Tag: Singapura

  • Bekas Pengurus Majlis Pusat, Gazaly Malek, Dipenjara 20 Minggu Kerana Menipu

    Bekas Pengurus Majlis Pusat, Gazaly Malek, Dipenjara 20 Minggu Kerana Menipu

    BEKAS pengurus Majlis Pusat (MP), Gazaly Malek, semalam dijatuhi hukuman penjara 20 minggu atas tiga pertuduhan menipu tiga badan berkanun hampir $190,000 berhubung perbelanjaan bagi acara penyalaan lampu Hari Raya.

    Gazaly, 60 tahun, telah mengaku bersalah pada minggu lalu bersubahat dengan tiga individu lain menipu agensi pemerintah bagi projek penyalaan lampu Hari Raya Geylang Serai pada 2011 dan 2012.

    Tiga individu itu ialah bekas presiden MP, Saharudin Kassim; bekas setiausaha kewangan, Abdul Ghani Tahir; dan seorang vendor, Salleh Sam, yang mengendalikan projek itu.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Encik Adam Nakhoda berkata walaupun Gazaly bukan dalangnya, beliau mendapati tertuduh menyedari apa yang dilakukannya itu menyalahi undang-undang.

    Dia hanya mengikut arahan Saharudin.

    Hakim turut mempertimbang faktor mitigasi lain dalam kes itu termasuk Gazaly tidak mendapat manfaat daripada konspirasi itu; tiada rekod jenayah; kerjasama yang diberi kepada Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) dalam siasatan dan dia awal mengaku bersalah.

    Namun, hakim menambah bahawa Gazaly sedar perbuatannya salah dan apabila disuruh melakukan perbuatan itu, dia “harus menghentikannya dengan segera”.

    Peguam Gazaly, Encik Amarjit Singh, meminta hukuman ditangguh dua minggu. Permintaan itu tidak dibangkang pihak pendakwa dan dipersetujui oleh hakim.

    Gazaly akan menjalani hukuman penjara mulai 23 Mei.

    Ketika diminta anak guamnya mengulas tentang hukuman itu, Encik Singh berkata Gazaly mendapati ia adil.

    “Melihat keadaan keseluruhannya, Gazaly rasa hukuman itu adil kerana dia tahu apa yang sedang berlaku – bahawa jumlah perbelanjaan invois itu dinaikkan. Dan hukuman yang dijatuhkan adalah lingkungan yang dijangkakan,” kata Encik Amarjit.

    Beliau berkata penangguhan itu diminta kerana anak guamnya perlu menyelesaikan perkara peribadi.

    “Dia masih menjaga ibunya dan harus membuat rancangan bagi penjagaannya sementara dia menjalani hukuman,” kata Encik Amarjit.

    Gazaly, seorang warga Canada, kembali ke Singapura enam tahun lalu kerana ingin meluangkan masa bersama ibunya yang berusia 86 tahun dan anggota keluarganya yang sakit teruk.

    Disebabkan niatnya itu Gazaly menerima tawaran pekerjaan sebagai pengurus program di Majlis Pusat.

    Di Majlis Pusat, dia bekerja di bawah arahan setiausaha agung MP ketika itu iaitu Saharudin.

     

    Source: www.beritaharian.sg

  • Dari ITE, Kini Cemerlang Di Politeknik

    Dari ITE, Kini Cemerlang Di Politeknik

    Beliau pernah menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Encik Hasbi Basman memberitahu BERITAMediacorp beliau pernah melalui fasa hidup di mana beliau hilang motivasi dalam bidang akademik, kurang keyakinan diri dan pernah gagal sebanyak dua kali.

    Namun hari ini (3 Mei), belia berusia 27 tahun itu, boleh berbangga kerana berjaya dalam pendidikan dan menerima sijil Diploma dalam jurusan Sains Bahan di majlis konvokesyen Politeknik Republik.

    Encik Hasbi Basman bersama ibunya. (Gambar: Hasbi Basman)

    Cerita Encik Hasbi membuktikan bahawa walau apapun permulaan seseorang, dengan sikap yang betul, seseorang boleh menuju ke arah kejayaan.

    Oleh itu, setelah menerima keputusan peperiksaan GCE ‘N’, beliau membuat keputusan untuk meneruskan pengajian ke Nitec Tinggi di ITE Kolej Timur.

    ITE – TITIK PERMULAAN UNTUK TIDAK SIA-SIAKAN PELUANG

    “Saya rasa ITE adalah pilihan terbaik buat saya, untuk saya keluar dari sekolah menengah dan bertukar angin dalam sebuah sekitaran yang baru di ITE,” kata anak kelima daripada enam orang adik beradik itu.

    Encik Hasbi Basman bersama kakak (kiri) dan ibunya (kanan). (Gambar: Hasbi Basman)

    “Keluarga saya juga tidak pernah melarang saya membuat pilihan, kerana saya masih terus melakukan sesuatu dan membuat keputusan untuk masa depan saya. ITE juga seperti batu loncatan buat diri saya,” kongsi Encik Hasbi kepada BERITAMediacorp.

    Malah, ITE merupakan titik permulaan di mana Encik Hasbi benar-benar menanam keinginan untuk tidak mensia-siakan setiap peluang yang ada.

    SUMBER INSPIRASI

    Beliau menambah: “Semasa di ITE, ada seorang teman memberi nasihat kepada saya. Beliau memberitahu saya, jika kita mahu melakukan sesuatu, biarlah ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh, supaya apabila kita melihat hasilnya nanti, kita tidak akan ada rasa menyesal dan tahu bahawa kita sudah melakukan yang terbaik.”

    “Beliau juga mengingatkan saya supaya hidup tanpa ada rasa penyesalan dan nasihat itulah yang saya pegang sehingga kini,” tambah Encik Hasbi.

    Bermula saat itu, Encik Hasbi berkata beliau sentiasa melakukan yang terbaik dan akhirnya berjaya diterima masuk ke politeknik.

    Encik Hasbi Basman (berbaju ungu) bersama rakan-rakannya. (Gambar: Politeknik Republik)

    Di politeknik, beliau bukan sahaja berjaya menjulang Diploma Sains Bahan malah segulung sijil pentauliahan industri yang diperolehinya semasa menjalani latihan amali.

    Menurut seorang jurucakap Politeknik Republik Encik Hasbi juga sudahpun menerima tawaran bekerja dengan syarikat Kulicke & Soffa sebagai seorang jurutera bersekutu.

    DARI POLITEKNIK KE DOKTOR PERUBATAN

    Bagi Encik Raziq Ikhmal Abdul Latif pula, setelah menggenggam segulung diploma, beliau kini bercita-cita menjadi seorang doktor perubatan pula.

    Laluan beliau bagaimanapun tidaklah licin.

    Beliau pada awalnya memilih ke maktab rendah. Namun, setelah dua tahun bersekolah di Maktab Rendah Pioneer di Choa Chu Kang, Encik Raziq berasa seolah-olah hilang arah dan tidak serasi dengan cara penyampaian pelajaran di sana.

    Encik Raziq (kiri) bersama profesor dan rakannya. (Gambar: Politeknik Republik)

    “Setelah dua tahun, saya mula sedar bahawa maktab rendah bukan untuk saya. Setiap kali berada dalam kuliah, saya akan berasa mengantuk!” cerita Encik Raziq kepada BERITAMediacorp.

    Dengan prestasi pelajaran yang semakin merosot, guru Encik Raziq menasihatinya supaya mengubah aliran pendidikannya daripada aliran sains kepada aliran sastera.

    “Apabila guru saya sarankan supaya saya bertukar aliran. Dengan tegas saya katakan tidak. Sasaran saya adalah untuk memasuki bidang perubatan, malah saya juga menanam aspirasi untuk menjadi seorang ahli sains. Jadi, tidak kira apa yang berlaku, saya tetap dengan pendirian saya,” tegas Encik Raziq.

    YAKIN DENGAN KEPUTUSAN YANG DIBUAT

    Setelah mendapat tahu daripada rakan-rakannya bahawa beliau boleh meneruskan minat dalam bidang perubatan di politeknik, Encik Raziq memutuskan untuk berpindah ke politeknik.

    Apabila ditanya wartawan sama ada keputusannya itu diterima oleh ibu bapanya, beliau berkata: “Ibu saya serahkan keputusan kepada saya, beliau hanya mahu saya pasti dengan keputusan yang saya buat.”

    Encik Raziq bersama ibu bapa (kiri) dan mentornta (kanan). (Gambar: Raziq Ikhmal)

    Ternyata keputusan yang dibuat Encik Raziq tidak sia-sia kerana beliau cemerlang di politeknik dan mendapat Purata Mata Gred (GPA) sempurna iaitu 4.0! Beliau juga berada dalam Senarai Cemerlang Pengarah dan menerima hadiah pada tahun 2013 dan 2014.

    Encik Raziq Ikhmal. (Gambar: Raziq Ikhmal)

    Encik Raziq kini menanti keputusan permohonannya untuk meneruskan pengajian di Fakulti Perubatan di Universiti Nasional Singapura.

    LEBIH 4,700 LULUSAN RP TERIMA SIJIL

    Encik Hasbi dan Encik Raziq ialah antara 4,726 lulusan Politeknik Republik yang menerima sijil tamat pengajian mereka hari ini.

    4,614 daripada mereka adalah penuntut Latihan Pra Pekerjaan (PET) dan lagi 112 merupakan penuntut dewasa yang mengikuti Latihan Pendidikan Berterusan (CET) sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2002.

    Mereka adalah kohort lulusan Politeknik Republik paling besar sejauh ini.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Kerja Peningkatan Masjid Al-Falah Selesai Sudah

    Kerja Peningkatan Masjid Al-Falah Selesai Sudah

    Masjid Al-Falah yang menjadi tumpuan ramai pengunjung Islam yang bekerja dan membeli-belah di kawasan Orchard Road, selesai menjalani kerja-kerja peningkatan selama setahun.

    Selain menyediakan ruang solat yang lebih luas dan selesa, masjid yang terletak di aras bawah Bangunan Cairnhill Place itu, juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baru serta ciri-ciri yang lebih mesra warga emas dan keluarga.

    Antaranya – sebuah lif baru bagi para jemaah yang memerlukan bantuan khas untuk ke tingkat atas, bilik air bagi golongan kurang upaya, bilik menyusukan bayi untuk kaum ibu serta beberapa tanjakan di kawasan masjid bagi kemudahan para pengguna yang berkerusi roda.

    Bagi menandakan selesainya kerja naik taraf di masjid itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, mendedahkan sebuah plak sebelum menunaikan solat Jumaat.

    “Saya bersyukur dan berterima kasih kepada masyarakat kita kerana sumbangan mereka yang membolehkan kita menjalankan program-program peningkatan masjid demi memenuhi keperluan masyarakat kita,” kata Dr Yaacob ketika ditemui pihak media.

    Beliau juga percaya setiap masjid perlu diubahsuai mengikut keperluan para jemaah yang berbeza-beza.

    “Untuk golongan dewasa, mereka yang ada anak kecil, untuk para ibu bapa dan sebagainya. Jadi lif, tanjakan dan sebagainya yang diperlukan akan disediakan. Tapi pada masa yang sama juga, kita renung kembali apakah keperluan masjid itu dari segi demografik,” ujar beliau.

    Turut hadir – Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Abdul Razak Maricar, Mufti negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram, Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Encik Yahya Hashim serta Mantan Mufti Negara, Encik Syed Isa Mohamed Semait, yang memimpin solat Jumaat.

    Ia disertai lebih 2,000 jemaah yang memenuhi kedua-dua dewan solat lelaki dan wanita yang kini lebih selesa dengan pemasangan sistem hawa dingin serta permaidani baru.

    Ruang ibadah masjid juga lebih luas dengan tambahan ruang lantai lebih 500 meter persegi. Ia kini mampu menampung 2,000 jemaah, berbanding 1,500 sebelum ini.

    Golongan belia juga tidak dilupakan. Sebuah bilik khas disediakan di tingkat dua bagi para belia menjalankan pelbagai kegiatan, ataupun sekadar untuk beristirehat dan berinteraksi.

    Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Encik Yahya Hashim, berkata: “Mereka dahulu mendapat bilik kecil sangat, daif sangat. Tapi sekarang pihak lembaga fikir, untuk menyahut seruan MUIS, kita harus melakukan sesuatu yang lebih proaktif. Pihak lembaga sangat menggalakkan belia-belia ini untuk bersama-sama dengan ahli lembaga, bekerjasama dengan kita dan boleh menjalankan apa aktiviti atau program yang mereka perlukan.”

    Menurut anggota kumpulan belia di Masjid Al-Falah, Filzah Hanani, kewujudan bilik khas itu dapat memudahkan mengendalikan pelbagai program.

    “Bagi kami, susah untuk mencari untuk berdiskusi untuk membuat program ataupun mengendalikan bengkel dan sebagainya. (Dan) Sekarang kita mempunyai bilik sendiri maka ia memudahkan kita untuk mengendalikan program dan sebagainya,” kata beliau.

    Bahagian luar masjid turut diberi nafas baru dengan reka bentuk yang menggabungkan unsur moden dan tradisional – sesuai dengan kedudukannya sebagai satu-satunya masjid di bandar komersil Orchard.

    Kerja-kerja peningkatan ini adalah sebahagian daripada Program Peningkatan Masjid (MUP) Fasa Kedua. Ia menelan belanja $2.6 juta – $750,000 daripada jumlah itu dibiayai Dana Pembangunan Masjid (MBF).

    Ini merupakan kali pertama Masjid Al-Falah menjalani kerja peningkatan besar-besaran sejak dibuka pada 1987.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Tokoh Persuratan Negara Cikgu Haji Muhammad Ariff Ahmad Meninggal Dunia

    Tokoh Persuratan Negara Cikgu Haji Muhammad Ariff Ahmad Meninggal Dunia

    TOKOH persuratan tersohor negara, Haji Muhammad Ariff Ahmad atau Mas, telah meninggal dunia hari ini pada usia 91 tahun.

    Pendeta yang lebih mesra dengan panggilan “Cikgu Ariff” merupakan salah seorang pengasas Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) telah menghembuskan nafasnya di Hospital Khoo Teck Phuat.

    Usaha gigih allahyarham dalam memartabatkan bahasa dan sastera Melayu sejak lebih 50 tahun telah dihargai masyarakat bukan hanya di Singapura tetapi di seluruh pelosok nusantara dan telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Melayu yang membawa kepada gelaran Doktor’ oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

    Selain nama pena ‘Mas, arwah juga dikenali dengan nama pena uga dikenali dengan nama pena M.Arba (1940), P.L.Rajaudang (1940); M.Foerida (1943); Mas (1946); Mas Malaya (1947); Mas Tanjung Malim (1947); Mas Tomo (1947); S.P.10 (1949) dan Minamoria (1984).

    Beliau dilahirkan pada 6 Disember 1924 di Singapura. Pernah belajar di Sekolah Melayu Tanglin Besar (1933-1937); Sekolah Melayu Tanglin Tinggi (1938-1940); Syonan Nippon Gakuen + Sihan Gakko (1943); dan Maktab Perguruan Sultan Idris, Malaya (1946-1949). Beliau memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (Calon persendirian) (1965); Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (Calon persendirian) (1966); dan Sijil Perguruan SITC, Tanjong Malim, Malaya (1949).

    Selepas mengajar beberapa tahun beliau dilantik Pensyarah di Maktab Perguruan di Paterson Road, Singapura.

    Cikgu Ariff juga sebelum ini merupakan penerima Anugerah Suluh Budiman UPSI pada 2002.

    Sumbangan besar beliau menyebabkannya menerima pelbagai anugerah termasuk – Jasawan Guru oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) pada 1987; Anugerah Tun Seri Lanang oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada 1993; Bintang Bakti Masyarakat (BBM) oleh Pemerintah pada 2000 dan Pendeta dari Majlis Pusat.

    Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Nemesu Avenue dan kemudiannya akan dibawa ke Masjid Ba’alwie untuk disembahyang Asar ini.

     

    Source: www.beritaharian.sg

  • Bukit Candu  – Satu Penghormatan Bagi Leftenan Adnan Saidi

    Bukit Candu – Satu Penghormatan Bagi Leftenan Adnan Saidi

    februari ini
    kuingat kembali
    bukit candu
    yang menjadi medan terakhir
    desingan peluru tembakan
    bertukar ganti merobek kedamaian
    dan tusukan-tusukan bayonet
    yang menghiris pedih
    cucuran merah darah
    masih terasa hangatnya
    mengalir di relung masa
    basah di hati bangsanya
    kanvas ceritera duka
    mengungkap makna
    di bingkai sejarah
    ini bumi yang dipijak
    sebati dengan jasadnya
    amanah setia di pundak
    mempertaruh seluruh jiwa
    kau tanamkan sumpah
    membentengi raga pertiwi
    biar tewas bergalang tanah
    bertahan terus
    dan pantang berputih mata
    biar takdir menentukan akhirnya
    demi sebuah perjuangan

    di bulan februari ini
    tidak lagi kuhadiahkan
    sekuntum mawar merah
    buat kekasih
    biar kuhidupi kenangan
    mengirim sepotong doaku
    buat seorang perwira
    dan sekawan perajurit
    wira nusa berjasa.

    ROHMAN MUNASIP

    14 Februari 2016

     

    Source: http://beritaharian.sg