Wajah Kampung Moden Bagi Kehidupan Masa Depan

SUDAH berdekad lamanya kampungkampung di kawasan utara Singapura memberi laluan kepada pemodenan, dan penduduknya ditempatkan semula di flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di serata pulau ini.

Namun, menjelang 2017, sebuah kampung akan dibangunkan di Woodlands – dalam bentuk berbeza.

Pembangunan baru itu akan diberi nama Kampung Admiralty – tafsiran moden bagi kehidupan kampung yang akan membolehkan penduduk makan bersama, bersosial, membeli-belah dan menerima penjagaan kesihatan di bawah satu bumbung.

Mengapa HDB, yang terkenal dengan pembinaan estet perumahan moden, mencari ilham daripada kampung-kampung?

Lebih daripada struktur fizikalnya, kehidupan kampung bercirikan sifat tolak ansur, pemikiran sivik dan semangat kemasyarakatan yang utuh – ciri yang HDB harap dapat diterapkan dalam pembangunan baru itu menerusi rekaannya yang mempunyai matlamat tersendiri.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Khaw Boon Wan, menjelaskan:

“Projek ini adalah percubaan kami dalam membina sebuah kampung moden. Lantaran itu, kami menamakannya Kampung Admiralty bagi menyatakan dengan jelas wawasan dan semangat yang kami harap dapat kami pupuk.”

Satu kajian yang dijalankan HDB baru-baru ini dengan Pusat Bandar Lestari Asia di bawah Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Jabatan Sosiologi di bawah Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan NUS, menunjukkan bahawa dengan melaksanakan rekaan yang baik, ia boleh memudahkan interaksi antara masyarakat.

Walau telah menggantikan kampung dan memindahkan penduduknya untuk memberi laluan kepada perumahan awam, HDB sudah lama menyedari peri pentingnya mereka ruang yang dapat terus menghidupkan semangat kemasyarakatan.

Ini jelas daripada hasil kajian itu yang menunjukkan bahawa estet perumahan HDB sekarang sudah pun menawarkan pelbagai peluang jiran bertemu, sama ada secara tidak sengaja di lobi lif, di penghubung jalan, di pasar raya ataupun di kedai kopi.

Serupa dengan itu, pelan induk Kampung Admiralty direka dengan matlamat kehidupan yang bersatu padu.

Pembangunan itu akan terletak bersebelahan stesen MRT Admiralty, di tapak tanah yang pada asalnya diperuntukkan bagi perumahan awam.

Memandangkan sebuah tapak berdekatan akan dibangunkan bagi kemudahan awam, termasuk sebuah pusat penjaja dan pusat perubatan, HDB mendapati akan terdapat sinergi yang lebih baik sekiranya kemudahan itu, bersama apartmen studio dan kedai-kedai disepadukan dalam satu pembangunan, lantas memulakan usaha menyelaraskan projek itu.

PENYEPADUAN INOVATIF

Maka lahirlah Kampung Admiralty yang menyediakan pelbagai kemudahan demi memenuhi keperluan penduduk yang pelbagai. Ruang yang mencukupi juga diperuntukkan bagi memudahkan jiran tetangga berinteraksi, seperti pusat penjaja dan Plaza Masyarakat.

Bahagian atas pembangunan itu akan menampilkan sebuah ladang masyarakat dan taman herba – untuk penggemar tanaman menyemai benih tanaman dan persahabatan.

Sebuah taman masyarakat juga disediakan – bagi menjadi tempat berteduh, berehat dan bersenam.

Apa yang menjadi nadi di setiap kampung dengan rumah dan tafsiran kampung moden HDB akan menampilkan dua blok apartmen studio, yang mempunyai ciri mesra warga emas seperti sistem mengeringkan pakaian di dalam dan di luar rumah yang boleh ditarik masuk, sebuah dapur masak aruhan dan lantai yang berdaya tahan.

Dengan kemudahan seperti pusat penjaja, pasar raya, kemudahan perubatan dan jagaan warga tua terletak di sekitar Kampung Admiralty itu, penduduk lanjut usia akan lebih mudah menjalani gaya hidup yang cergas dan berdikari.

Keperluan penduduk lebih muda di Woodlands juga akan dipenuhi di Kampung Admiralty.

Sebuah pusat jagaan kanak-kanak akan dibina bersebelahan dengan kemudahan jagaan warga tua.

Bagi memupuk hubungan lebih erat antara golongan muda dengan mereka yang berjiwa muda, sebuah taman permainan tiga generasi akan dibina di depan kedua-dua pusat itu, menyediakan ruang tambahan untuk masyarakat berinteraksi.

KUASA MASYARAKAT

Kampung Admiralty direka untuk masyarakat.

“Kami harap penduduk akan benar-benar mempunyai rasa memiliki ke atas pelbagai ruang masyarakat untuk berhubungan dengan jiran mereka, mewujudkan semula semangat kampung yang bersatu padu serta rasa jati diri dan semangat kekitaan yang kukuh,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Estet & Korporat), Encik Yap Chin Beng.

Ia memerlukan lebih daripada strategi penggunaan tanah yang inovatif bagi membentuk masyarakat yang bertenaga di perbandaran yang direka dengan baik.

Konsep rekaan yang dapat memudahkan usaha mempereratkan jalinan dan interaksi juga memainkan peranan penting.

Sedang HDB berminat mengkaji, meneroka dan menguji strategi-strategi, hanya sebuah masyarakat yang bersedia dan terbuka dapat menghasilkan perubahan terbesar.

“Semangat kemasyarakatan inilah yang akan menyuntik tenaga dan semangat, dan membentuk jiwa raga estet perumahan awam kita,” ujar Encik Yap.

  • Rencana ini kali pertama diterbitkan dalam ‘Dwellings, Harmonious Living at its Best’, sebuah penerbitan HDB.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *