Pelajar-Pelajar Cemerlang Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah Diberi Anugerah Emas

Dalam perjalanan pendidikan mereka, tiga pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) ini didorong satu matlamat – melihat rasa bangga terpancar dari wajah kededua ibu bapa mereka.

Dengan dorongan itu sebagai obor pembakar semangat, Nurul Iffah Baharudin, Maryam Ahmad Dahlan dan Basrah Bee Shaik Hussain berusaha gigih sehingga berjaya muncul dengan keputusan cemerlang bagi Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ tahun lalu.

Malah, Nurul Iffah, 17 tahun, muncul pelajar terbaik MAI dengan lapan kepujian, sekaligus menjadikannya pelajar terbaik di kesemua madrasah setempat tahun lalu.

Maryam dan Basrah, juga 17 tahun, masing-masing mendapat lima kepujian.

Hasil kecemerlangan mereka, tiga pelajar itu diberi Anugerah Emas bagi pencapaian di peperiksaan nasional 2014 bagi Peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ di Majlis Haflah MAI 2015 semalam.

Anugerah itu, dalam bentuk sijil dan pingat, disampaikan dalam majlis di Auditorium Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan nasional dan sekolah itu dihadiri tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy memuji madrasah setempat atas kemajuan yang dicapai. Beliau turut menggesa ibu bapa pelajar madrasah agar terus memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka dalam usaha mendapatkan pengetahuan yang diperlukan demi memenuhi potensi mereka.

Sementara itu, Pengetua MAI, Encik Herman Cher Ma’in, pula berkata beliau gembira kerana ini merupakan kali kedua madrasah itu menghasilkan seorang pelajar terbaik yang mendapat lapan kepujian dan juga pelajar terbaik di kesemua madrasah bagi GCE ‘O’.

Bagi Nurul Iffah, selain membanggakan kedua orang tuanya, beliau juga terdorong belajar bersungguh-sungguh demi membantu menguatkan ekonomi keluarga.

Anak sulung lima beradik itu telah menerima bantuan kewangan sepanjang pengajiannya di MAI.

Nurul Iffah, yang bercita-cita menjadi seorang guru Matematik, akan melanjutkan pengajian diploma dalam jurusan perakaunan dan kewangan di Politeknik Temasek.

“Saya bermotivasi bekerja keras kerana hanya menerusi pendidikan saya dapat memperbaiki keadaan ekonomi keluarga. Lagipun, saya mahu mengharumkan nama madrasah,” kata anak pasangan pembantu juru ukur dan suri rumah itu.

Dua lagi pelajar terbaik, Maryam dan Basrah sama-sama meminati bidang kedoktoran dan sains sejak kecil lagi. Kini, mereka lebih dekat mencapai cita-cita itu.

Maryam akan melanjutkan pengajian diploma dalam jurusan Sains Bioperubatan di Politeknik Singapura, manakala Basrah akan menceburi pengajian diploma jurusan sama di Politeknik Republic.

“Saya ada tiga matlamat semasa menduduki peperiksaan nasional iaitu membuat ibu bapa saya bangga, membuat diri saya puas hati dan mendapat keputusan lebih baik daripada tiga abang saya,” kata Maryam, anak keempat dalam lima beradik, tersenyum lebar.

Kata Basrah pula: “Selain mengulang kaji pelajaran, saya juga mengamalkan bacaan Al-Quran setiap hari.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *