Lee Hsien Loong: Calon Baru Melayu PAP Wakili Generasi Baru Orang Melayu

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Pilihan Raya Umum akan datang adalah tentang masa depan Singapura dan warga negara ini, maka itu, beliau memerlukan mandat baru dan kukuh daripada warga Singapura.

Encik Lee yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata demikian di pelancaran manifesto parti itu bagi pilihan raya umum bulan depan, hari ini.

Beliau berkata warga Singapura akan memilih pemerintah dan pemimpin Singapura akan datang, yang dapat berganding bahu bersama warga meniti hala tuju negara bagi tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.

Maka itu, Encik Lee menegaskan bahawa rakyat harus membuat pilihan yang tepat dan bijak. Malah katanya, PAP akan “berjuang untuk menang setiap undi” dalam pilihan raya SG50 ini.

“Masa depan anda sedang dipertaruhkan dan kami bertanggungjawab ke atas masa depan anda. Saya tidak akan abaikan tanggungjawab saya. Saya akan berhempas pulas untuk memenangi kepercayaan dan sokongan anda supaya kami dapat bekerjasama dengan anda untuk Singapura.

“Kami perlukan sokongan padu anda demi masa depan yang lebih cerah untuk kita semua,” kata Encik Lee. Ini soal masa depan anda, dan masa depan kami. Dan PAP memikul tanggungjawab yang berat untuk masa depan ini,” ujar Encik Lee.

Manifesto setebal 88 halaman yang dibentangkan PAP bertajuk “Bersama Anda, Untuk Anda, Demi Singapura”, dan diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil di laman web PAP.

Ia meraikan kisah kejayaan Singapura yang dicapai bersama-sama dan mencerminkan rancangan PAP untuk membina masa depan yang cerah, dengan peluang-peluang terbentang luas bagi semua warga Singapura.

PM LEE: ANDA PILIH BARISAN CALON YANG BAKAL BENTUK PEMERINTAH BARU

Perdana Menteri menggariskan pentingnya pilihan yang dibuat para pengundi pada 11 September nanti. “Anda akan memilih barisan calon yang bakal membentuk pemerintah baru. Jika mereka berjaya, parti yang anda undi akan menjadi pemerintah,” ujarnya.

Encik Lee menambah bahawa Perdana Menteri seterusnya “besar kemungkinan” di kalangan anggota-anggota parlimen yang dilantik menyertai Parlimen seterusnya.

(Gambar: Fadli Idris)

Beliau juga berkata jika warga Singapura terpedaya dengan apa yang ditegaskan oleh pihak pembangkang tentang kebolehan mereka untuk mengendalikan sebuah pemerintah seperti mengendalikan sebuah majlis bandaran, Singapura akan musnah.

“Apakah kita mahu Singapura terkandas, prestasinya merosot atau menjadi biasa-biasa sahaja? Ataupun apakah kita mahu Singapura terus mendaki naik, menyerlah dan menjadi luar biasa malah lebih baik daripada SG50?” kata beliau.

‘JANGAN TERPEDAYA DENGAN PEMBANGKANG’

Encik Lee menambah: “Jika anda terpedaya dengan apa yang mereka katakan, dan mereka menang kawasan undi, sekurang-kurangnya mereka akan menyelia majlis bandaran anda. Dan jika mereka menguruskannya seperti (Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East), saya tidak tahu ke mana wang bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) anda akan pergi. Dan anda akan menghadapi pelbagai masalah pada tahun-tahun mendatang.”

Encik Lee menarik perhatian bahawa kesemua 89 kerusi parlimen dijangka akan dipertandingkan pihak pembangkang dalam pilihan raya kali ini.

Beliau memberi amaran bahawa rakyat Singapura yang mahu mengundi untuk pihak pembangkang, namun masih inginkan PAP membentuk pemerintah, hanya akan membahayakan masa depan mereka.

“Parti-parti pembangkang berkata mereka tidak mahu membentuk sebuah pemerintah baru. Ini semua satu muslihat. Mereka tahu mereka tidak boleh dipercayai. Jadi mereka kata ‘undilah saya, jangan khuatir, saya tidak akan membentuk pemerintah seterusnya’. Ia sesuatu yang menakjubkan,” kata beliau.

Maka itu, Encik Lee “meminta mandat baru dari semua rakyat, semua pengundi Singapura untuk memimpin Singapura seterusnya”.

“Ini kerana Singapura berada di satu titik tolak yang sangat penting. Masyarakat kita berubah dan dunia juga sudah berubah. Tetapi ada perkara yang masih sama iaitu kita memerlukan pemerintah yang baik, yang bijak dan akan berkhidmat sepenuh-penuhnya kepada Singapura,” ujar Encik Lee lagi.

CALON MELAYU BARU PAP WAKILI GENERASI BARU

Calon-calon PAP, kata Encik Lee, membawa perspektif yang berbeza dengan kemahiran yang berlainan.

Sambil merakamkankan penghargaannya kepada para Anggota Parlimen PAP yang akan bersara daripada politik, Encik Lee juga menyambut muka baru PAP yang akan bertanding, termasuk empat calon Melayu baru.

Encik Lee berkata Encik Amrin Amin, Cik Rahayu Mahzam, Encik Saktiandi Supaat dan Encik Shamsul Kamar mewakili generasi baru orang Melayu yang menyumbang kepada masyarakat.

Amrin Amin. (Gambar: Facebook/Amrin Amin)

Saktiandi Supaat.

Mereka didedahkan lebih awal bagi memberi peluang kepada penduduk untuk menilai kebolehan mereka.

“Untuk pastikan Singapura terus maju jaya, kita perlukan para pemimpin berbilang bangsa yang baik dan handal dan kita perlukan masa untuk mempersiapkan mereka.

“Saya ingin tekankan di sini bahawa kita memerlukan kepimpinan bermutu yang berbilang bangsa. Kita memerlukan calon-calon Melayu yang baik untuk menjadi Anggota Parlimen dan pemegang jawatan yang bersedia untuk mengambil alih tugas saya dan teman-teman saya,” kata Encik Lee.

‘KITA SEDANG MELANGKAH FASA TIDAK MENENTU’

Beliau menegaskan bahawa pilihan raya bulan depan akan dipantau dengan teliti daripada pihak perniagaan, kuasa-kuasa besar dan jiran-jiran Singapura.

“Kita sedang melangkah masuk ke satu fasa yang tidak menentu dengan pelbagai cabaran menanti kita.Misalnya, ekonomi sejagat kini tidak menentu. Pasaran saham sedunia sedang bergolak.

“Di Singapura, ekonomi kita kian lembab dilemahkan oleh ekonomi dunia. Jiran-jiran kita juga mengalami pergolakan politik dan ketidakstabilan. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana ia akan menambah sentimen kurang yakin terhadap Malaysia. Dan ini akan menjejas Singapura,” ujar Encik Lee lagi.

Tambah Encik Lee, itulah intipati pilihan raya SG50, iaitu memilih pemerintah, kepimpinan dan hala tuju yang diinginkan untuk Singapura bagi 50 tahun akan datang.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *