Pasukan Operasi Khas Dikerah Akibat Kekecohan Di Marine Terrace

Satu pertikaian berlaku di Blok 52 Marine Terrace malam tadi, dan mencetuskan kekecohan hingga unit elit Pasukan Operasi Khas (SOC) terpaksa dikerahkan.

Polis menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan mengenai kes itu pada 6.56 petang tadi.

Setiba di tempat kejadian, para pegawai polis mengesahkan bahawa satu pertikaian berlaku di lokasi tersebut. Mereka yang terlibat dinasihati supaya jangan mengganggu ketenteraman awam. Tiada bantuan tambahan diperlukan dari pihak berkuasa, menurut polis.

Tiga video yang dirakam oleh Encik Ahmad dan dikirimkan kepada BERITAMediaCorp, menunjukkan sekurang-kurangnya 10 pegawai berpakaian seragam dilihat di merata kawasan di luar flat tersebut.

Sebuah kereta ambulans dan pegawai-pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga dilihat di tempat kejadian dalam video-video itu.

Seorang rakan Encik Ahmad, yang menggunakan nama ‘Prince Ichiro San’ di Facebook, mengirimkan video-video tersebut kepada BERITAMediaCorp. Beliau berkata rakannya itu, yang tinggal di Marine Terrace, melihat pegawai-pegawai SOC dikerahkan ke kawasan itu.

Menurutnya, Encik Ahmad terdengar beberapa orang berkata satu pergaduhan berlaku di lokasi berkenaan, dan pasukan SOC kelihatan siap dengan perisai sekitar 8.00 malam tadi.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *