Parti Demokratik Singapura (SDP) memperkenalkan dua lagi calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Mereka ialah Encik Damanhuri Abas, mantan pengarah Kolej Islam Muhammadiyah dan Encik Bryan Lim, seorang pengurus hospital.
Encik Damanhuri, 45 tahun, bapa kepada lima orang anak, sudah bergiat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam selama 20 tahun, dan melakukan kerja-kerja sukarela di masjid selama 10 tahun.
Menurut Encik Damanhuri, beliau berupaya untuk menyampaikan apa yang menjadi keprihatinan masyarakat Melayu/Islam khususnya dan rakyat Singapura secara amnya.
“Saya berharap dengan penglibatan saya dalam pilihan raya kali ini, saya dapat menyumbang kepada pembangunan orang Melayu di Singapura, dengan pengalaman yang saya bawa sepanjang 20 tahun, melibatkan diri secara langsung di masjid, persatuan-persatuan Islam, dan juga di sekolah-sekolah dalam pelbagai bidang yang saya terlibat, latihan bengkel dan sebagainya.
“Jadi saya benar-benar berharap bahawa saya dapat beri sumbangan kepada pembangunan masyarakat Melayu di singapura,” ujar Encik Damanhuri.
Encik Lim pula menerajui unit operasi SDP yang menjalankan kegiatan seperti bertemu para penduduk. Beliau pernah bertanding di GRC Hong Kah pada tahun 2001.
SDP telah memperkenalkan enam calon sejak beberapa hari lalu. Antaranya termasuk pegawai pentadbiran jagaan kesihatan Chong Wai Fung, pengurus akaun Khung Wai Yeen, pengarah penjualan Jaslyn Go, profesor perubatan Paul Tambyah, juruaudit Sidek Mallek dan pensyarah psikologi John Tan.
Source: http://berita.mediacorp.sg