Kenang Jasa Lee Kuan Yew Pelihara Bahasa Melayu

ZAMAN Pendudukan Jepun (1942-1945). Ketika itulah Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad atau Cikgu Ariff mengenali mendiang Encik Lee Kuan Yew sebagai seorang intelek yang bercita-cita besar di sekolah Syonan Nippon Gakuen pada 1943.

“Guru Jepun bertanya murid-murid tentang cita-cita masing.

Cikgu Ariff teringat Encik Lee menyatakan cita-citanya menjadi pemimpin dan membebaskan Malaya daripada British.

Memandangkan diayah Jepun adalah membebaskan Asia daripada penjajah Barat, maka kata-kata Encik Lee itu mendapat sanjungan.

JURUBAHASA JEPUN

“Kemudian kami dikerahkan Jepun untuk dilatih menjadi jurubahasa.

“Encik Lee ditempatkan dalam kelas Sakura. Saya dan Encik Ismail Mohd Said (mantan pegawai tinggi Kementerian Pendidikan dan kemudian Presiden Majlis Agama Islam Singapura) diletakkan dalam kelas ‘Usagi’ (arnab),” kenang Cikgu Ariff, 90 tahun, di rumahnya.

Tentera Dai Nippon perlu merekrut sebanyak mungkin jurubahasa untuk membaca maklumat dan menghebahkan kepada orang ramai dan membantu pegawai tinggi mereka berkomunikasi dengan rakyat setempat.

KGMS

Apabila Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) ingin mendapatkan penasihat guaman, nama Encik Lee disebut- sebut. Beliau menerima perlantikan itu.

Mentelah beliau juga menjadi penasihat guaman banyak kesatuan sekerja dan juga surat akhbar Utusan Melayu.

Pada 1953, terdapat gagasan daripada Le Provost daripada Pejabat Pendidikan Kolonial British untuk menamat sekolah aliran Melayu. Ia dinamakan Re-Orientation of the Malay Schools (Ubah Haluan Sekolah Melayu).

“KGMS tidak setuju kerana ini bermakna terpupusnya aliran Melayu. British pula tidak beri jaminan masa depan Bahasa Melayu,” kata Cikgu Ariff yang ketika itu Setiausaha Agung KGMS.

JKMS

KGMS yang beribu pejabat di 1 Lorong H Telok Kurau mengundang empat pertubuhan Melayu yang besar ketika itu iaitu Kesatuan Melayu Singapura (Kemas), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (UMMS) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Beberapa pertubuhan Melayu bersatu menentang rancangan reorientation tadi. Ini membawa kepada tertubuhnya Jawatankuasa Pelajaran Melayu Singapura (JPMS) yang turut menampilkan Encik Sidek Abdul Hamid (kemudian menjadi Menteri Muda Pelajaran) selaku pengerusi jawatankuasa itu.

Nazir Sekolah-Sekolah bernama Ralph Ellis amat marah dan menyifatkan tindakan guru-guru daripada KGMS sebagai salah dan boleh dibuang kerja.

Terdahulu Encik Ellis menghantar surat kepada ibu bapa Melayu (Ref 54A in Edun 419/50 bertarikh 9 April 1954) untuk menyatakan suka atau tidak anak mereka yang lahir antara 1946-48 masuk ke sekolah rendah Inggeris.

“Maka itu, kami menemui Encik Lee di syarikatnya, Lee and Lee,” kata Cikgu Ariff, yang ditemani Yang Dipertua KGMS Abdul Rahman Mohd Said, Ahmad Shaharom, Mohd Yusof Lana, Suradi Parjo dan Salim Sulaiman.

Dalam urusan setengah jam di pejabatnya, Encik Lee membaca surat KGMS yang akan dihantar kepada Encik Ellis.

MAAF BERUNDUR

“Encik Lee tanya siapa terjemahkan surat itu. Saya jawab Abdullah Majid daripada UMMS. Beliau geleng kepala dan berkerut dan bertanya: ‘Kenapa tak minta Abdul Samad Ismail daripada Utusan Melayu?

“Pertanyaan Encik Lee tidak kami jawab. Kami adukan ugutan Raplh Ellis.

“Encik Lee kata sebagai kesatuan, KGMS berhak membuat bantahan. Tetapi sebagai kakitangan awam, memang hal ini tidak dibenarkan,” cerita Cikgu Ariff.

Namun Encik Lee membuat catatan dan berbincang dengan isterinya, yang juga rakan syarikat guamannya dan kemudian beliau mengiringi mereka ke pintu untuk berpisah, tambah Cikgu Ariff.

Pada 2 Ogos 1954, JPMS telah mengadakan rapat umum dengan 54 pertubuhan Melayu/Islan yang turut dihadiri oleh ibu bapa murid sekolah. JPMS menuntut rancangan Le Provost dimansuhkan.

Ketika itu juga ditubuhkan Majlis Pelajaran Melayu pimpinan Cikgu Harun Mohd Amin, sasterawan terkenal, yang menggantikan Encik Sidek, yang menang pilihan raya dan menjadi menteri muda pelajaran.

“Namun saya tak tahu apa jadi pada surat Encik Lee kepada Pejabat Pelajaran dan apa pula jawapannya,” ujar Cikgu Ariff.

Encik Lee menang pilihan raya Tanjong Pagar pada 1955 tetapi masih menjadi peguam KGMS.

“Ketika Encik Lee menjadi perdana menteri dan mengetuai pemerintahan sendiri Singapura, antara langkah pertama yang diumumkannya ialah bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan Singapura. Hal ini menyejukkan hati ramai pejuang bahasa Melayu, terutama Majlis Pelajaran Melayu,” tambah Cikgu Ariff.

Encik kemudian Lee menulis surat kepada KGMS dengan meminta maaf kerana tidak dapat bertindak sebagai penasihat guaman.

Beliau menyarankan Encik David Marshall, seorang peguam terkenal dan pernah menjadi Ketua Menteri Pertama Singapura. Encik Marshall bersetuju.

SINDIRAN NOVEL

Novelet Sarah Pengarang Kecil karangan Cikgu Ariff pernah digunakan sebagai buku teks di sekolah rendah dan Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa, khususnya untuk mengajar bahasa Melayu kepada bukan Melayu.

Ketika itu, Singapura sedang bersiap menyertai Persekutuan Malaysia. Rakyat diperlukan belajar bahasa Melayu.

Kakitangan awam bukan Melayu yang lulus bahasa Melayu diberikan bonus atau dinaikkan pangkat.


“Ketika Encik Lee menjadi perdana menteri dan mengetuai pemerintahan sendiri Singapura, antara langkah pertama yang diumumkannya ialah bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan Singapura. Hal ini menyejukkan hati ramai pejuang bahasa Melayu, terutama Majlis Pelajaran Melayu.”

– Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *