Bekas Suami Enggan Bayar Hutang, Berfoya Dengan Wanita Batam, Habiskan Wang CPF

sex mistress

AKIBAT main kayu tiga dengan wanita Batam, Cik Siti (nama samaran) dan tiga anaknya yang masih kecil bukan saja hidup terumbang-ambing, malah terpaksa menggigit jari apabila bekas suaminya enggan melangsaikan hutangnya sebanyak $10,000 kepada beliau meskipun telah mendapat wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Puas beliau merayu dan menitiskan air mata, namun bekas suaminya tetap buat bodoh dan hanya mementingkan kekasih yang kemudian menjadi isterinya.

Bekas suami beliau yang pernah menjaja makanan dan kemudian bekerja kapal telah menceraikannya dan berkahwin dengan wanita Batam itu.

Cik Siti dan tiga anaknya yang masih kecil hidup terkontang-kanting.

“Dia sedikit pun tidak pedulikan nasib saya dan anak-anak yang masih bersekolah. Saya tak ada pilihan dan terpaksa mengadu kepada Mahkamah Keluarga yang mengarahkan bekas suami saya membayar nafkah $400 sebulan,” kata Cik Siti sambil menyatakan beliau lega apabila bekas suaminya mula membayarnya.

Bagi beliau, perceraian satu-satunya jalan keluar kerana beliau menjadi mangsa habis madu sepah dibuang.

“Bila ada orang ketiga, rumah tangga kita tentu porak peranda.

Sebagai isteri, saya makan hati berulam jantung melihatkan perangai suami yang tidak lagi peduli anak, baik daripada segi makan minum mahupun pelajaran mereka. Saya jadi ibu dan saya juga bapa kepada anak.

Bila dapat duit CPF, lagi beliau tak pandang saya. Dia masih hutang saya $10,000 yang merupakan duit edah dan mutaah ketika bercerai. Hingga sekarang dia masih belum bayar!” tambah Cik Siti sambil melahirkan harapan agar pemerintah hanya membenarkan pencarum mengeluarkan CPF memadai apabila mereka mencecah 55 tahun.

“Ini lebih-lebih mereka yang belum memenuhi jumlah minimum yang ditetapkan. Pengalaman saya menunjukkan suami saya dan banyak lelaki lain yang main kayu tiga, sanggup berhabis untuk kekasih mereka.

“Makin banyak mereka dapat duit CPF, makin mereka umpak-umpakan sehingga lupa tanggungjawab kepada anak dan isteri,” tegas suri rumah yang menetap di Marsiling itu.

Cik Siti telah berkahwin lagi dengan seorang lelaki yang simpati melihatkan keadaan dan nasib beliau empat beranak. “Alhamdulillah, hidup saya kembali aman dan saya rasa bahagia bersama suami saya yang begitu hemah berbelanja dan anak tirinya seperti anaknya sendiri,” katanya.

Menurutnya, rumah tangga bekas suaminya dengan isteri Batamnya itu kini di ambang runtuh kerana “rumah tangga yang mereka bina atas dasar duit semata-mata”.

Cik Siti yang pernah aktif dengan sebuah badan akar umbi menyatakan beliau sering mendengar kes isteri mengadu suami menghabiskan wang CPF dengan menjalin hubungan sulit atau berfoya-foya di Batam.

“Masalah ini perlu dibendung kerana perbuatan suami hidung belang menjejas kerukunan rumah tangga dan menimbulkan masalah sosial di sini,” tegas Cik Siti.

Sumber http://beritaharian.sg/setempat/bekas-suami-masih-hutang-10000-lepas-habiskan-wang-cpf

letters R1C

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: CONTACT RILEK1CORNER

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *