Luahan Anak Melayu Kejar PhD Di Universiti Cambridge

“KETIKA mendapat berita saya diterima masuk ke Universiti Cambridge, saya cukup bersyukur. Peluang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di universiti antara yang terulung di dunia satu nikmat yang amat besar, apatah lagi dengan Biasiswa Siswazah Luar Negara Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang saya terima.

Apabila tiba di Cambridge pada September 2013, salah satu tempat pertama yang saya kunjungi ialah Kolej Fitzwilliam, iaitu kolej di Universiti Cambridge yang telah menerima saya sebagai salah seorang penuntutnya.

Sedang saya membaca senarai nama dermawan kepada kolej saya itu, alangkah bangganya saya apabila terbaca nama mendiang Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew.

Sebagai anak Melayu Singapura jati yang belajar di sebuah kolej Cambridge yang sama seperti beliau, saya rasa cukup terharu.

Setiap kali saya mendapat kunjungan daripada anggota keluarga dan teman-teman dari Singapura, saya pasti akan menceritakan saya sedang belajar di kolej yang sama seperti mendiang Encik Lee.

Malah ketika Hari Singapura 2014, saya beruntung dapat bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Saya telah membelikan beliau cenderahati sehelai kemeja-T daripada kolej beliau di Cambridge, iaitu Kolej Trinity.

Sempat saya memberitahu beliau bahawa saya sedang mengejar PhD dalam bidang pendidikan di kolej bapa beliau, Fitzwilliam.

Saya masih ingat lagi, PM Lee menyahut: “Oh, you’re from Fitz! Like my father!” (Oh, anda dari Fitz! Seperti bapa saya!”) Saya cukup gembira ketika itu. Semangat mendiang Encik Lee yang cekal melaksanakan tugas tanpa melupakan tanggungjawab kepada anak-anak dan keluarganya sesuatu yang saya dan suami saya akan jadikan pedoman dalam perjuangan saya di Cambridge.

Sifat dermawan beliau kepada para pelajar Singapura yang ramai di Kolej Fitzwilliam satu lagi warisan dan contoh kepentingan yang beliau beri pada pendidikan.

Malah di Kolej Fitzwilliam, ramai telah menandatangani buku takziah dan penghormatan bagi mendiang Encik Lee.

Ucapan saya, selaku anak Melayu Singapura jati di Universiti Cambridge berbunyi begini:

Harimau mati meninggalkan belang,

Gajah mati meninggalkan gading,

Manusia mati meninggalkan nama.’’

Salam takziah. Roszalina Rawi sekeluarga

Kolej Fitzwilliam Universiti Cambridge

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *