Senyuman itu adalah ‘pakaian’ paling cantik yang boleh anda ‘sarung’ setiap waktu.
Ia juga pemanis muka dalam berdepan dengan apa jua masalah, demi meluputkan segala ketakutan atau menutupi setiap kesakitan.
Senyumlah… ia menggembirakan teman anda dan menyakiti hati musuh anda. Apa jua pun reaksi mereka, tidak dapat disangkal lagi, anda tetap bangkit sebagai juara.
Begitulah antara mutiara kata yang saya temui tentang senyuman sejurus jari-jemari ini temui ‘teman setia penyuluh ilmu’ di dada siber, Encik Google.
Mungkin dalam kesibukan menjalankan tugas harian atau dibelenggu stres rutin di pejabat atau di rumah, kita terlupa akan kepentingan mengukir senyuman paling manis kepada mereka yang ditemui.
Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia lagi penuh barakah ini, tidak rugi jika disedekahkan senyuman, sejajar dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).”
Sayangnya, budaya menguntum senyum dan bertanya khabar kepada orang yang tidak dikenali mungkin belum cukup mekar di Singapura.
Saya kira, seperti saya, anda pernah temui pegawai di kaunter khidmat pelanggan yang berwajah cemberut tatkala diajukan soalan.
Dalam hati kecil saya berkata-kata: “Macam kes terpaksa sahaja nak jawab soalan kita ni. Awak patutnya membantu tapi macam perlu dibantu (disenggol agar senyum lebihlah!) pula! Hmmm… tak boleh jadi ni!”
Atau pegerai makanan yang masam mencuka mukanya atau bengis semacam ketika melayan pelanggan.
Maaf cakap, walaupun makanan anda sedap macam mana pun, jika tidak pandai sejukkan hati pelanggan dengan budi bahasa, kata-kata penghargaan atau senyuman, bersedialah untuk kehilangan mereka dengan bermacam-macam pilihan makanan kini tersedia di musim ‘Bazar Ramadan’.
Kadangkala terkilan rasa hati sebagaimana pernah dialami di masjid setempat baru-baru ini.
Jangkaan tentang budi bahasa orang biasanya melambung tinggi di rumah ibadah, tempat merapatkan ukhuwah dan menghadap Maha Pencipta.
Sedang saya tercari-cari dewan di mana peraduan tilawah diadakan, seorang pegawai masjid yang nampaknya sudah bersiap sedia untuk pulang petang Sabtu itu, saya temui.
Bagaimanapun, setelah memberi salam dan senyuman diberi kepada Cik Kak ni, saya pula tersentak kerana dia membalas dengan wajah bengis (tak senyum langsung), jawapan ‘tak kuasa’ (sepatah dua perkataan) dan jari yang menuding ke anak tangga, minta saya turun ke bawah.
Maka terpaksalah saya sejukkan hati sendiri dengan berkata: “Agaknya dah penat bekerja kakak ni… tak apalah…”
Kunjungan saya ke Cairns, Australia, baru-baru ini membuatkan saya benar-benar kagum dengan budi bahasa sebilangan juruwang pasar raya yang bukan sahaja gigih bertugas bahkan rajin bertanya khabar.
Mereka bukan setakat baik dengan pelancong seperti saya tetapi dengan pelanggan tetap dari Australia yang setiap hari mereka temui.
“Good afternoon, ma’am. You’ve got a nice scarf here. How was your day? Where did you go to this morning?” (Selamat petang, Puan. Skarf anda cantik. Bagaimana hari anda sejauh ini? Ke mana anda pagi tadi?)
Begitulah kata-kata manis pembangkit semangat, yang diluahkan seorang juruwang wanita berusia 40-an tahun kepada saya ketika saya beratur membeli biskut dan kemeja-T.
Beliau terlihat seorang warga senja yang dikenali di kaunter sebelah dan sempat menoleh seraya bertanya: “Have you taken your medicine?” (Dah makan ubat anda?)
Apabila saya memberitahu teman kembara saya dari Singapura mengenai perkara ini, beliau berkongsi rasa kagum saya.
Katanya berseloroh: “Yalah, juruwang di Singapura macam robot yang diprogram. Mereka hanya tanya ada Kad Passion atau Kad NTUC!”
Pernah juga saya temui juruwang setempat yang berikan layanan berbeza kepada ‘mat salih’ dan orang Singapura. Lebih membingitkan apabila dua juruwang bercerita kisah peribadi di hadapan pelanggan sambil memasukkan barangan dalam plastik dan menekan butang mesin daftar tunai.
Alahai… tak rugi sesen pun kalau anda tersenyum.
Banyak kajian yang membuktikan senyuman itu menenangkan jiwa, satu bentuk senaman, menyihatkan diri kita dengan mengurangkan tekanan serta menarik orang positif dalam hidup kita.
Source: http://beritaharian.sg