Ustaz Pasuni Maulan Antara 11 Penerima Anugerah SG50 MUIS

Buat pertama kalinya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memberi anugerah khas SG50 kepada 11 individu bersempena sambutan Jubli Emas negara.

Para penerima diiktiraf atas sumbangan mereka kepada pembangunan negara menerui penglibatan mereka dalam MUIS dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat yang lain.

Anugerah itu disampaikan Presiden Tony Tan Keng Yam di majlis anugerah MUIS di Istana petang tadi.

PRESIDEN 4PM TERIMA ANUGERAH JASA CEMERLANG

Penerima Anugerah Jasa Cemerlang pada tahun ini ialah Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Izzuddin Taherally, 62 tahun, yang sudah hampir 44 tahun terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Penerima Anugerah Jasa Cemerlang MUIS, Presiden 4PM, Encik Izzuddin Taherally. (Gambar: Nurulkhasanah Agost)

“Yang penting sekali bagi saya, kalau kita memberikan khidmat kita kepada sesiapa, menolong mereka, apabila kita melihat perasaan gembira yang terpapar di wajah mereka, ia memberikan satu dorongan kepada saya untuk meneruskan kerja-kerja ini,” ujar Encik Izzuddin.

MANTAN PRESIDEN PPIS TERIMA ANUGERAH JASA BAKTI

Lapan individu pula menerima Anugerah Jasa Bakti kerana membuat sumbangan dalam bidang-bidang seperti pendidikan, ekonomi, khidmat masyarakat atau pendidikan Islam yang telah membawa perubahan baik kepada masyarakat.

Salah seorang daripada mereka ialah mantan presiden PPIS, Cik Sapiah Molla.

“Sangat bererti bagi saya, saya bersyukur atas pengiktirafan ini, dan ini kerana dapatlah sedikit sumbangan kepada masyarakat, dan saya rasa beruntung dapat memberi sumbangan kepada masyarakat,” kata Cik Sapiah.

USTAZ PASUNI MAULAN RAIH ANUGERAH SG50 MUIS

Salah seorang penerima Anugerah SG50 MUIS, yang diberikan buat pertama kalinya, ialah Ustaz Pasuni Maulan, yang menyumbang secara aktif dalam Majlis Tertinggi MUIS.

“Saya merasa puas kalau yang saya tolong atau segala usaha yang dilakukan itu berjaya. Jadi bukanlah mengharapkan anugerah atau apa jua penghargaan dari sesiapa,” kata Ustaz Pasuni.

Di majlis tersebut juga, Presiden Tan menerima sumbangan cek berjumlah $100,000 berupa sumbangan masyarakat Islam Singapura kepada Cabaran Presiden.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *