Pemain Bolasepak Singapura Buka Gerai Makanan

khairul Amri

BELIAU mempesonakan peminat di padang bola.

Kini, penjaring utama pasukan bola sepak LionsXII, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal, yang dikenali peminat sebagai Khairul Amri, ingin pula menarik pelanggan dengan sajian nasi campur di gerainya, Chef Tiga Rasa.

Dibuka awal bulan ini, gerai tersebut bertapak di Woodlands Industrial Park E2, #01-01.

“Tiga rasa? Sebab kami dapat menyediakan makanan Melayu, Cina, dan India.

Kami sudah merancang selama dua tahun sebelum membuka gerai ini,” ujar Amri yang memberikan nama tersebut.

Cef gerai ialah ibu mentuanya, Cik Norhayati Hashim, 53 tahun.

“Sebenarnya, dahulu ibu mentua saya pernah mengusahakan dua gerai nasi campur di Jurong.

“Namun, beliau berhenti sebab penat. Beliau pun pernah bertugas di Resorts World Sentosa (RWS) dan berpengalaman memasak sekitar 30 tahun,” ujar Amri.

“Kini, saya dan isteri sedang mempelajari selok-belok dapur dan cara memasak resipi beliau,” tambah beliau yang kini sudah kembali berlatih.

Amri terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan pada tulang pipinya semasa melawan Felda United bulan lalu.

Isterinya, Cik Noor Aliffiah Roslan, 31 tahun, bantu menguruskan gerai yang dibuka Isnin hingga Jumaat, dari 7 pagi hingga 3 petang.

“Jika Amri ada latihan pagi, saya dan ibu akan mengurus kedai.

Oleh sebab pusat makanan ini baru sahaja dibuka selepas dua tahun, tidak ramai pelanggan yang tahu.

“Saya harap setelah memberikannya masa, lebih ramai yang tahu dan mengunjungi gerai kami,” ujar Cik Noor Aliffiah.

Lokasi yang dipilih mempunyai ruang dapur yang dapat memasak jumlah yang banyak bagi acara seperti majlis perkahwinan.

“Kami sediakan khidmat tempahan bagi semua majlis. Ibu mentua saya sebelum ini berpengalaman memasak bagi majlis kahwin,” tambah Amri. Semestinya, cabaran mengurus gerai dan bermain bola amat berbeza.

“Harus banyak bersabar. Saya utamakan sajian yang sedap. Bagi saya, kalau makanannya sedap pasti pelanggan akan kembali,” kata Amri.

Antara hidangan yang dapat dinikmati pelanggan ialah masakan asam pedas dan lemak cili padi Negeri Sembilan.

“Saya mempelajari resipi ibu dan dapat menyediakan masakan tersebut. Amri turut membantu di dapur. Namun, beliau masih lagi sedang belajar, jadi masih belum dapat masak lauk-pauk,” kata Cik Noor Aliffiah.

“Saya berharap dapat menjadikan Chef Tiga Rasa sebuah jenama.

Kalau dapat sambutan yang baik, kami ada rancangan membuka kafe pada masa hadapan,” ujarnya yang berharap dapat mewariskan perniagaannya kepada dua anak lelakinya.

Selain daripada Amri, terdapat pemain bola lain yang turut membuka bisnes. Baihakki Khaizan serta dua lagi rakan kongsinya telah menubuhkan syarikat ubah elok, 3Bai3 Creative Work, di Joo Chiat Road pada 2013.

Bekas pemain kebangsaan, Syed Abdul Mutalib, bersama dua rakan kongsinya turut membuka restoran, House of Briyani, di 96 Owen Road pada 2013.

Pada 2011 pula, Fandi Ahmad menubuhkan Akademi Fandi Ahmad (FAA) di SAFRA, Tampines.

Sumber: http://beritaharian.sg/ekoniaga/bolehkah-nasi-campur-bola#sthash.Q717oWNE.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *