Tag: Hang Tuah

  • Pakar: Hang Tuah Wujud, Pernah Perintah Temasek

    Pakar: Hang Tuah Wujud, Pernah Perintah Temasek

    SINGAPURA mungkin sebuah pusat pelabuhan utama bagi Empayar Melaka pada abad ke-15 yang ditadbir seorang laksamana yang dipercayai Hang Tuah.

    Laksamana itu dikatakan bukan sahaja berkuasa memerintah pulau ini dan mentadbir pelabuhan tersebut, bahkan mengetuai angkatan laut Kesultanan Melaka yang menjadikan Singapura pangkalannya.

    Sebagai Laksamana, Hang Tuah juga menjadikan pulau ini tempat tinggalnya, kata pakar sejarah dan arkeologi Singapura, Profesor John Miksic.

    Baru-baru ini, kewujudan Hang Tuah sekali lagi dipersoal kerana tiadanya bukti arkeologi yang mengaitkan kehidupannya, seperti yang dilaporkan media seberang tambak Mei lalu.

    Ia menukil Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai mengesahkan bukti arkeologi mengaitkan kewujudan Laksanama Hang Tuah masih belum ditemui.

    Walaupun akur dengan ketiadaan bukti tersebut, Dr Miksic tetap percaya Hang Tuah wujud bahkan pernah bermastautin di Singapura berdasarkan surat-menyurat yang ditemui di Pulau Okinawa.

    “Orang seperti Hang Tuah pasti ada. Jabatannya sebagai Laksamana ada. Gelarannya juga sebagai Sri Bija Diraja, kita ketahui pasti ada. Orang yang namanya Hang Tuah belum dapat diperkuat dengan data dari sumber selain daripada Sejarah Melayu. Tapi tidak ada alasan untuk percaya bahawa orang dengan nama itu tidak ada,” ujarnya.

    Menurut beliau, watak Hang Tuah itu sering disebut dalam sumber-sumber asing seperti dokumen dari China dan Okinawa di Jepun, selain Sejarah Melayu.

    “Itu yang paling menentukan, sebab ternyata pada akhir abad ke-15, Laksamana dari Singapura itu berhak mengirim surat atas namanya sendiri kepada raja asing. Surat itu masih ada di Okinawa…

    “…Masih ada surat-surat di Okinawa yang dikirimkan dari Laksamana Melaka, tanpa nama, hanya gelarannya yang disebut. Tapi dia yang berhak bertindak atas nama Sultan,” tambah Profesor Jabatan Pengajian Asia Tenggara Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, yang ditemui baru-baru ini untuk mengesahkan kewujudan Laksamana mahsyur itu.

    Dr Miksic mengajar di NUS sejak 1987. Sebelum itu, beliau mengajar di Universiti Gadjah Mada, Indonesia, selama enam tahun.

    Memberi perincian Singapura sebagai pusat pelabuhan Empayar Melaka, Dr Miksic menegaskan ia jelas dilaporkan perwira angkatan armada Laksamana Zheng He (Cheng Ho) dari China pada 1435.

    Menurut Profesor Miksic, setelah tertubuhnya Kesultanan Melaka, Singapura tetap wujud dan tidak musnah akibat serangan Majapahit.

    Sebelum ini, sejarah menyatakan Singapura musnah selepas serangan itu, yang dilakukan agar dapat menangkap sultan terakhir Singapura, Sultan Iskandar Shah. Kenyataan itu dibuktikan bukan sahaja dari segi sejarah, malah arkeologi.

    Ia menunjukkan Singapura, atau ketika itu masih dipanggil Temasek, merupakan sebuah pelabuhan yang memainkan peranan penting dalam hubungan luar negara.

    Singapura juga dikatakan pusat pemindahan kapal dan sangat strategik dalam struktur kerajaan Melaka – tempat bagi orang seperti dari tanah Jawa atau Sumatrea contohnya datang ke Singapura dengan menaiki kapal, sebelum berpindah ke kapal lain menuju ke tempat lain seperti India atau China.

    Angkatan laut Kesultanan Melaka pula ditempatkan di Singapura disebabkan kedudukan pulau ini lebih strategik berbanding Melaka yang terbuka dan mudah diserang.

    Selain melindungi perairan Selat Melaka dan sekitarnya, angkatan tersebut dikerah membasmi kegiatan melanun di perairan Singapura.

    Hang Tuah juga mempunyai kuasa memerintah Singapura.

    “Jelas beliau juga harus mengadap ke Istana kalau ada upacara atau ada tugas lain, yang bererti harus ketemu dengan Raja, Sultan atau Bendahara, misalnya. Tetapi hari-hari tempat tinggalnya di Singapura,” kata Dr Miksic.

     

    Source: Berita Harian

  • Laluan Hang Tuah Bawa Tun Teja Dikaji Bagi Buktikan Wujudnya Hang Tuah

    Laluan Hang Tuah Bawa Tun Teja Dikaji Bagi Buktikan Wujudnya Hang Tuah

    Ekspedisi jejak laluan Hang Tuah dari Sungai Muar hingga Sungai Pahang di Pahang dijangka dilaksanakan pada November sekiranya ia mendapat kerjasama tiga negeri yang terlibat.

    Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Profesor Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata usaha itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan Negeri Sembilan, Johor dan Pahang kerana ia melibatkan laluan sekitar 500 kilometer di negeri tersebut.

    Beliau juga menambah usaha itu turut melibatkan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

    “Ekspedisi berkenaan digerakkan dengan penyertaan lebih 100 orang terdiri daripada golongan belia, kakitangan kerajaan dan media bagi menjejaki sekaligus membuktikan kewujudan Hang Tuah.

    “Antara kaedah yang akan digunakan adalah secara arkeologi, kajian manuskirp dan temu bual dengan penduduk asal di kawasan sepanjang laluan itu,” jelas Profesor Mohd Jamil.

    Beliau bercakap kepada para wartawan semasa majlis pembentangan hasil kajian awal jejak laluan Hang Tuah Membawa Tun Teja dari Pahang ke Melaka di Malaysia, hari ini (7 Jun).

    Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

    Profesor Mohd Jami mengulas lagi laluan berkenaan dikenal pasti digunakan Hang Tuah ketika membawa Tun Teja ke Melaka selain menjadi laluan pembesar, pahlawan, pedagang dan pendakwah khususnya dari Melaka ke Pahang dan sebaliknya.

    Sementara itu, Encik Idris berkata kerajaan negeri akan terus menyokong termasuk dari segi kewangan, usaha Iksep bagi membuktikan kewujudan Hang Tuah dan menjadikannya sebagai satu produk pelancongan baru negeri Melaka.

    “Ia perlu dilaksanakan secara serius dengan bukti-bukti sejarah sedia ada.

    “Kita tidak mahu keuwjudan Hang Tuah terus dipertikaikan padahal Melaka memang sinonim dengan nama pahlawan itu dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka,” tegas Encik Idris.

    Source: Berita MediaCorp

  • Hang Tuah Mengaku Anak Kandung Tan Sri Jins Shamsudin

    Hang Tuah Mengaku Anak Kandung Tan Sri Jins Shamsudin

    Pelakon Tan Sri Jins Shamsudin memang dikenali sebagai pelakon kacak yang amat melindungi kehidupan peribadinya.

    Ketika sihatnya, kisah yang dipaparkan dalam media massa tentangnya tidak pernah lari daripada perkerjaan atau perjuangannya dalam seni.

    Namun apabila semakin dimamah usia, lebih-lebih lagi dalam keadaannya sekarang yang menghidap penyakit Alzheimer sejak empat tahun lalu, Jins, 81 tahun, tidak mampu menjelaskan kemelut yang sedang melanda keluarganya.

    Baru-baru ini, anak kedua Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Hang Tuah @ Shazrin mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan bahawa beliau adalah anak kandung seniman veteran itu yang sah hasil perkahwinan bapanya dengan ibunya, Jamilah Shukor, pada tahun 1973. Beliau bukan anak angkat seperti yang didakwa.

    Hang Tuah, 41 tahun, ke depan selepas isteri Jins, Halijah Abdullah, membuat satu kenyataan dalam interviu di akhbar bahawa suaminya hanya mempunyai tiga anak – dua hasil perkahwinan dengannya (Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim) dan seorang lagi dengan seniwati Allahyarhamah Rahmah Rahmat, iaitu Mohamad Jefri yang lahir pada 1962.

    Dalam sidang media itu, Hang Tuah mengatakan, Jins dan Jamilah berkahwin secara rahsia di Thailand. Beliau juga tidak dibesarkan ibunya tapi dipelihara ibu saudara (kakak Jins, Hazizan Samsudin) di Taiping, Perak, sejak kecil.

    Beliau membawa beberapa bahan dokumentasi untuk menguatkan dakwaannya, termasuklah sijil kelahiran serta buku biografi bapanya hasil tulisan Mohd Zamberi A. Malek berjudul Suria Kencana diterbitkan pada tahun 1998.

    Buku itu menyebut pelakon itu pernah berkahwin dengan Jamilah pada tahun 1973 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu dirinya.

    “Saya buat sidang media ini bukan hanya untuk diri saya tetapi kerana ibu saya yang agak terganggu dengan kenyataan dikeluarkan Halijah dan hanya ingin menjernihkan suasana.

    “Tetapi tidaklah sampai saya ingin membawa kes ini ke mahkamah dan sekiranya beliau sedar ia satu kesilapan beliau hanya boleh memohon maaf.

    “Saya juga bukan mahu menuntut harta bapa dan tidak akan berkecil hati sekiranya tidak mendapat apa-apa pada masa hadapan,” jelas bekas juruterbang syarikat Air Asia X itu.

    Beliau bagaimanapun mengakui tidak lagi menjenguk bapanya sejak empat tahun lalu kerana sebab-sebab peribadi.

    Tindakan Hang Tuah membawa isu keluarga ke sidang media bagaimanapun tidak disenangi Putera Hang Nadim yang ikut hadir bersama beberapa anggota keluarganya.

    Hang Nadim, 24 tahun, berkata, Hang Tuah sepatutnya bersemuka dengan keluarganya tanpa melibatkan pihak luar dalam apa juga isu berbangkit untuk berbincang secara baik.

    “Saya tidak faham mengapa perlu melibatkan orang lain dalam hal keluarga? Pintu rumah kami sentiasa terbuka untuk menerima kunjungannya biarpun sudah empat tahun dia tidak datang menjenguk ayah.”

    Menceritakan sedikit sebanyak mengenai dirinya, Hang Tuah berkata, sejak dilahirkan beliau dibesarkan oleh ibu saudaranya yang juga kakak Jins iaitu Hazizan Samsudin di Taiping, Perak.

    Namun kata Hang Tuah, bapanya sering melawatnya di kampung dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepadanya biarpun hubungan mereka tidak rapat.

     

    Source: http://beritaharian.sg