Perubahan Drastik: Separuh Pemain LionsXII Akan Dilepaskan?

fandi ahmad

SEPARUH pemain LionsXII mungkin dilepaskan musim depan – antara perubahan paling ketara bagi pasukan itu selepas ia menamatkan musim bola sepak yang mengecewakan minggu lalu.

Walau enggan mendedahkan sebarang nama sebelum beliau berbincang dan mencapai kata putus dengan ketua jurulatih nasional Bernd Stange, jurulatih LionsXII, Fandi Ahmad, akur perubahan drastik itu perlu demi mempertingkat persembahan pasukan musim depan.

“Lebih 70 peratus pemain kami tidak mencapai sasaran masing-masing musim ini… amat menghampakan,” kata Fandi, apabila diminta menilai persembahan LionsXII musim ini. Seramai 24 pemain didaftarkan di awal musim.

“Ini bukan masanya bagi kami menyalahkan sesiapa, tapi banyak lagi perubahan diperlukan… bukan sahaja daripada segi pasukan malah dalam pelbagai aspek berkaitan,” kata Fandi apabila ditemui Berita Harian semalam.

Menurut Fandi, dalam musim yang ‘bermula dan berakhir dengan kekecewaan’, hanya seorang pemain sahaja yang mencapai matlamat yang ditetapkan di awal musim – pemain sayap Faris Ramli – yang menyumbang lapan gol sepanjang musim.

Fandi juga menamakan enam pemain yang dianggapnya telah menyumbang dengan konsisten kepada pasukan – penjaga gawang Izwan Mahbud; pemain pertahanan Faritz Hameed, Safuwan Baharudin, Shakir Hamzah; dan pemain midfield Isa Halim dan Hafiz Abu Sujad.

Musim LionsXII, juara Liga Super Malaysia (MSL) 2013, berakhir dengan kekecewaan selepas ia tersingkir daripada Piala Malaysia di peringkat kumpulan minggu lalu – kali pertama ia tidak mara ke suku akhir sejak menyertai semula pertandingan dalam 2012.

Ia juga tersingkir di pusingan kedua Piala FA dan hanya menduduki tempat kelapan dalam MSL dengan meraih 28 mata daripada 22 perlawanan. Masalah utama LionsXII – ketumpulan serangannya – adalah ketara.

Dalam 30 perlawanan merangkumi tiga pertandingan, MSL, Piala FA dan Piala Malaysia, LionsXII menjaringkan 37 gol – nisbah 1.2 gol setiap perlawanan.

Namun bagi Fandi, kalah, menang atau seri tidak begitu penting, berbanding dengan keberanian dan sifat berjuang yang katanya berkurangan dalam kalangan sebahagian besar pemainnya.

“Kami perlukan pemain yang berani dan memberi komitmen sepenuhnya dalam setiap perlawanan.

“Pemain tahu pendirian saya dan saya selalu memberitahu mereka supaya jangan bimbangkan keputusan asalkan mereka beri saya komitmen yang saya inginkan,” kata Fandi yang memberitahu bahawa beliau berharap berjaya mendapatkan beberapa pemain lebih berpengalaman musim depan demi membimbing pemain muda.

Apabila diminta Berita Harian memberi sedikit gambaran atau garis masa tentang rancangannya bagi LionsXII, Stange memberitahu bahawa beliau akan memiliki gambaran lebih baik selepas skuad nasional bawah 23 tahun pulang dari Sukan Asia di Incheon, Korea, bulan ini.

Namun keputusan muktamad tentang LionsXII diharap dapat dicapai sebelum Piala AFF Suzuki bermula November nanti, kata Stange. Adalah difahamkan, menjelang Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-28 di Singapura tahun depan, keutamaan pemilihan pemain akan diberikan kepada pasukan bawah 23 tahun.

Sementara sedar akan keutamaan itu Fandi meluahkan harapan diberi masa dan ruang untuk membentuk pasukan yang sebaiknya menjelang musim MSL tahun depan “Kami perlu membuat perancangan teliti dan menetapkan objektif awal.

Jika tidak, masalah lama boleh berulang,” kata Fandi.

Sumber: http://beritaharian.sg/sukan/lionsxii/separuh-pemain-lionsxii-akan-dilepaskan

letters R1C

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: CONTACT RILEK1CORNER

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *