Kumpulan DBS hari ini menyatakan, ia akan menutup usahasama perbankan Islamnya yang berpangkalan di Singapura.
Sebaliknya ia kini akan mengendalikan secara langsung produk-produk berlandaskan Syariah.
“Selepas banyak pertimbangan, lembaga pengarah The Islamic Bank of Asia Ltd (IB Asia) sebulat suara bersetuju untuk secara beransur-ansur menutup IB Asia. Sebagai entiti berasingan, IB Asia tidak dapat mencapai skala ekonomi yang besar,” kata DBS dalam satu kenyataan kepada bursa saham.
“DBS akan terus membangunkan dan mengedarkan produk-produk berlandaskan Syariah seperti bon Islam atau Sukuk, dalam operasi utama perbankan,” tambahnya.
DBS juga berkata ia akan melakukan yang terbaik untuk mengambil majoriti kakitangan IB Asia.
IB Asia ditubuhkan pada tahun 2007 sebagai sebuah perkongsian usahasama antara DBS dan pelabur-pelabur terkemuka yang berpangkalan dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Source: http://berita.mediacorp.sg