MEREKA sanggup menggadai jiwa dan menjual maruah sebagai wanita demi memuaskan nafsu anggota militan IS di medan perang di Syria.
Itulah pengorbanan segelintir wanita, termasuk tiga wanita warga Malaysia, kononnya bagi ‘berjihad’ dengan memenuhi keperluan batin anggota militan itu.
Mereka dikenali sebagai wanita penghibur atau comfort woman.
HAMBA SEKS
Namun, perbuatan yang dipanggil jihad al-nikah atau jihad seks itu sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam.
Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ali Haji Mohamed, yang juga pengerusi Masjid Khadijah, berkata bahawa perbuatan itu sebahagian agenda IS bagi memenuhi keperluan pejuang mereka.
“Selain itu, ia juga sebahagian rancangan IS melahirkan lebih ramai penjihad dan menarik lebih ramai orang bagi mengembangkan kumpulan itu,” ujar Ustaz Ali.
Menurut presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, yang turut memimpin RRG, hubungan antara lelaki dengan perempuan dalam Islam hanya sah dengan pernikahan yang sah dan halal. Oleh itu, tiada istilah ‘wanita penghibur’ dalam Islam.
Imam eksekutif Masjid Darul Aman, Ustaz Suhaimi Hassan, pula menarik perhatian tentang zaman Sayidina Umar Al-Khattab di mana beliau pernah membenarkan pejuang Islam nikah mutaah atau nikah kontrak kerana sudah lebih empat bulan tidak berjumpa dengan isteri.
Namun, katanya, Sayidina Umar sendiri memansuhkan hukum itu selepas perang berakhir dan sehingga kini ia diharamkan bagi ahli sunnah wal jamaah.
FATWA JIHAD SEKS
Sebelum ini, IS juga mengeluarkan fatwa mengarahkan orang ramai menghantar wanita tidak berkahwin berjihad untuk seks.
Namun, apakah kesahihan fatwa itu sedangkan ia bukan dikeluarkan ulama yang diiktiraf?
Ustaz Mohamad Hasbi berkata dalam Islam fatwa disyaratkan dikeluarkan oleh ulama yang mempunyai tahap ilmu yang tinggi sahaja.
“Mereka harus menguasai Al-Quran, hadis Rasulullah saw, tahu pandangan ulama yang berbeza dan dapat menentukan ketepatan sesuatu pandangan. Seandainya beliau belum memiliki tahap ilmu itu, fatwa yang dikeluarkan akan menjadi tidak sah.
“Contohnya di Singapura, kita ada jawatankuasa fatwa dan bukan mufti seorang sahaja yang keluarkan fatwa. Ini bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan itu betul, tepat dan dikehendaki agama,” ujarnya.
Oleh itu, fatwa yang dikeluarkan IS berkenaan jihad seks tidak boleh dituruti dan harus ditolak.
Malah menurut pengurus Masjid Assyafaah, Ustaz Mustazah Bahari, istilah ‘jihad seks’ langsung tiada dalam Islam.
JALAN PINTAS KE SYURGA
Selain wanita Timur Tengah, beberapa wanita warga asing dari Britain, Australia, Norway, Jerman dan Filipina juga telah ke Syria menyertai konflik di negara Timur Tengah itu.
Malah baru-baru ini, tiga wanita Malaysia dikatakan menyertai kumpulan militan IS dipercayai menawarkan diri bagi mengadakan hubungan seks demi menenangkan anggota IS itu.
Menurut Ustaz Mustazah, wanita terbabit itu melakukan demikian mungkin kerana ingin peluang cepat masuk syurga, kononnya sebagai syahid.
“Mereka juga mungkin rasa simpati terhadap anggota militan itu tetapi sebenarnya tidak tahu erti sebenar perjuangan itu.
“Wanita harus ingat, mereka mempunyai banyak tanggungjawab kepada ibu bapa atau suami bagi mereka yang telah berkahwin, daripada ke sana,” ujarnya.
Malah menurut Ustaz Ali, keinginan masuk syurga dengan mudah serta kekosongan ilmu agama dan pengaruh pendakwah yang tidak diiktiraf juga antara sebab yang mendorong wanita itu menyertai kumpulan militan IS di Syria.
Kekurangan ilmu agama itu jugalah yang membuat wanita itu gagal membezakan antara yang baik dengan buruk, kata Ustaz Mohamad Hasbi.
Tambahnya, wanita itu juga mungkin dipengaruhi atau terpaksa dek keadaan.
“Contohnya, mereka rasa terdorong menyertai perjuangan itu kononnya kerana ingin menegakkan agama Islam tetapi sebenarnya mereka tiada ilmu.
“Mereka juga mungkin telah jatuh cinta dengan pejuang IS dan terpaksa ikut mereka ke sana,” katanya.
TREND MEMBIMBANGKAN
Semangat kuat segelintir wanita itu untuk berjuang bersama IS dan melihatnya sebagai ‘tiket’ masuk syurga bukan sahaja membimbangkan pemerintah negara mereka, bahkan turut mencetuskan keresahan keluarga yang mendesak agar mereka kembali ke pangkuan yang tersayang.
Ini lebih-lebih lagi kerana mereka pergi ke Syria tanpa izin keluarga.
Menurut Ustaz Suhaimi, perbuatan itu menunjukkan betapa ceteknya ilmu pemahaman agama mereka sehingga tergamak ke sana tanpa izin bapa yang merupakan satu dosa besar.
“Masalahnya, wanita yang ke sana untuk berkahwin dengan anggota militan IS mesti diiringi wali, kecuali beliau janda.
Kalau tiada, siapa yang menjadi kadi bagi mengesahkan pernikahan mereka? “Ini menjadikan pernikahan mereka syubhah (meragukan) atau barangkali boleh berlaku zina,” katanya.
Ustaz Mohamad Hasbi tidak menafikan akan kemungkinan wanita Singapura turut menyertai kumpulan militan IS di Syria kerana pengetahuan agama yang cetek atau pengaruh lain.
Namun, beliau menggalak masyarakat Islam setempat supaya menghubungi asatizah atau ulama di sini serta Pergas, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) atau badan Islam lain bagi meminta pandangan, bimbingan atau nasihat sekiranya tidak pasti atau mempunyai masalah.
Ustaz Ali turut menggesa asatizah di sini menggiatkan lagi usaha mereka berdakwah serta berkongsi pandangan dan nasihat mereka dengan orang ramai.
HAMBA SEKS ZAMAN DAHULU
Wanita kini juga seharusnya belajar daripada sejarah, lebih sedar dan berhati-hati supaya tidak menyertai IS dan menjadi hamba seks anggota militan kumpulan itu, kata Ustaz Mohamad Hasbi.
Ini kerana wanita hari ini tidak dipaksa menyertai militan IS di Syria, yang setakat ini hanya menguar-uarkan tentangnya.
Malah, pihak mereka yang mendatangi pihak asing daripada pelbagai negara di seluruh dunia.
Ini berbeza berbanding zaman Perang Dunia Kedua di mana askar Jepun memaksa wanita di beberapa negara, seperti Korea, menjadi hamba seks atau wanita penghibur atau tempat mereka melepaskan nafsu.
Sekiranya wanita itu tidak menuruti permintaan askar Jepun itu, nyawa mereka terancam. Sekitar 200,000 wanita dianggarkan telah dipaksa mengadakan hubungan seks dengan askar Jepun.
Kebanyakan mereka merupakan wanita Korea, manakala bakinya termasuk wanita China, Indonesia, Filipina dan Taiwan.
Menurut Ustaz Suhaimi, konsep wanita penghibur tidak harus dikaitkan dengan Islam kerana ia langsung tiada dalam hukum syariah Islam.
“Kumpulan militan IS mengaburi wanita ini dengan slogan agama Islam, kononnya inilah cara terbaik dan perbuatan itu dibolehkan dalam Islam tetapi sebenarnya ia bertentangan dengan ajaran Islam,” jelas beliau.
Source: http://beritaharian.sg/wacana/hidayah/tiada-konsep-wanita-penghibur-dalam-islam#sthash.VbQrewmL.SAaEfWkt.dpuf