Penantian penduduk Bedok untuk menunaikan solat di dalam Masjid Al-Ansar baru berakhir hari ini dengan perasmian oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
Setelah hampir tiga tahun, masjid itu akhirnya dibuka kepada orang ramai sempena solat Jumaat hari ini.
Masjid gah yang terletak di tapak bangunan lama di simpang antara Bedok North Avenue 1 dengan Chai Chee Street itu menjalani kerja pembinaan semula sejak September 2012.
Keseluruhan bangunan masjid lama kecuali menara dirobohkan agar masjid serba baru dapat dibangunkan.
Masjid itu pada mulanya dijangka siap dalam suku keempat tahun lalu namun ditangguhkan ke awal tahun ini disebabkan kerja meluaskan ruang besmen masjid untuk memuatkan lebih banyak kenderaan.
Kos pembinaan masjid juga bertambah daripada $12.3 juta yang dijangka kepada $15.92 juta.
Antara peningkatan yang dijalankan ke atas Masjid Al-Ansar termasuk peluasan ruang solat. Ia kini boleh menampung sehingga 4,500 jemaah berbanding 3,500 jemaah sebelum ini.
Masjid itu turut dilengkapi kemudahan buat warga emas dan golongan kurang upaya seperti lif dan tanjakan.
Bangunan sementara Masjid Al-Ansar, yang terletak di 161A Bedok North Avenue 1, mungkin dirobohkan bulan depan.
Source: http://beritaharian.sg