KUANTAN 23 Julai – Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemukan dalam kereta jenis Perodua Viva selepas didakwa terbabit dalam kemalangan di Kilometer 163 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, Sabtu lalu ialah mangsa bunuh.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, pemandu kereta itu, seorang lelaki berusia 29 tahun kini direman sehingga 28 Julai ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Berdasarkan laporan awal, suspek yang memandu kereta itu mendakwa mangsa yang berasal dari Felda Chini 4, Pekan dekat sini maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari ibu negara ke Kuantan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan pihak forensik polis dengan bantuan pakar patologi dari Hospital Jengka mendapati mayat mangsa tidak mempunyai kesan cedera dan hanya terdapat kesan lebam pada bahagian tangan serta dipercayai lemas akibat dijerut pada bahagian leher,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mat Rizal, polis telah menahan suspek selepas soal siasat mendapati dia mengaku membawa mangsa dari ibu negara dan mendakwa melakukan hubungan seks sebelum kemalangan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif kejadian.
“Siasatan awal menemui dua buah beg pakaian dalam kenderaan dipandu suspek dipercayai milik suspek dan mangsa.
“Suspek turut mendakwa sudah mengenali mangsa sejak tiga tahun lalu, namun berdasarkan maklumat diterima daripada keluarga mangsa, mereka tidak mengenali suspek dan memaklumkan mangsa sudah bertunang dengan seorang lelaki berasal dari Perak,” katanya.
Source: www.utusan.com.my