‘Budak Masjid’ Jadi Anggota Penting

Semasa bersekolah dulu, Encik Muhsin Zaidi tidak betah duduk di rumah. Walaupun pada mulanya mereka menegurnya, ibu bapa Encik Muhsin akhirnya faham dan menyokong kegiatan beliau.

Ini kerana Encik Muhsin sebenarnya banyak menghabiskan masa melakukan kerja sukarela di Masjid Al-Ansar di Bedok.

Bermula setakat membancuh air minuman buat jemaah, beliau kini ‘orang kuat’ masjid itu, memegang beberapa jawatan dan melakukan beberapa tugas.

Sikap Encik Muhsin, 26 tahun, suka berbakti di masjid dipupuk sejak beliau di tadika. Waktu itu, ibunya sering membawa beliau mendengar ceramah di masjid itu.

Ketika itu, beliau tidak memberi tumpuan pada ceramah, sebaliknnya bermain dengan kanak-kanak lain.

Namun dari situlah, semakin usianya meningkat, Encik Muhsin mula bergiat bersama kawan-kawannya itu dengan kegiatan sukarela di masjid tersebut, terutama semasa Ramadan.

“Ketika itu, saya membantu bancuh air minuman untuk jemaah solat tarawih dan mengagih bubur Ramadan. Kerja-kerja mudah ini seronok apabila dibuat dengan rakan-rakan saya.

“Apatah lagi dengan keramahan kakitangan dan jemaah masjid, membuat saya selesa duduk di sini. Selepas sekolah, saya akan ke masjid, lagi-lagi pada bulan Ramadan.

“Ibu bapa saya kurang senang pada waktu itu kerana bimbang pelajaran saya akan terjejas tetapi mereka akhirnya faham minat saya mahu terus membantu di masjid,” kata beliau, yang lulus bidang teknologi angkasa dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tetapi bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat landskap perkahwinan.

Bagi Encik Muhsin, meluangkan masa bagi kerja sukarela bermanfaat dan membuat hidup beliau lebih bermakna.

“Dengan meluangkan masa di masjid, saya dapat elakkan anasir-anasir tidak bagus di luar sana. Ini rumah Allah jadi saya bahagia dapat dilindung dan menuju ke arah lebih balik,” katanya.

Sikap baik dan minatnya pada kerja sukarela membuat Unit Belia Masjid Al-Ansar mengenal pasti potensinya dan menghantar beliau mengikuti beberapa kursus pembangunan agar dapat memberi sumbangan lebih besar dan menjadi pelapis kepimpinan di masjid pada masa akan datang.

Kini, beliau memegang beberapa jawatan sambilan di masjid itu, termasuk menjadi bilal dan imam, dan guru kelas aLIVE! serta pengutip zakat fitrah.

Menceritakan pengalaman kali pertama diminta menjadi imam, Encik Muhsin berkata:

“Waktu itu saya masih di sekolah menengah. Saya dipanggil untuk menjadi imam solat fardu. Pada mulanya rasa gementar tetapi lama-kelamaan saya berasa yakin memimpin jemaah.”

Pegawai Pembangunan Belia Masjid Al-Ansar, Ustaz Mohammad Fairuz Shah Sudiman, berkata usaha sukarelawan seperti Encik Muhsin penting bagi masjid dan menjadi antara contoh penting membangunkan belia lain.

“Usaha sukarelawan amat penting bukan di masjid ini sahaja, bahkan di mana-mana. Ia tidak dapat dinilai, dan kami daripada pihak masjid mengalu-alukan sumbangan murni orang seperti Encik Muhsin,” kata Ustaz Fairuz, 34 tahun.

Encik Muhsin pula berharap anak muda lain dapat juga membantu dan melakukan kerja sukarela.

“Kalau tidak tenaga orang muda, siapa lagi mahu membantu,” katanya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *