma (minimum S$10), dan sumbangan boleh diberikan menerusi NETS atau kad kredit. Sumbangan S$10 boleh membiayai lima makanan malam untuk warga tua yang memerlukan, katanya.

    “Adalah mustahil untuk menghapuskan kebuluran di dunia ini, tetapi kami boleh mengongsi mesej untuk membantu orang lain mengharungi masalah ini. Itu juga yang diharapkan dari kembara ke Norway ini – supaya Rahim boleh menyebarkan mesej ini dari negara ke negara lain,” kata Encik Nizar.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Tabung Derma Mencerminkan Kemajuan Maysyarakat Melayu Islam Singapura

    Tabung Derma Mencerminkan Kemajuan Maysyarakat Melayu Islam Singapura

    Alhamdulillah, satu evolusi yg mencerminkan tahap kedermawanan dan ekonomi masyarakat islam spura.

    Duit dlm tabung, klw dulu2 bnyk syilling skrng Wang kertas, klw beberapa tahun yg lalu bnyk duit 2sgd/5sgd skrng semakin bnyk duit 10sgd/50sgd.

    Bahkan sering kita lihat tabung berisi 1000sgd note.

    Seseorang itu banyak menderma kerana besar rezekinya?

    Atau besar rezeki kerana bnyk dermanya?

     

    Source: Muhammad Nuzhan

  • Ingin Bantu Pelarian Syria Harungi Musim Sejuk? Semua 70 Masjid S’pura Kumpul Dana Khas Mulai Jumaat Ini

    Ingin Bantu Pelarian Syria Harungi Musim Sejuk? Semua 70 Masjid S’pura Kumpul Dana Khas Mulai Jumaat Ini

    Kita di Singapura, Malaysia dan Indonesia sedang mengalami cuaca dingin yang nyaman. Namun para pelarian Syria kini dibelenggu oleh cuaca amat sejuk, yang menggigit rantau Timur Tengah.

    Bermakna, para pelarian Syria kini memerlukan lebih banyak bantuan dan kelengkapan bagi melindungi diri mereka, selain keperluan lain seperti makanan.

    Lantaran itu, mulai Jumaat ini (3 Feb), semua 70 masjid di Singapura, dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), akan mengadakan kutipan derma khas sempena musim sejuk, bagi membantu para pelarian Syria.

    KERJASAMA RLAF, UNHCR & MAHASISWA S’PURA DI JORDAN

    Konflik dalam negeri dan peperangan di Syria yang sudah berlarutan hampir enam tahun amat menjejas para penduduknya.

    Lebih empat juta rakyat Syria sudahpun melarikan diri dari negara itu dan mendapatkan perlindungan di negara-negara asing seperti Eropah, Turki, Jordan, Lubnan, Iraq dan Mesir.

    Di Jordan sahaja, terdapat 650,000 pelarian dan jumlah yang tinggi itu menjejas ke atas sumber-sumber di negara yang juga sedang berusaha memenuhi keperluan rakyatnya sendiri.

    (Gambar: MOHAMAD ABAZEED / AFP)

    Oleh itu, RLAF akan bekerjasama dengan UNHCR dan badan mahasiswa Singapura di Jordan untuk menghulurkan bantuan dalam program bantuan musim sejuk serta program-program pendidikan bagi kanak-kanak Syria.

    KEMPEN KUTIP DANA BERLANGSUNG SELAMA SEMINGGU

    Kotak-kotak derma RLAF akan diletakkan di semua 70 masjid dari Jumaat ini sehingga Khamis 9 Februari 2017 dan akan tertera tulisan “Special Winter Collection in Aid of Syrian Refugees”.

    Orang ramai boleh menghulurkan derma mereka secara tunai ataupun menerusi cek. Semua derma menerusi cek perlu diberikan kepada “RLAF” dan ditulis “Special Winter Collection in Aid of Syrian Refugees” pada bahagian belakangnya.

    Sumbangan wang tunai dan cek boleh dihantar ke Bangunan MUIS di Hab Islam Singapura, No 273, Braddell Road, Singapore 579702.

    Selain itu, orang awam juga boleh menyumbang secara online menerusi https://zakat.sg/ePayment/donations.aspx.

    RLAF PERNAH BANTU 4,000 KELUARGA SYRIA

    Pada tahun 2014, RLAF dan masjid-masjid di Singapura berjaya mengumpulkan lebih $400,000 menerusi dua usaha mengumpul dana bagi para pelarian Syria.

    Dana itu digunakan untuk mengagihkan makanan yang sudah dimasak, keperluan bagi lebih 4,000 keluarga Syria, peralatan sekolah bagi kanak-kanak pelarian Syria di tiga buah sekolah di Turki serta kit ubat-ubatan bagi klinik-klinik untuk merawat mereka yang cedera dan kurang upaya.

    (Gambar: YASIN AKGUL / AFP)

    Yang paling penting, RLAF dengan kerjasama Projek ASRIT (Bantuan untuk Pelarian Syria di Turki) berjaya menubuhkan Pusat Pendidikan Temasek di Kilis, selatan Turki yang mengambil 500 pelajar Syria dari peringkat tadika sehingga pos-menengah setiap tahun. Sehingga kini, pusat ini masih lagi beroperasi.

    Source: BeritaMediacorp

  • Anak Derma Ginjal Pada Bapa

    Anak Derma Ginjal Pada Bapa

    ENCIK Abdul Hadi Ahmad bak sudah jatuh ditimpa tangga.

    Kesemuanya bermula apabila isterinya, Cik Noraini Arjob, 50 tahun, disahkan menghidap penyakit barah buah dada lebih lima tahun lalu.

    Penyakit yang dihidapi isterinya sudah tentu menjejas kesejahteraan keluarga lima beranak itu.

    Namun, dalam kesibukan memberi perhatian kepada kesihatan dan rawatan isterinya itu, beliau pula disahkan menghidap penyakit ginjal yang berfungsi hanya lima peratus sekitar dua tahun lalu.

    Tubuh yang lemah dan hilang fokus menyebabkan beliau bak layang-layang putus tali.

    Encik Hadi, 49 tahun, ayah tiga anak, adalah pemilik Offshore Entertainment Production, sebuah syarikat penganjur konsert artis dan kumpulan popular antarabangsa seperti Janet Jackson, Maher Zain, Kenny Loggins, serta kumpulan Michael Learns to Rock dan Earth, Wind and Fire.

    Rawatan dialisis yang menjenuhkan, memaksa beliau membatalkan kesemua tugas yang dijalankan bersama isterinya di luar negara.

    Namun, bak awan mendung berarak pergi, beliau lega apabila doktor mengesahkan ginjal anak tirinya, Cik Nurain Sudin, 26 tahun, sepadan dan serasi dipindahkan kepadanya.

    Anak kandungnya, Cik Nursyahira, 19 tahun, seorang pramugari, didapati tidak layak menjadi penderma kerana usia bawah 21 tahun.

    “Alhamdulillah, Allah yang mengaturkan ini semua. Sebenarnya saya tak sampai hati kerana Nurain punya kehidupan sendiri. Tetapi dia sendiri yang mahu dermakan ginjalnya lebih-lebih lagi doktor jamin dia tak akan hadapi apa-apa masalah selepas pemindahan.

    “Ayah mana yang tak bersyukur dan tersentuh jika anaknya sendiri sanggup derma ginjalnya kepada saya!” tambahnya yang kelihatan sebak seketika.

    Namun, Encik Hadi dan Cik Nurain terpaksa menjalani pelbagai ujian dan pemeriksaan sekitar setahun sebelum pemindahan akhirnya dijalankan di Hospital Mount Elizabeth 10 Mei lalu.

    Beberapa bulan sebelum itu, Encik Hadi telah menjalani pembedahan bagi memastikan jantungnya mantap sebelum pemindahan ginjal.

    Pembedahan tanpa sebarang masalah itu dijalankan sekumpulan doktor bedah yang diketuai Konsultan Nefrologi atau pakar ginjal, Dr Stephen Chew Tec Huan.

    Cik Nurin, seorang kakitangan pentadbiran di Wisma Teroka Singapura (SDC), berkata: “Saya tak teragak-agak berikan ginjal kepada ayah apabila doktor kata ayah perlukannya. Saya serahkan segala-galanya kepada Allah.

    “Ayah adalah payung dan segala-galanya bagi kami sekeluarga.”

    Menurut Encik Hadi, kos pemindahan tersebut dan pembedahan jantung yang dijalani menelan sekitar $140,000.

    “Alhamdulillah rezeki yang Allah beri dapat saya bayar kesemuanya. Ini berkat doa dan menjaga ibu saya dan ibu mentua saya,” tambahnya sambil mengucapkan terima kasih kepada Dr Chew dan pasukannya serta para jururawat berdedikasi dan melayannya dengan baik.

     

    Source: www.beritaharian.sg