Yaacob Ibrahim: Madrasah Harus Melahirkan Asatizah Serba Boleh

MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menggesa madrasah di sini agar terus memanfaatkan peluang yang disediakan Sistem Madrasah Bersama (JMS) bagi menghasilkan golongan asatizah yang boleh dibanggakan.

Ini kerana masyarakat setempat memerlukan golongan asatizah yang bukan hanya pakar dari segi agama untuk membantu masyarakat secara menyeluruh.

Dr Yaacob berkata ini penting lebih-lebih lagi dalam masyarakat Singapura yang berbilang bangsa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas prestasi cemerlang murid madrasah dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini ketika ditemui di majlis pengagihan Dana Amanah Pendidikan (ETF) Mendaki di Kelab Masyarakat Woodlands semalam.

“Keputusan PSLE bagi pihak madrasah memberangsangkan dan menunjukkan bahawa program yang dijalankan JMS berjaya memberi hasil yang kita inginkan.

“Dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), madrasah dan ibu bapa, ia menunjukkan bahawa apa yang dilakukan untuk menolong anak-anak kita adalah usaha yang akan membawa kebaikan kepada masyarakat kita,” kata Dr Yaacob.

Dalam pada itu, di majlis tersebut, seramai 80 murid menerima baucar ETF-Skim Bantuan Sekolah (SAS) dan dermasiswa Aziz Merchant bernilai $22,000.

Antara mereka ialah tiga adik-beradik – Zulaikha Zahar, 7 tahun; Nur Zahirah Zahar, 8 tahun; dan Muhamad Izzat Zahar, 9 tahun – daripada Sekolah Rendah Fernvale.

Menurut ibu mereka, Cik Intan Ridha Handayani, anaknya telah menyertai program Mendaki seperti Maju Minda Matematika (Tiga M) dan Cahaya M sejak lima tahun lalu.

“Kalau nak ajar mereka, saya tak faham, sebab itulah saya hantar mereka ke program Mendaki. Saya dapat lihat mereka rajin buat kerja sekolah di rumah tanpa disuruh dan guru mereka pun beri maklum balas baik megenai prestasi mereka di sekolah,” kata suri rumah berusia 31 tahun itu yang tinggal bersama suami dan anak-anak di flat dua bilik di Sengkang.

Sehingga Ogos lalu, jumlah ETF yang diagihkan lebih $1.8 juta – lebih rendah berbanding $2.9 juta yang diagihkan tahun lalu.

Namun menurut Dr Yaacob, apa yang lebih penting ialah golongan yang memerlukan bantuan tetap dibantu. Beliau turut menggesa mereka yang memerlukan tetapi belum tampil mendapatkan bantuan agar berbuat demikian.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *