Ingin Bantu Pelarian Syria Harungi Musim Sejuk? Semua 70 Masjid S’pura Kumpul Dana Khas Mulai Jumaat Ini

Kita di Singapura, Malaysia dan Indonesia sedang mengalami cuaca dingin yang nyaman. Namun para pelarian Syria kini dibelenggu oleh cuaca amat sejuk, yang menggigit rantau Timur Tengah.

Bermakna, para pelarian Syria kini memerlukan lebih banyak bantuan dan kelengkapan bagi melindungi diri mereka, selain keperluan lain seperti makanan.

Lantaran itu, mulai Jumaat ini (3 Feb), semua 70 masjid di Singapura, dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), akan mengadakan kutipan derma khas sempena musim sejuk, bagi membantu para pelarian Syria.

KERJASAMA RLAF, UNHCR & MAHASISWA S’PURA DI JORDAN

Konflik dalam negeri dan peperangan di Syria yang sudah berlarutan hampir enam tahun amat menjejas para penduduknya.

Lebih empat juta rakyat Syria sudahpun melarikan diri dari negara itu dan mendapatkan perlindungan di negara-negara asing seperti Eropah, Turki, Jordan, Lubnan, Iraq dan Mesir.

Di Jordan sahaja, terdapat 650,000 pelarian dan jumlah yang tinggi itu menjejas ke atas sumber-sumber di negara yang juga sedang berusaha memenuhi keperluan rakyatnya sendiri.

(Gambar: MOHAMAD ABAZEED / AFP)

Oleh itu, RLAF akan bekerjasama dengan UNHCR dan badan mahasiswa Singapura di Jordan untuk menghulurkan bantuan dalam program bantuan musim sejuk serta program-program pendidikan bagi kanak-kanak Syria.

KEMPEN KUTIP DANA BERLANGSUNG SELAMA SEMINGGU

Kotak-kotak derma RLAF akan diletakkan di semua 70 masjid dari Jumaat ini sehingga Khamis 9 Februari 2017 dan akan tertera tulisan “Special Winter Collection in Aid of Syrian Refugees”.

Orang ramai boleh menghulurkan derma mereka secara tunai ataupun menerusi cek. Semua derma menerusi cek perlu diberikan kepada “RLAF” dan ditulis “Special Winter Collection in Aid of Syrian Refugees” pada bahagian belakangnya.

Sumbangan wang tunai dan cek boleh dihantar ke Bangunan MUIS di Hab Islam Singapura, No 273, Braddell Road, Singapore 579702.

Selain itu, orang awam juga boleh menyumbang secara online menerusi https://zakat.sg/ePayment/donations.aspx.

RLAF PERNAH BANTU 4,000 KELUARGA SYRIA

Pada tahun 2014, RLAF dan masjid-masjid di Singapura berjaya mengumpulkan lebih $400,000 menerusi dua usaha mengumpul dana bagi para pelarian Syria.

Dana itu digunakan untuk mengagihkan makanan yang sudah dimasak, keperluan bagi lebih 4,000 keluarga Syria, peralatan sekolah bagi kanak-kanak pelarian Syria di tiga buah sekolah di Turki serta kit ubat-ubatan bagi klinik-klinik untuk merawat mereka yang cedera dan kurang upaya.

(Gambar: YASIN AKGUL / AFP)

Yang paling penting, RLAF dengan kerjasama Projek ASRIT (Bantuan untuk Pelarian Syria di Turki) berjaya menubuhkan Pusat Pendidikan Temasek di Kilis, selatan Turki yang mengambil 500 pelajar Syria dari peringkat tadika sehingga pos-menengah setiap tahun. Sehingga kini, pusat ini masih lagi beroperasi.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *