Masjid Mujahidin Kini Miliki Galeri Al Quran Baru

Secuah galeri Al-Quran yang baru merupakan kemudahan terbaru yang dapat dinikmati para jemaah di Masjid Mujahidin.

Ia memaparkan keindahan khat atau kaligrafi Islam beserta maklumat tentang pembelajaran Al-Quran menerusi kaedah Qiraati serta alunan merdu ayat-ayat suci Al-Quran menggunakan pelbagai gaya tarannum.

Dua kios i-Pad juga disediakan di galeri digital itu bagi membolehkan orang ramai memuat-turunkan maklumat yang terdapat di galeri itu.

Galeri yang terletak di ruang masuk masjid tersebut merupakan inisiatif pihak masjid mendekati orang ramai serta mengenalkan keindahan Al-Quran menerusi seni, pembelajaran dan pembacaan.

Ia dilancarkan semalam di MeQar, yang merupakan nama baru Pusat Al-Quran di masjid itu yang terletak di Stirling Road.

Pengerusi Eksekutif Lembaga Pentadbir (LPM) Masjid Mujahidin, Encik Mohd Khairul Jameel Yahya, berkata:

“Mungkin tidak ramai yang mengenali pembelajaran Al-Quran kaedah Qiraati dan galeri ini akan memberi maklumat ringkas tentang kaedah tersebut.”

Menjelaskan penjenamaan baru MeQar, beliau berkata: “Dengan tema Jelajah Ilmu Al-Quran, perubahan nama itu bertujuan meluaskan kegiatan-kegiatan yang ada hubungan dengan pembelajaran Al-Quran yang telah dimulakan di masjid sejak awal 1990-an.”

Pusat ini mula mengenalkan kaedah Qiraati, iaitu kaedah cepat pandai baca Quran dengan tartil (tersusun). Kaedah ini diasaskan oleh Allahyarham Kiyai Haji Dachlan Salim Zarkasyi dari Indonesia, sejak 1963.

Turut hadir di majlis itu ialah ketiga-tiga anak Allahyarham Kiai Haji Dachlan termasuk Ustaz Abu Bakar, Ketua Pengurusan dan Pedtabiran Pusat Qiraati Luar Negara Indonesia.

Di Singapura, khususnya di Masjid Mujahidin, kaedah Qiraati diperkenalkan oleh Ustaz Mohammad Masruh Ahmad yang mempunyai pusat Qiraati di Rawang, Selangor, Malaysia.

Sempena majlis tersebut, seramai 100 orang guru Al-Quran kaedah Qiraati turut diberi pentauliahan. Sejauh ini, lebih 800 guru Al-Quran telah menerima tauliah dari Masjid Mujahidin.

Pusat MeQar turut menganjurkan kursus tarannum dan penulisan khat.

Turut dilancarkan semalam ialah majalah MeQar dan kios cenderahati yang membolehkan orang ramai membeli produk berkaitan Al-Quran seperti buku, papan logam dan tulisan khat.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *