Faisal Manap: Workers’ Party Lebih Bersedia, 5 GRC Dijangka Menjadi Medan Pertarungan Panas

Sekurang-kurangnya lima GRC dijangka hangat dipertandingkan dalam pilihan raya 11 September ini.

Empat GRC tersebut turut diwakili calon Melayu PAP.

Satu-satunya kawasan undi baru dalam pilihan raya kali ini – GRC Marsiling-Yew Tee, mengambil sebahagian besar kawasan GRC Chua Chu Kang dan Sembawang.

Pasukan PAP diterajui bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Lawrence Wong, dan Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob.

Mereka berdepan Parti Demokratik Singapura (SDP) pimpinan John Tan.

SDP kalah kepada PAP di GRC Sembawang pada pilihan raya umum 2011.

“Berikan kita peluang untuk terus berkhidmat dan kita akan bekerja dengan keras dan memberikan lebih banyak sumbangan kepada penduduk Marsiling-Yew Tee,” kata Cik Halimah.

Cik Halimah juga memberitahu pasukannya akan mengeluarkan sebuah manifesto yang mengandungi rancangan-rancangan mereka untuk kawasan undi tersebut.

Beliau menjelaskan, “Dalam manifesto tersebut ada dua bahagian. Satu daripadanya ialah rancangan pembaikan dari segi infrastruktur dan keadaan sekitaran bagi penduduk kita dan bukan sahaja program-program ‘hardware’ tetapi ‘software’  di mana program-program untuk membantu anak-anak, keluarga kurang berkemampuan dan sebagainya,”

GRC Tanjong Pagar pula tidak pernah ditandingi sejak lima pilihan raya lalu.

Kali ini hampir 130,000 pengundinya boleh membuat pilihan antara pasukan PAP dan pencabarnya Parti Warga Diutamakan (SingFirst).

Pasukan PAP dipimpin ketua pergerakan buruh, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing, 45 tahun.

SingFirst, sebuah parti politik baru diketuai Encik Tan Jee Say, mantan calon Presiden.

Satu lagi diramalkan sebagai antara ‘kerusi panas’ pilihan raya kali ini ialah pertarungan bagi GRC Jalan Besar pimpinan Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim.

Pada pilihan raya lalu, GRC ini membentuk sebahagian GRC Moulmein-Kallang dan meraih 58.55 peratus undi menentang WP.

Pasukan Dr Yaacob sekali lagi ditentang WP yang dipimpin pensyarah politeknik L Somasundaram.

“Kami berempat berterima kasihmenjadi calon bagi GRC Jalan Besar.Undilah PAP parti yang bekerjasama untuk kepentingan anda, parti yang bekerjasama untuk anda demi untuk Singapura,” jelas Dr Yaccob.

GRC East Coast juga sekali lagi menjadi medan pertarungan antara pasukan PAP dan WP.

Pada 2011, pasukan PAP meraih 54.83 peratus undi menentang WP yang menampilkan Gerald Giam dan Png Eng Huat.

Ia merupakan kemenangan paling tipis bagi PAP dan Encik Giam mendapat kerusi di Parlimen sebagai AP Tanpa Kawasan Undi.

Pasukan PAP yang mempertahankan GRC itu dipimpin Menteri Tenaga Manusia Lim Swee Say dan turut dianggotai Menteri Negara Pertahanan merangkap Pembangunan Negara, Mohd Maliki Osman.

Pasukan PAP di Aljunied pula siap sedia berjuang bagi mencabar lawannya dari WP.

Diketuai AP veteran Yeo Guat Kwang, pasukan muka baru ini bertekad untuk menawan semula GRC Aljunied.

WP juga menyatakan hasrat ingin kekal mempertahankan kerusi itu dengan pasukan ‘A’ mereka.

“Dengan pengalaman yang ditimba, kami lebih bersedia, berkomited dan bersemangat untuk berkhidmat kepada anda semua kali ini,” jelas Faisal Manap, Calon WP bagi GRC Aljunied.

“Pengundi-pengundi Aljunied, berilah kami kesempatan untuk berkhidmat untuk anda. Rakan-rakan kami akan bekerja keras untuk kamu, bagi kamu, demi untuk Singapura,” kata Shamsul Kamar, Calon PAP bagi GRC Aljunied.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *