Bayi Lahir Tanpa Ayah

TATKALA kebanyakan wanita ditemani suami tersayang saat melahirkan anak, Cik Siti Mariam Ishak terpaksa bertarung nyawa sendirian tanpa suami di sisi.

Sedang ibu lain menangis gembira menyambut kelahiran anak mereka, beliau pula mencurahkan air mata duka.

Cik Mariam, 29 tahun, pilu mengenangkan nasib beliau kehilangan suami ketika sarat mengandung dan kini cahaya mata mereka tidak dapat bertemu ayahnya sejurus lahir ke dunia. Suaminya, Allahyarham Muhammad Afiq Abdul Rahim, 26 tahun, meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal Mei lalu.

Ketika itu, Cik Mariam mengandung sekitar lima bulan. Kehadiran bayinya, Nur Fiq’ Arianna Muhammad Afiq, bak pembakar semangat bagi beliau meneruskan kehidupan seperti biasa. Menurut Cik Mariam, wajah Nur Fiq’ mirip ayahnya. “Mukanya, bentuk bulatnya, rambutnya, sebiji macam bapanya,” ujar beliau.

Bahkan, nama bayinya, Nur Fiq’ Arianna, kombinasi nama arwah suaminya dan nama timangan Cik Mariam.

Cik Mariam melahirkan Nur Fiq’ pada 12 September – sekitar lima bulan selepas suami beliau meninggal dunia.

“Saya menangis teringatkan suami saya. Saya ingin sangat beliau berada di sisi saya, seperti bapa dan suami lain (saat kelahiran anak),” kata beliau yang kini reda dengan pemergian suaminya dan berasa lebih tenang.

Kelahiran anak ketiga Cik Mariam di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada 2.47 pagi itu disambut bersama ibunya.

Cik Mariam mempunyai dua lagi anak perempuan berusia lapan dan sembilan tahun hasil perkahwinannya yang pertama.

Menurut Cik Mariam, ibu mentuanya telah berhenti bertugas selepas anaknya meninggal dunia agar dapat membantu beliau menjaga anak-anaknya.

Ibu kandungnya juga kerap datang membantu. Mengenai kes kemalangan suaminya, Cik Mariam berkata polis telah pun menemui seorang saksi yang mempunyai rakaman video kemalangan itu dan telah memberinya peluang melihat video itu sebelum Hari Raya lalu.

Katanya video itu menunjukkan sebuah kereta melanggar Allahyarham dari sebelah tepi, menyebabkan suaminya terjatuh.

“Saya tidak marah tapi keadilan harus ada. Cara dia pergi satu kejutan,” kata beliau. Kemalangan tersebut berlaku di antara motosikal dengan bas di BKE ke arah Woodlands pada pagi 5 Mei lalu.

Ia masih disiasat polis. Memandang ke hadapan, Cik Mariam merancang untuk memulakan semula perniagaan dalam talian membuat pastri, kuih dan kek di laman Facebook pada tahun depan.

Cik Mariam juga memberitahu bahawa beliau bakal berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) empat bilik di Yishun yang dimiliki bersama kakaknya dalam masa tiga tahun.

Flat itu pada awalnya telah ditempah bersama suaminya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantunya sejak pemergian suaminya.

“Motivasi terbesar saya sekarang adalah ‘si kecil’ ini. Kehidupannya sedikit berbeza dan saya akan timba pengalaman baru dengan ‘si kecil’.

Saya akan melakukan dengan terbaik dalam kehidupan,” kata beliau.

Sumber: http://beritaharian.sg/setempat/bapa-korban-nahas-motosikal-kini-bayi-lahir-tanpa-ayah#sthash.2Z03YcBL.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *