Tag: Singapura

  • ‘Budak Masjid’ Jadi Anggota Penting

    ‘Budak Masjid’ Jadi Anggota Penting

    Semasa bersekolah dulu, Encik Muhsin Zaidi tidak betah duduk di rumah. Walaupun pada mulanya mereka menegurnya, ibu bapa Encik Muhsin akhirnya faham dan menyokong kegiatan beliau.

    Ini kerana Encik Muhsin sebenarnya banyak menghabiskan masa melakukan kerja sukarela di Masjid Al-Ansar di Bedok.

    Bermula setakat membancuh air minuman buat jemaah, beliau kini ‘orang kuat’ masjid itu, memegang beberapa jawatan dan melakukan beberapa tugas.

    Sikap Encik Muhsin, 26 tahun, suka berbakti di masjid dipupuk sejak beliau di tadika. Waktu itu, ibunya sering membawa beliau mendengar ceramah di masjid itu.

    Ketika itu, beliau tidak memberi tumpuan pada ceramah, sebaliknnya bermain dengan kanak-kanak lain.

    Namun dari situlah, semakin usianya meningkat, Encik Muhsin mula bergiat bersama kawan-kawannya itu dengan kegiatan sukarela di masjid tersebut, terutama semasa Ramadan.

    “Ketika itu, saya membantu bancuh air minuman untuk jemaah solat tarawih dan mengagih bubur Ramadan. Kerja-kerja mudah ini seronok apabila dibuat dengan rakan-rakan saya.

    “Apatah lagi dengan keramahan kakitangan dan jemaah masjid, membuat saya selesa duduk di sini. Selepas sekolah, saya akan ke masjid, lagi-lagi pada bulan Ramadan.

    “Ibu bapa saya kurang senang pada waktu itu kerana bimbang pelajaran saya akan terjejas tetapi mereka akhirnya faham minat saya mahu terus membantu di masjid,” kata beliau, yang lulus bidang teknologi angkasa dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tetapi bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat landskap perkahwinan.

    Bagi Encik Muhsin, meluangkan masa bagi kerja sukarela bermanfaat dan membuat hidup beliau lebih bermakna.

    “Dengan meluangkan masa di masjid, saya dapat elakkan anasir-anasir tidak bagus di luar sana. Ini rumah Allah jadi saya bahagia dapat dilindung dan menuju ke arah lebih balik,” katanya.

    Sikap baik dan minatnya pada kerja sukarela membuat Unit Belia Masjid Al-Ansar mengenal pasti potensinya dan menghantar beliau mengikuti beberapa kursus pembangunan agar dapat memberi sumbangan lebih besar dan menjadi pelapis kepimpinan di masjid pada masa akan datang.

    Kini, beliau memegang beberapa jawatan sambilan di masjid itu, termasuk menjadi bilal dan imam, dan guru kelas aLIVE! serta pengutip zakat fitrah.

    Menceritakan pengalaman kali pertama diminta menjadi imam, Encik Muhsin berkata:

    “Waktu itu saya masih di sekolah menengah. Saya dipanggil untuk menjadi imam solat fardu. Pada mulanya rasa gementar tetapi lama-kelamaan saya berasa yakin memimpin jemaah.”

    Pegawai Pembangunan Belia Masjid Al-Ansar, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman, berkata usaha sukarelawan seperti Encik Muhsin penting bagi masjid dan menjadi antara contoh penting membangunkan belia lain.

    “Usaha sukarelawan amat penting bukan di masjid ini sahaja, bahkan di mana-mana. Ia tidak dapat dinilai, dan kami daripada pihak masjid mengalu-alukan sumbangan murni orang seperti Encik Muhsin,” kata Ustaz Fairuz, 34 tahun.

    Encik Muhsin pula berharap anak muda lain dapat juga membantu dan melakukan kerja sukarela.

    “Kalau tidak tenaga orang muda, siapa lagi mahu membantu,” katanya.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Berilah Bantuan Kepada Golongan Rohingya Muslim Yang Berkeperluan

    Berilah Bantuan Kepada Golongan Rohingya Muslim Yang Berkeperluan

    Alhamdulillah 360 Operations membantu golongan Rohingya di Malaysia. Sdra Tahar Jumaat (FB TJ Mohd), bekas petugas (man on the ground) Mercy Relief sedang berusaha membantu golongan Rohingya di Aceh.

    TJ Mohd

    Kita akur tidak semua dari golongan ini akan diterima Indonesia. Hanya Allah swt yg mengetahui rancangan Nya. Bukan kuasa kita utk memahami pekerjaan Nya. Mari kita berganding-bahu membantu golongan yg kurang bernasib-baik ini. Tiada jumlah yg dikira sedikit kerana mata wang kita di antara yg tertinggi di Nusantara ini.

    Yang berkemampuan bolehlah salurkan derma anda ke POSB Savings 406188922. Harap dapat catit “Rohingya” di dalam derma anda.

    Insyaa Allah “status update” akan disiarkan di halaman FB beliau dari masa ke semasa. Terima kasih. Jazaakumullahu Khairan Katheeran.

     

    Source: Zait Ismail Halimah Masa’ed

  • Dari Madrasah Ke Poly, Kini Ke NUS Ikuti Pengajian Perubatan

    Dari Madrasah Ke Poly, Kini Ke NUS Ikuti Pengajian Perubatan

    Dua lulusan madrasah yang memilih laluan politeknik mencipta sejarah apabila ditawarkan tempat di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS) baru-baru ini.

    Encik Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican, 20 tahun, lulusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, ialah pelajar cemerlang kursus Diploma Sains Bioperubatan daripada Politeknik Singapura.

    Lulusan Politeknik Temasek, Cik Amalina Ridzuan, 22 tahun, pula bekas pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah yang meraih Pingat Emas Sysmex Asia Pacific bagi kursus Diploma Sains Bioperubatan.

    Tahun lalu, lulusan sains bioperubatan Politeknik Republic, Cik Noor Ahmed Alkaff, merupakan pelajar politeknik Melayu pertama diterima masuk ke Fakulti Perubatan NUS.

    Mengulas pencapaian ini, Cik Noor berkata: “Saya teruja kerana kejayaan mereka menunjukkan bahawa latar belakang pengajian bukan hambatan asal kita bermotivasi berusaha.”

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Apa Dah Jadi Dengan Masyarakat Melayu Singapura?

    Apa Dah Jadi Dengan Masyarakat Melayu Singapura?

    Oh Orang Melayu. Bila nak taubat? Bila nak maju?

    Semalam saya terbaca pasal pergaduhan di Geylang yang telah mengakibatkan seoang lelaki maut. Betul-betul ingatkan bangsa diorang yang terlibat sebab kan tempat kejadian kat Geylang lorong-lorong bukan Geylang Serai. Saya dimaklumkan Geylang Lorong 2 sampai Lorong 30 tu red light district di Geylang. Tak ramai Melayu did sana. Kejadian berlaku di antara Lorong 6 dengan 8. Di sana kalau ada kes sebegini selalunya bangsa diorang atau bangsa diorang yang diimport dari Cina.

    Jadi bila dapat tahu yang terlibat merupakan orang Melayu, saya begitu terkejut.

    Apa yang mereka buat di sana? Ada makanan halal ke? Duduk minum kopi je?

    Yang lebih buat saya tertanya-tanya, kenapa ada perselisihan faham sampai tak boleh bawak bicara? Satu hilang nyawa tetapi berapa banyak keluarga yang akan musnah akibat perkelahian ini? Keluarga akan berpecah belah, anak-anak susah nak ke sekolah, tiada bembingan, masa depan mereka malap. Kerana apa? Kerana seorang wanita? Maaf cakap lah, wanita yang berkenaan pun bukan lah rupa macam Rahimah Rahim ke…

    Mereka akan menyesal tak sudah. Tapi apa nak buat?

    Sayang sekali. Saya lihat masyarakat kita ni penuh budaya, penuh pegangan, penuh daya kreatif dan penuh keberanian. Tetapi ciri-ciri in disalurakan kepada initiatif atau usaha yang bukan saja membebankan, malah merosakkan.

    Saya teringat dahulu adik saya masuk penjara kerana penglibatannya dalam satu gang fight.  Rioting. Mak saya yang susah payah pergi Changi Prison untuk melawat dia.  Kita tidak ada duit. Mak pun kurang sihat tapi mak tetap mahu lihat adik saya. Dari Jurong Extension sampai Changi. Perjalanan sungguh jauh setakat nak bertemu adik kurang dari setengah jam.

    Yang lagi mebuat saya sedih, ramai jugak nenek-nenek yang ditemani cucu-cucu mereka. Saya tanya diri saya kenapa adik-adik ni tak ke sekolah? Satu ni terangkan yang dia menemani nenek dia untuk melihat bapanya yang di dalam. Dia lah yang tolong nenek dia turun naik bas, pergi register kat Prison Link Centre…budak 10 tahun dah tahu pasal masalh dunia sebegini.  Sepatutnya mereka berada di sekolah bersama rakan-rakan, bukan di Prison.

    Sudah sekian lama,  masyarakat kita masih terjebak dengan masalah sosial. Keluarga pincang, anak luar nikah, masalah dadah, masalah kumpulan samseng. Kenapa masih tak berubah?

    Mana daya saingan kita? Mana wawasan kita?

    Kalau bukan kerana masyarakat pun, ushalah yang baik-baik untuk mempertingkatkan diri anda demi masa depan kelurga. Jangan buang masa. Zaman kian berubah kalau kita tak ikut sama, kita akan hanyut ditelan arus pemodenan. Insha Allah, dengan berkat doa dan usaha, masyarakat kita akan, sedikit demi sedikit, merubah masa depan.

     

    Reader Contribution: Ismadi

  • Bila Terlalu Ramai Jemaah Solat Jumaat….

    Bila Terlalu Ramai Jemaah Solat Jumaat….

    Imam menyampaikan khutbah dari atas mimbar yang terukir halus.

    Bacaan imam dalam solat melantun indah melalui corong mikrofon.

    Bersalam-salaman sesama jemaah seusai solat Jumaat. Begitulah kebiasaan masyarakat kita setiap Jumaat.

    Lain pula keadaannya di beberapa negara lain.

    Sejurus selepas solat Jumaat berakhir, mereka perlu bergegas memberikan ruang kepada kumpulan jemaah seterusnya untuk mendirikan solat Jumaat kedua di masjid yang sama.

    Keadaan ini jauh berbeza daripada suasana solat Jumaat yang pertama didirikan Nabi Muhammad saw dekat kediaman Salim bin ‘Auf ra di kota suci Madinah, dan kemudiannya di Masjid Nabawi.

    Bermula dengan hanya bermimbarkan sebatang pohon kurma, para sahabat kemudian membina mimbar yang lebih sempurna dan tinggi agar khutbah terdengar lebih jelas kepada jemaah yang semakin ramai.

    Seorang ulama unggul, Tajuddin As-Subki, telah menyebut bahawa antara matlamat solat Jumaat adalah untuk menzahirkan syiar Islam dengan perhimpunan dan nasihat keagamaan.

    Berdasarkan amalan Nabi Muhammad saw, jumhur ulama berpandangan bahawa solat Jumaat seharusnya dilaksanakan hanya di sebuah masjid utama di setiap kota.

    Amalan ini masih berterusan di beberapa kota besar seperti Makkah, Madinah dan Kahirah.

    Namun, dengan bertambahnya bilangan umat Islam dan tersebarnya kawasan kediaman, ulama seperti Imam An-Nawawi dan Ibn Qudamah membolehkan solat Jumaat diadakan di masjid-masjid lain, selain masjid utama.

    Dalam konteks masyarakat Islam minoriti, khususnya di negara Barat, pembinaan masjid bukan suatu perkara yang mudah.

    Dengan jumlah jemaah yang ramai, mereka telah mencari huraian berbeza, antaranya mengulangi solat Jumaat.

    Sebagai contoh, Masjid Finchley dan Masjid Hendon di London; Islamic Council of Victoria di Melbourne; Masjid Kamata di Tokyo; dan Islamic Foundation Villa Park di Illinois, Amerika Syarikat, mengulangi solat Jumaat sebanyak dua kali.

    Malah, beberapa masjid di Canada mengadakan solat Jumaat sehingga tiga kali.

    Adakah ini dibolehkan syarak?

    Mantan Mufti Mesir, Sheikh Ali Gomah, pernah mengeluarkan fatwa yang membolehkan solat Jumaat diadakan berulang kali di masjid yang sama dengan syarat ia memang amat diperlukan.

    Beberapa ulama lain seperti Mufti Ibrahim Desai di Durban, Afrika Selatan; dan Syeikh Faraz Rabbani di Canada, juga berpendapat sedemikian.

    Di Singapura, pada 1996, Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa solat Jumaat yang didirikan dalam penjara Singapura boleh diadakan beberapa kali atas pertimbangan yang sama.

    Perkembangan pemikiran ulama dalam masalah pengendalian solat Jumaat ini juga menunjukkan bahawa syariat Islam menyediakan huraian bagi setiap masalah terutama dalam konteks yang berbeza.

    Dari awal pelaksanaan solat Jumaat di kota Madinah, sehingga kepelbagaian pelaksanaannya pada hari ini di banyak negara, solat Jumaat kekal sebagai syiar yang dihidupkan dengan cara yang mendatangkan maslahat dan membantu kehidupan keagamaan diteruskan dengan selesa lagi sempurna.

    • Penulis Pengurus, Kajian Fatwa, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)

    13 masjid yang masih ada ruang tambahan

    Masjid Al-Amin – 1,000 jemaah

    Masjid Jamiyah Ar-Rabitah – 1,000 jemaah

    Masjid Mujahidin – 1,000 jemaah

    Masjid Muhajirin – 300 jemaah

    Masjid Ar-Raudhah – 300 jemaah

    Masjid Jamek Chulia – 300 jemaah

    Masjid Omar Kampong Melaka – 200 jemaah

    Masjid Masjid Maulana Mohd Ali – 200 jemaah.

    Masjid Petempatan Melayu Sembawang – 300 jemaah

    Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau – 500 jemaah

    Masjid Bencoolen – 100 jemaah

    Masjid An-Nahdhah – 200 jemaah

    Masjid Omar Salmah – 200 jemaah

    Nota: Jumlah ruang tambahan bagi jemaah adalah jumlah anggaran

     

    Source: http://beritaharian.sg