Lima Anak Melayu Raih Pingat Emas Dari Politeknik Temasek

Lima anak Melayu yang merupakan lulusan Politeknik Temasek menutup tirai persekolahan mereka minggu ini dengan meraih pingat emas sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangan mereka.

Setiap daripada mereka telah melalui tempoh-tempoh sukar, baik diuji dengan penyakit mahupun membuat peralihan dan penyesuaian dalam bidang pengajian baru.

Antaranya termasuk Cik Iffah Fathin Mohd Azhar, 20 tahun, yang diuji dengan ketumbuhan sista di rahimnya sehingga menyebabkan pendarahan berlebihan setiap kali kedatangan haid bulanan.

Pelajar jurusan Reka Bentuk Runcit dan Pelayanan itu adalah penerima Pingat Emas tajaan syarikat Designworx, syarikat yang membangun sekitaran kerja berkesan melalui solusi reka bentuk bijak.

Dua bekas pelajar maktab rendah, Encik Muhammad Zulaidil Kasman, 26 tahun, dan Encik Muhammad Alsyaari Mohamed Shahril, 24 tahun, turut dianugerahkan dengan pingat emas kerana muncul sebagai pelajar terbaik kursus masing-masing.

Encik Muhammad Zulaidil merupakan pelajar jurusan Diploma Pengurusan Kemudahan Bersepadu yang meraih pingat emas tajaan syarikat pengurusan hartanah dan kemudahan Property Facility Services.

Encik Muhammad Alsyaari pula merangkul Pingat Emas tajaan Micron Foundation kerana cemerlang dalam bidang mikroelektronik.

Penerima Pingat Emas tajaan syarikat RSA Security Analytics, Cik Nur Syakirah Mohd Said, 20 tahun, juga berdepan dengan kesulitan cabang pengajian forensik digital yang masih baru.

Turut cemerlang tetapi tidak dapat ikut serta merakam foto bersama lulusan lain kerana bercuti di luar negara ialah Cik Amalina Ridzuan, 22 tahun, penerima Pingat Emas Sysmex Asia Pacific.

Beliau adalah lulusan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah dan Diploma Sains Bioperubatan yang ditawarkan tempat di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mulai hari ini hingga Jumaat ini, seramai 5,437 lulusan kursus sepenuh masa dan sambilan akan menerima diploma mereka.

Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Undang-Undang), Cik Indranee Rajah, akan merasmikan sesi pertama penyampaian diploma di Pusat Persidangan Temasek, hari ini.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *