Amrin Amin Azan Untuk Perjuangkan Masyarakat Melayu Islam

Calon Melayu/Islam Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang baru, Encik Amrin Amin, bertekad untuk memperjuangkan masyarakat Melayu/Islam sekiranya dilantik menjadi Anggota Parlimen.

Encik Amrin, 36 tahun, antara dua calon baru bagi GRC Sembawang yang diperkenalkan hari ini untuk Pilihan Raya Umum akan datang.

“Perjuangan saya ialah untuk menyumbang, membina masyarakat Melayu/Islam, baik dari segi pendidikan, kewangan, dari segi amalan Islam, dan juga masyarakat yang menjunjung budaya dan bahasa kita,” ujar beliau.

Encik Amrin, peguam korporat di firma guaman Joseph Tan Jude Benny, sudah berkhidmat di pelbagai jawatankuasa akar umbi seperti Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) dan Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat.

SERTAI POLITIK UNTUK BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

Encik Amrin berkata beliau terpanggil untuk menyertai politik kerana ingin membantu golongan yang memerlukan.

Beliau sudah melakukan kerja-kerja kemasyarakatan sejak 2004 di Chong Pang dan kemudian di Marsiling pada 2013 dan yang terbaru, di Woodlands pada 2014.

Having received so much from my family and the community, it’s time for me to pay it forward.

Posted by Amrin Amin on Thursday, August 13, 2015

 

“Jumaat lalu, saya telah bertemu dengan keluarga yang kurang kemampuan. Ibunya sakit, malah lima anaknya juga kurang sihat. Saya berbual degan mereka, dan semasa berbual, saya dapat tahu yang abang lima beradik itu menjimat wang ‘recess’nya supaya dapat meringankan beban ibunya.

“Saya amat tersentuh mendengar cerita itu. Dan ini menguatkan lagi azam saya untuk menolong keluarga-keluarga kurang berkemampuan, supaya mereka mendapat peluang baik untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka, supaya mereka dapat mendapat pekerjaan yang baik, pendidikan yang baik dan sebagainya,” ujar Encik Amrin.

Amrin Amin di sebuah acara kemasyarakatan. (Gambar: Facebook/Amrin Amin)

LATAR BELAKANG SEDERHANA, FAHAM KESUSAHAN PENDUDUK

Encik Amrin berkata latar belakangnya yang sederhana, membolehkan beliau memahami kesusahan yang dialami penduduk.

Beliau membesar di flat HDB tiga bilik dan mendapat pendidikan di sekolah-sekolah kejiranan di Singapura.

Dari 2004 hingga 2006, Encik Amrin merupakan penolong perundangan kepada Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Luar K Shanmugam. Beliau bertugas sebagai peguam korporat di New York dari 2007 hingga 2010 selepas tamat pengajian di Universiti Columbia.

(Gambar: Facebook/Amrin Amin)

“Latar belakang saya membolehkan saya memahami kesusahan yang dialami penduduk. Contohnya, semasa di sesi bertemu penduduk, kadang-kadang saya terdengar cerita tentang ibu bapa yang mungkin diberhentikan kerja, dan saya fikir, jika ia berlaku kepada saya, semasa saya kecil dahulu, pasti amat payah, amat sukar bagi saya melanjutkan pelajaran saya dan mendapat peluang-peluang yang ada.

“Dan ini adalah satu azam bagi saya, selepas saya meraih banyak manfaat daripada masyarakat kita ini, untuk menabur jasa untuk sama-sama menjayakan masyarakat kita, supaya generasi akan datang, supaya mereka yang berada di dalam situasi yang sama, dapat peluang-peluang yang saya ada.

“Saya rasa inilah tanggungjawab semua yang telah mendapat pendidikan yang baik, yang meraih manfaat dari sistem kita, untuk sama-sama berjasa kepada negara, berbakti kepada masyarakat supaya kita sama-sama pay it forward untuk beri peluang kepada generasi masa hadapan,” ujar Encik Amrin.

PEMBANGUNAN BELIA PENTING

Encik Amrin juga berpendapat bahawa pembangunan belia itu penting lebih-lebih dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura, yang katanya, mempunyai bilangan belia yang lebih banyak berbanding masyarakat lain.

Justeru, beliau merancang untuk bekerja dengan badan-badan akar umbi untuk mendekati belia.

“Buat masa ini saya ingin bekerja dengan badan-badan akar umbi untuk sama-sama menjayakan program-program yang ada. Kita sudah ada banyak program-program belia yang menumpukan belia untuk membangunkan belia, contohnya 4PM, LBKM, saya bergiat dalam LBKM, dan baru-baru ini kita telah memperkenalkan program duta belia.

“Dan inilah satu cara untuk kita mendekati belia, memberi mereka ownership yang mereka, walaupun VWO kita, walaupun badan-badan Melayu/Islam kita, sudah lama ada, masih ada tempat untuk belia untuk menyumbang, dan memberi idea mereka untuk memperkayakan usaha-usaha yang telah ada sekarang ini.

“Ini adalah satu peluang keemasan untuk masyarakat kita untuk membangun dan meraih peluang-peluang yang ada,” kata Encik Amrin.

Selain Encik Amrin, satu lagi calon baru yang diperkenalkan bagi GRC Sembawang ialah Encik Ong Ye Kung, Pengarah Kumpulan Strategi di Keppel Corporation.

Mereka akan menggantikan Setiausaha Parlimen Kanan Hawazi Daipi dan Presiden Persatuan Tenis Meja Singapura, Ellen Lee, yang kedua-duanya tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Encik Hawazi yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia akan bersara dari politik selepas 19 tahun berkhidmat di GRC Sembawang.

Kelima-lima calon yang akan bertanding di GRC Sembawang ialah Menteri Pembangunan Negara Khaw Boon Wan, Encik Vikram Nair, Dr Lim Wee Kiak, Encik Ong Ye Kung dan Encik Amrin Amin.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *