Tag: Singapura

  • Segelintir Rakyat Singapura Di Nepal Belum Dapat Dihubungi

    Segelintir Rakyat Singapura Di Nepal Belum Dapat Dihubungi

    Ada segelintir rakyat Singapura di Nepal yang masih belum dapat dihubungi.

    Salah seorang daripada mereka ialah Cik Jannah Suairi, 25 tahun. Beliau gagal dihubungi sejak 20 April lalu. Jannah dipercayai berada di kem Annapurna sejak 17 April.

    Ibu Jannah, Cik Mainah Ahmad berkata: “Harapan saya, kalau saya dapat berhubungan dengan anak saya, semoga dia selamat dan kalau boleh cepatlah hubungi rumah.

    “Dan kalau boleh, saya harap dia duduk di mana sahaja dia berada sekarang dan jangan ke Kathmandu sebab keadaan di sana tak berapa mantap untuk dia pulang.

    “Saya harap dia dapat buat panggilan ke rumah, itu adalah keutamaan bagi saya untuk dengar suara dia dan harap dia dalam keadaan selamat.”

    Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan ia sudah dapat menghubungi sebilangan besar rakyat Singapura di Nepal.

    Sejauh ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai rakyat Singapura yang cedera dalam gempa dahsyat kelmarin.

    MFA sedang berusaha untuk membawa pulang rakyat Singapura yang masih berada di Nepal. Menurut MFA, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi membolehkan mereka pulang menaiki pesawat RSAF.

    MFA juga menubuhkan sebuah pasukan bertindak krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu untuk memberi bantuan konsular kepada rakyat Singapura.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • M Nasir Tak Kenal Dengan Penyanyi-Penyanyi Singapura Sekarang?

    M Nasir Tak Kenal Dengan Penyanyi-Penyanyi Singapura Sekarang?

    Tidak banyak penyanyi Singapura masa kini yang nampaknya benar-benar menambat perhatian penggubah lagu tersohor dan penyanyi asal Singapura, M Nasir.

    Dalam satu sesi wawancara dengan media Singapura baru-baru ini, Datuk M Nasir kelihatan terkial-kial untuk menyebut nama penyanyi Singapura yang ada sekarang, yang beliau tahu.

    Namun, nama-nama yang berada di hujung bibir beliau nampaknya ialah Alif Aziz, kumpulan Sleeq dan rapper Dali.

    Nama-nama penyanyi seperti Taufik Batisah dan Hady Mirza nampaknya tidak melekat di minda beliau. Untuk menyaksikan jawapan M Nasir itu, ikuti video yang disertakan dalam artikel ini.

    M Nasir ketika itu berada di Singapura untuk membuat rakaman rancangan hiburan ‘Akustika Bersama’.

    ‘Akustika Bersama’ merupakan program lapan episod yang mengetengahkan artis tempatan dari pelbagai genre, yang membuat persembahan secara akustik di The Arts House dengan diiringi para pemain muzik profesional.

    Bukan setakat satu persembahan nyanyian, program itu juga menyelitkan wawancara santai bersama para penyanyi undangan untuk mereka berkongsi kisah perjalanan muzik masing-masing.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Base Guitar Yazid Lovehunters Dipamerkan Di Pameran Ole Ole Temasek

    Base Guitar Yazid Lovehunters Dipamerkan Di Pameran Ole Ole Temasek

    Tanpa gitar bes di sisi, Yazid Abu Bakar daripada kumpulan Lovehunters berasa dirinya sekadar seorang biasa.

    Namun, vokalis dan pemain gitar bes itu berkata beliau berasa bertenaga sebagai seorang penghibur sejurus memegang gitar bes di atas pentas.

    Salah satu gitar bes yang telah menjadi teman Yazid dalam bidang muzik ialah gitar berjenama Fender siri 60th Anniversary Precision Bass Diamond.

    Gitar itu kini dipamerkan di pameran Ole Ole Temasek – 50 Tahun Muzik Pop Melayu Singapura sehingga 17 Mei ini di Muzium Negara.

    Ia dianjurkan sempena Pesta Warisan Singapura yang menyusur perjalanan muzik Melayu di Singapura – permulaannya, kebangkitannya dan kemunculan kumpulan dan penyanyi hebat yang mewarnai persada muzik Melayu Nusantara dari tahun ’60-an hinggalah sekarang.

    Semasa Gah! menemuinya di pameran tersebut, Yazid berkata gitar bes itu eksklusif kerana hanya terdapat 500 gitar jenis itu di seluruh dunia.

    Beliau telah membeli gitar itu 10 tahun lalu di Los Angeles pada harga sekitar $3,000.

    Justeru, beliau berasa berbesar hati apabila kurator pameran, Art Fazil, menghubungi beliau dan ingin mempamerkan gitar besnya.

    “Saya rasa amat dihargai kerana ada juga pameran yang mahu menunjukkan bakat dan barangan pemuzik Melayu Singapura. Ia satu penghormatan yang tidak boleh dibayar dengan wang,” kata Yazid.

    Selain gitar yang dipamerkan itu, Yazid juga memiliki satu lagi gitar eksklusif jenis Recken Becker yang telah beliau simpan selama 20 tahun.

    Yazid telah menempah gitar berharga sekitar $6,000 itu sendiri dari Los Angeles.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Di Manakah Peminat-Peminat Silat Dan Sepak Takraw?

    Di Manakah Peminat-Peminat Silat Dan Sepak Takraw?

    Sementara penjualan tiket bagi beberapa acara di Sukan SEA Ke-28 hangat, sambutan bagi enam sukan yang bakal diadakan di Singapore Expo, termasuk silat dan sepak takraw, kelihatan dingin.

    Ini berbanding tiket bagi pertandingan lawan pedang dan renang telah pun laris sebanyak 80 peratus.

    Namun, kurang 50 hari sebelum Sukan SEA bermula, penjualan tiket bagi pencak silat, sepak takraw, tinju, judo, taekwondo dan wushu masih muram, menurut jawatankuasa penganjur Sukan SEA (Singsoc).

    Dihubungi Berita Harian, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) Abdul Halim Kader berkata pihaknya mengambil berat akan keadaan ini.

    “Kami prihatin dan akan mencari jalan terbaik bagi menggesa warga turun dan memberi sokongan kepada anak muda yang mewakili negara,” katanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi) Sheik Alau’ddin Yacoob Marican turut menggesa masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat usia supaya menyokong pasukan Sukan SEA.

    “Kami tidak bimbang kerana yakin penggemar silat akan tampil memberi sokongan,” ujar beliau.

    Kededua sukan tradisional Melayu itu antara enam sukan yang bakal mengisi dua dewan di Singapore Expo.

    Ruang itu mampu menampung 4,800 penonton secara serentak. Tiket bagi kesemua acara berharga $5 sebelum diskaun.

    “Saya ingin melihat respons yang lebih baik. Persatuan sukan nasional (NSA) memberitahu saya tiada masalah, tetapi saya rasa mereka perlu mempertingkat usaha,” ujar pengerusi Singsoc Encik Lim Teck Yin kepada The Straits Times kelmarin, walau beliau akur warga setempat mempunyai kebiasaan membeli tiket di saat akhir.

    Bersependapat ialah presiden Persatuan Tinju Amatur Singapura Syed Abdul Kadir. Menurutnya, beliau yakin sambutan bagi tinju akan meningkat lebih dekat kepada tarikh pertandingan, berdasarkan pengalamannya apabila Singapura menganjur Sukan SEA 1993.

    “Tinju ada ramai pengikut, terutama dalam kalangan pekerja asing dari Filipina dan Thailand,” katanya.

    Persekutuan Judo Singapura (SJF) sedang mempergiat usaha mendekati masyarakat.

    Pengerusi jawatankuasa penganjur acara judo, Encik Stephen Loh, berkata pihaknya berusaha mendekati pihak berkepentingan seperti kelab judo dan sekolah menerusi lawatan dan e-mel.

    “Jika boleh, saya ingin dewan penuh apabila kami beraksi nanti,” kata Encik Loh.

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Pasport Singapura Keempat Paling Pengaruh Di Dunia

    Pasport Singapura Keempat Paling Pengaruh Di Dunia

    Pasport Singapura menjadi yang keempat sebagai yang paling berpengaruh di dunia.

    Demikian menurut indeks paspot yang dihasilkan oleh firma menasihat kewangan antarabangsa, Arton Capital.

    The Washington Post, melaporkan kedudukan itu diberikan berdasarkan jumlah lawatan yang boleh dibuat oleh si pemegang paspot ke beberapa negara, tanpa memerlukan visa atau memohon visa sewaktu sampai ke destinasi itu.

    Menduduki tangga teratas ranking adalah paspot dari Amerika Syarikat dan Britain dengan akses kepada 147 buah negara tanpa memerlukan permohonan visa.

    Perancis, Korea Selatan dan Jerman menduduki tangga kedua, manakala Itali dan Sweden berkongsi kedudukan di tangga ketiga.

    Bersama-sama Singapura di tangga keempat ialah Denmark, Finland, Belanda, Luxembourg dan Jepun.

    Source: http://berita.mediacorp.sg